Categories
AGENSI SELANGOR

Lori Selangor dapat sambutan, PKPS peroleh hampir RM8,000

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat jualan mencecah RM8,000 menerusi program Lori Selangor Agro Market setakat ini.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata perolehan itu melibatkan jualan sayur, buah-buahan, ikan dan ayam di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari serta Pandan Indah, Ampang (24 Januari).

“Perkhidmatan berkonsepkan kendera saji menerima sambutan menggalakkan berikutan barang basah dan kering ditawarkan segar dari ladang.

“Dalam tempoh tiga hingga empat jam kita mampu meraih pulangan lebih RM3,000,” kata Datuk Abdul Ghariff Ramin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menambah program lori prihatin diperkenal bagi memudahkan orang ramai memperoleh makanan segar dengan harga berpatutan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita sedar dalam tempoh ini pergerakan agak terhad, jadi perkhidmatan tersebut memberi kemudahan kerana pelbagai barangan segar dibawa terus ke kawasan perumahan atau taman berhampiran,” katanya.

Kenderaan itu akan berada di lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS cipta peluang kerja, jual barangan melalui pasar bergerak 

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenal pasti individu hilang pekerjaan yang memiliki lori atau van untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata peluang berniaga melalui Lori Selangor Agro Market membantu golongan terjejas meraih pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Datuk Abdul Ghariff Ramin menjelaskan individu terlibat akan dibekalkan produk dari ladang perbadanan itu untuk dijual kepada komuniti setempat.

“Selepas dikenal pasti, kita akan tampal pelekat tertera logo perkhidmatan sebelum boleh beroperasi secara bergerak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jelasnya, harga barangan makanan segar yang ditawarkan melalui lori bergerak PKPS murah 30 peratus berbanding pasaran bagi meringankan beban pembeli.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan harian malah mereka tidak perlu bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah,” kata Abdul Ghariff lagi.

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS sedia lori barang makanan ketika PKP, harga murah

SHAH ALAM, 15 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata kenderaan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Pengurus Kanan Tertinggi Pembangunan Institusi Pemasaran PKPS, Siti Noorlianna Misli ketika ditemuramah Selangorkini ketika jualan segar dari ladang anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita ambil inisiatif berkunjung ke kawasan perumahan supaya orang ramai boleh mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga lebih rendah berbanding pasaran memandangkan bekalan diambil terus daripada petani di bawah PKPS.

“Bulan ini, lori berada sekitar Shah Alam dan dijadual ke Gombak dan Ampang bulan depan. Kita akan uar-uarkan lokasi menerusi Facebook PKPS,” kata Siti Noor Lianna Misli di Medan Selera Seksyen 7 di sini hari ini.

Beliau juga menjelaskan PKPS juga ada perancangan jangka panjang untuk membangunkan program keusahawanan kepada individu yang memiliki lori sesuai bagi meneruskan perkhidmatan itu.

Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga lebih rendah berbanding pasaran memandangkan bekalan diambil terus daripada petani di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI