Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kadar pencemaran LRA Rantau Panjang turun empat TON

RAWANG, 10 NOV: Kadar pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang menurun kepada empat TON (nombor bau nilai ambang) setakat 6 petang tadi.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian bagaimanapun berkata bacaan di LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1,2 dan 3 kekal empat TON.

“Sekiranya pencairan air dapat dibuat di LRA Rantau Panjang maka pencemaran di SSP 1,2 dan 3 akan cair sekitar satu atau dua TON.

“Kita menjangka bacaan itu akan turun kepada satu TON dan seterusnya menjadi sifar TON pada malam ini sebelum LRA boleh beroperasi esok,” katanya pada sidang media selepas meninjau loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, hari ini.

Beliau berkata pencemaran bau disyaki berpunca daripada pelepasan sisa buangan tanpa kebenaran ke lurang pembentungan di IWK yang terletak kira-kira 12 kilometer dari LRA Rantau Panjang.

Loy Sian juga mengesyaki wujud unsur sabotaj yang menjadi punca pencemaran di kawasan berkenaan, sehari selepas Kerajaan Negeri meluluskan pindaan Rang Undang-undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 2020.

“Saya tidak menafikan ada unsur sabotaj kerana semasa Luas melakukan pemantauan pada 2 pagi bacaan di Sungai Sembah adalah sifar TON dan bermakna tiada pencemaran sebelum 7 pagi.

“Bagaimanapun, kita syak pencemaran itu berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi tadi,” katanya lagi.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang ini susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran muka sauk LRA Rantau Panjang catat sifar TON

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang berada pada tahap sifar TON (kiraan kadar pencemaran) setakat 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2 dan Sungai Selangor Fasa 3 pula mencatatkan tahap 1 TON.

“LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran pada tahap 0 TON tiga kali ujian berturut-turut. Ini bagi memastikan tiada sisa pencemaran di hulu sungai,” kata agensi melalui Facebook.

Air Selangor menggalakkan pengguna terjejas mengambil bekalan air bersih di pili awam atau Pusat Khidmat Setempat manakala bantuan lori tangki diutamakan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis atau upacara kematian.

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan empat LRA dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.