Categories
NASIONAL

Medic Pets tawar ubat haiwan pada harga berpatutan

OLEH AFIX REDZUAN

SERDANG, 23 NOV: Medic Pets (M) Sdn Bhd menawarkan empat jenis ubat, pada harga RM100 khusus untuk haiwan peliharaan berskala kecil seperti kucing, anjing dan sugar glider bersempena pameran MAHA 2018 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Pengarahnya, Siti Sofiah Ramli berkata, 100 pembeli pertama yang bertuah berpeluang untuk mendapatkan promosi kombo berkenaan, pada harga promosi.

Katanya, Medi Pets turut mengalukan pengunjung untuk membawa kucing peliharaan mereka ke gerai pameran bagi mendapatkan informasi serta pemeriksaan kesihatan.

“Kami menawarkan empat produk pada harga murah iaitu spray anti-bakteria; produk khas untuk bulu (haiwan) gugur, syampu khas kutu, kurap dan krim merawat luka kucing.

“Satu ubat kami jual RM70 sebotol dan RM240 untuk empat botol tetapi bagi kombo set, kami tawarkan hanya RM100 sahaja untuk hari pertama MAHA 2018,” katanya kepada SelangorKini.

Sehingga jam 4.30 petang semalam, hampir 40 set kombo ubat berjaya dijual dan beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat sepanjang tempoh pameran yang akan berakhir, pada 2 Disember ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Selangor Youth Community (SAY) kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk membuka gerai pameran dan jualan bersempena MAHA 2018.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MAHA 2018: Peluang belia terokai bidang pertanian

OLEH AFIX REDZUAN

SERDANG, 22 NOV: Golongan muda disarankan menceburi bidang pertanian dan penternakan menerusi perkongsian maklumat serta teknologi terbaharu yang ditawarkan dalam Pameran Antarabangsa Hotikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan komited mengoptimumkan penggunaan dan kemudahan pertanian serta logistik sedia ada bagi memastikan pengusaha industri pertanian dapat meningkatkan hasil, pada skala lebih besar.

Katanya, dengan pertambahan penduduk di Malaysia yang dijangka mencecah 41.2 juta pada 2040, negara pastinya mahu memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi.

“MAHA 2018 akan terus dijadikan platform menarik golongan muda khususnya untuk menceburi bidang pertanian dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka.

“Pembangunan usahawan belia tani sebagai perintis dan pelopor sektor agro makanan perlu seiring dengan perkembangan permintaan sumber bekalan makanan akan datang yang mampu menjadi pelapis kepada petani, penternak dan nelayan kita hari ini.

“Pelbagai insentif dan peruntukan disediakan untuk menarik lebih ramai ‘agropreneur’ muda dalam sektor agro makanan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian MAHA 2018 bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, di MAEPS Serdang sambil diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih agak kecil sedangkan ia memiliki potensi besar.

Katanya, berdasarkan statistik, KDNK yang disumbangkan sektor pertanian adalah 8.17 peratus, pada 2017 berbanding 8.07, pada 2016.

“Walaupun peratusannya kecil, nilai ekonomi sektor agro makanan cukup signifikan iaitu RM37.4 bilion untuk 2017, berbanding RM36.7 billion, pada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, pengeluaran produk agro makanan dilihat berpotensi besar untuk ditingkatkan supaya Malaysia mampu memenuhi jaminan bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bekalan import,” katanya.

Dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK-11) yang bentangkan di Parlimen, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan kepada nilai ditambah pertanian kepada jumlah sasaran sebanyak 42.8 peratus, pada 2020.

MAHA 2018 berlangsung selama 11 hari sehingga 2 Disember ini dengan sasaran pengunjung lebih 3.5 juta.

Selain itu, terdapat 13 pavilion negeri yang menampilkan identiti, kebudayaan dan makanan disediakan untuk dinikmati pengunjung.

 

Categories
NASIONAL

Lebih 3.5 juta pengunjung dijangka meriahkan MAHA 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 NOV: Lebih 3.5 juta pengunjung dijangka hadir memeriahkan Pameran Antarabangsa Hotikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 yang akan berlangsung, di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), bermula 22 November hingga 2 Disember ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam kenyataan berkata, MAHA 2018 turut mensasarkan jumlah dagangan dan pemadanan perniagaan sejumlah RM300 juta.

Manakala jumlah pembabiran belia pula dijangka meningkat lebih 30 peratus, berbanding edisi lalu.

Raung pameran MAHA 2018 itu membabitkan kawasan seluas 40,000 meter persegi atau lebih kurang enam kali ganda keluasan padang bola.

Difahamkan, pameran itu terbahagi kepada enam kluster pameran antaranya Agro Kulinari, Agro Pelancongan, Agro Belia, Agro Teknologi, Produk Asas Tani dan Jualan serta Agro Makanan.

Manakala pameran luar dewan pula dibahagikan kepada tujuh laman iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur serta Laman Mekanisasi, Automasi dan Teknologi.

Menariknya, MAHA 2018 juga turut memperkenalkan segmen terkini seperti Sumber Rezeki Baharu, Teknologi Pertanian Terkini, Miracle Garden dan Festival kanak-kanak terbesar Lolababa.

Selain itu, mereka yang hadir tidak perlu khuatir dengan pengangkutan kerana MAHA 2018 menyediakan bas shuttle percuma dan turut terdapat 7,000 petak parkir khas buat pengunjung.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyempurnakan Majlis Perasmian MAHA 2018 pada jam 2.30 petang, hari ini.