Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha Selangor wujud loji air pulih guna patut jadi contoh

SHAH ALAM, 17 MAC: Negeri lain perlu mencontohi usaha Selangor untuk mewujudkan loji air pulih guna khusus untuk sektor industri, kata menteri alam sekitar dan air.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sisa air terawat menjadi sumber alternatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada sungai terutama ketika musim kemarau.

“Kerjasama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuka lembaran baru kepada kita semua dan ini baru langkah permulaan.

“Saya yakin langkah mengasingkan loji air untuk kegunaan industri dan domestik akan meningkatkan kecekapan pengurusan air negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Air Selangor) dan IWK di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, semalam.

Kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian pegangan saham syarikat yang bakal menguruskan loji, Central Water Reclamation Sdn Bhd dengan 60 peratus saham dimiliki Air Selangor dan IWK sebanyak 40 peratus.

Menerusi perjanjian itu, tiga loji akan dibangunkan untuk kegunaan industri iaitu di Setia Alam yang mampu mengeluarkan lapan juta liter sehari, Seksyen 23 Shah Alam (40 juta liter) dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur (100 juta).

Usaha sama tersebut membantu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengasingkan bekalan air untuk sektor domestik dan industri untuk jangka masa panjang.