Categories
SELANGOR

Langkah mitigasi berterusan atasi masalah bekalan air

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri perlu terus melaksanakan usaha mitigasi bagi menambah kapasiti bekalan air di empangan, khususnya Empangan Sungai Selangor bagi mengelak berlaku masalah kekurangan bahan mentah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata usaha berterusan perlu bagi mengatasi masalah kekurangan itu berikutan jumlah catatan bekalan air di empangan terbabit menunjukkan penurunan ketara.

Katanya, catatan pada tahap 31.84 peratus di Empagan Sungai Selangor menimbulkan kebimbangan kerana empangan terbabit membekalkan 60 peratus keperluan air di Lembah Klang, pada 23 Ogos lalu.

“Ia adalah catatan terendah dalam sejarah. Kita harap ia akan terus meningkat supaya tiada catuan air berlaku di Selangor buat kali kedua,” katanya kepada Selangor Kini.

EmpanganDalam laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui http://www.luas.gov.my/ mencatatkan peningkatan kapasiti bekalan air di Empangan Sungai Selangor sebanyak 1.16 peratus kepada 33 peratus, semalam.

Tidak pasti sama ada kenaikan itu hasil langkah mitigasi atau faktor semula jadi, Kee Hiong bagaimanapun menasihatkan orang ramai meneruskan langkah berhemah dalam penggunaan bekalan air dengan mengutamakan untuk keperluan penting.

“Kita harap juga akan berlaku hujan yang kerap supaya bekalan air bertambah supaya mampu bertahan sehingga Oktober ini (jangkaan berlaku perubahan Monsun Timur Laut),” katanya.

Sebelum ini, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata langkah mitigasi bekalan air yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, mulai 1 Ogos lalu menampakkan hasil dengan peningkatan bekalan air di beberapa empangan di Selangor terutama Empangan Sungai Selangor.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_1“Kerajaan Negeri melalui LUAS dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) mula melaksanakan operasi pembenihan awan dengan kekerapan dua kali setiap hari menggunakan kaedah larutan garam (sodium chloride) di kawasan tadahan Empangan Sungai Selangor.

“Berdasarkan rekod, jumlah hujan yang diterima empangan itu pada 1 sehingga 13 Ogos lalu adalah 181.65 milimeter(mm). Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 69.52 mm yang diterima pada Jun dan 73.05 mm pada Julai lalu,” katanya.

Katanya, langkah mitigasi lain dilakukan termasuk pengurangan kadar pelepasan air Empangan Sungai Selangor kepada 700 juta liter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi kepada 500 JLH.

-NFN-