Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 15 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang belum menerima bekalan, kata Dato’ Menteri Besar.

Pili awam turut disediakan bagi kemudahan penduduk susulan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya dimaklumkan setakat jam 12 tengah hari tadi, peratus pemulihan bekalan air mencapai kadar 68 peratus,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, menurut Facebook Air Selangor, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas mencapai tahap 78 peratus setakat jam 3 petang.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, syarikat itu menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Operator air negeri lain hantar lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menerima bantuan lapan lori tangki air daripada operator negeri lain untuk diagihkan ke kawasan terjejas.

Operator tersebut ialah Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Melaka Berhad.

“Bantuan bekalan air alternatif juga boleh didapati di pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) selain merujuk semua medium komunikasi untuk perkembangan terkini,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Sebanyak 92 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan termasuk penyediaan 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 13 pili awam dan sembilan PKS.

Sementara itu, Air Selangor memaklumkan tahap pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kekal sifar TON (Nombor Bau Nilai Ambang) sehingga jam 1 petang.

Kadar pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula meningkat kepada 3 TON berbanding 1 TON pada jam 11.30 pagi tadi.

“Usaha untuk menstabilkan sistem LRA Sungai Semenyih sedang giat dijalankan sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Air Selangor memberi jaminan air yang dirawat akan melalui ujian kualiti termasuk ujian bau dan mengikut piawaian dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna,” kata agensi itu lagi.

Status bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Penutupan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kelmarin menjejaskan bekalan air di 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor sedia 64 lori tangki, 10 pili awam ke premis kritikal

SHAH ALAM, 5 OKT: Sebanyak 64 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan terjejas sejak pagi tadi susulan pencemaran Sungai Semenyih semalam.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) turut menyediakan 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat (PKS) dan 10 pili awam.

Ketua pegawai eksekutifnya dalam sidang media hari ini memandang serius isu yang menyebabkan dua loji rawatan air (LRA) dihenti tugas sekali gus mengganggu urusan harian pengguna.

“Air Selangor menyarankan pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di PKS yang disediakan,” kata Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau menjelaskan setakat jam 12.30 tengah hari, pencemaran di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan berada pada tahap 18 TON (Nombor Bau Nilai Ambang). Sementara bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah 9 TON dan LRA Bukit Tampoi 8 TON.

Katanya, punca pencemaran masih belum dikenal pasti dan kedua-dua LRA hanya boleh beroperasi apabila punca pencemaran diselesaikan di semua aliran sungai.

“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan 602 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada 309,687 akaun pelanggan membabitkan 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Putrajaya, Sepang dan Kuala Langat.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji dihenti tugas selama 20 jam,” kata Suhaimi lagi.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com