Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi tidak pasti jasad dijumpai milik Nora Anne

SEREMBAN, 21 OKT: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pada awalnya dia tidak dapat memastikan jasad manusia yang ditemukannya ialah Nora Anne Quoirin, memandangkan kedudukannya yang agak jauh dari mayat itu.

Saksi awam Chong Yue Fatt, 57, yang merupakan individu pertama ternampak mayat remaja tersebut pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne, berkata ketika terlihat jasad itu, dia telah menjerit dengan kuat bagi memaklumkan ahli lain dalam kumpulannya tentang penemuan berkenaan.

“Sebaik menjumpai mayat itu, kami semua cuba membuat panggilan telefon kepada pihak berkuasa namun gagal kerana tiada liputan, justeru kami menyuruh seorang lelaki India dalam kumpulan kami agar keluar dari kawasan tersebut dan memberitahu bapanya bagi memanggil pihak bomba ke lokasi.

“Semasa menunggu kedatangan pihak berkuasa, kami saling mengingati ahli kumpulan agar tidak mendekati mayat supaya tidak mencemarkan dan merosakkan bukti. Kami menunggu agak lama, sekitar satu hingga dua jam,” kata saksi ke-28 itu dalam bahasa Mandarin.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu memasuki hari ke-12, hari ini.

Menurut Chong, mayat remaja tersebut yang ditemukan kira-kira 50 meter dari sebuah pondok yang sebelum itu dilalui oleh kumpulan pencari berkenaan, berada dalam keadaan terbaring di atas batu, seolah-olah sedang tidur.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues mengenai barangan yang ada di pondok, peniaga kasut itu berkata: “Saya nampak bekas makanan seperti Maggi dan botol minuman.”

Ketika ditanya oleh koroner mengenai siapa yang membuat keputusan tentang kawasan pencarian, Chong berkata pencarian di kawasan tersebut dilakukan selepas dicadangkan oleh rakannya bernama Chan yang memberitahu dia telah mendapatkan tilikan daripada seorang sami di Thailand dalam usaha mengesan Nora Anne.

“Sami itu memberitahu Chan agar mencari mangsa di tempat yang ada sungai,” katanya.

Sementara itu, saksi ke-29 Muhammad Firdaus Kamarudin, 35, berkata dia ternampak seorang perempuan berambut panjang berwarna perang, bertubuh sederhana dan berkulit putih sedang mandi di tepi sungai di kawasan berkenaan pada 4 Ogos.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Loji Air Gunung Berembun dengan menaiki motosikal sekitar 7 malam dan saya hanya melihat sepintas lalu perempuan tidak berbaju sedang mandi membelakangkan saya,” katanya.

Operator Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) itu berkata meskipun keadaan semakin gelap, dia dapat melihat kelibat perempuan berkenaan dengan jelas selain memberitahu mahkamah aktiviti mandi-manda di kawasan tersebut adalah perkara biasa yang dilakukan oleh penginap di resort berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata dia memaklumkan perkara itu kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dua hari kemudian sebaik mengetahui berita mengenai kehilangan seorang remaja di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dua saksi iaitu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris, 52, dan Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Faizal Ahmad, 40, masing-masing sebagai saksi ke-26 dan 27, dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Prosiding inkues bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Koroner: Pelajar tahfiz Thaqif mati berkaitan kencing tikus

JOHOR BAHRU, 21 MAC: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, pada 26 April 2017, adalah disebabkan komplikasi berkait kencing tikus.

Hakim Jailani Abd Rahman yang bersidang sebagai koroner pada keputusan inkues kematian Mohamad Thaqif Amin turut memutuskan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah terhadap kematian pelajar tersebut.

Jailani membuat keputusan itu selepas menimbang keterangan 18 saksi dan 63 eksibit yang dikemukakan sepanjang inkues berlangsung mulai 10 April tahun lepas sehingga 29 Jan lalu.

Dalam alasan penghakimannya di hadapan Pengarah Pendakwaan negeri Johor, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin, Jailani berkata, mahkamah memutuskan keputusan berdasarkan keterangan saksi inkues ke-11, iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Mohamad Aznool Haidy Ahsorori.

“Saya telah meneliti semua keterangan yang diketengahkan di hadapan saya dan saya berpuas hati bahawa kematian Mohamad Thaqif Amin adalah disebabkan oleh Acute Infectious Purpura Fulminans complicating Leptospirosis iaitu penyakit komplikasi berkait dengan kencing tikus.

“Dan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah, sama ada dengan perbuatan atau peninggalan terhadap kematian beliau (Mohd Thaqif Amin). Verdict (keputusan) saya adalah seperti berikut, kematiannya adalah sebagai nahas atau misadventure,” kata Jailani ketika membacakan alasan penghakiman berkenaan pada prosiding keputusan inkues terhadap kematian pelajar berkenaan.

Jailani berkata, mahkamah berpendapat dan berpandangan keterangan Dr Mohamad Aznool adalah wajar.

Tambahan pula, keterangan melalui saksi lain iaitu ibu, bapa dan bapa saudara Mohamad Thaqif Amin mengatakan pelajar terbabit ada pergi ke sebuah kolam mandi di Jalan Mawai di Kota Tinggi, bersama beberapa sepupunya, namun, kesemua saksi gagal mengenal pasti tarikh sebenar ke kolam itu sama ada pada 22 atau 23 Mac 2017.

Mengenai adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian Mohamad Thaqif Amin, beliau berkata, mahkamah sudah meneliti kematiannya bukan disebabkan oleh sesiapa tetapi disebabkan oleh komplikasi penyakit yang dihadapi.

“Bukan sahaja Mohamad Thaqif Amin dikenakan hukuman (di madrasah) tetapi juga pelajar lain. Hukuman itu ditapak kaki dan tiada keterangan yang menunjukkan terdapat kesan-kesan lain di bahagian badan dan anggota lain.

“Ibunya juga menyatakan ketika mendaftar keluar anaknya (Mohamad Thaqif Amin), dia tidak nampak apa-apa kesan pukulan lebam pada bahagian kaki. Mahkamah juga sudah mengenal pasti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah dan mendapati hukuman dilihat minima (minimum) dan tidak fatal apatah lagi menyebabkan kematian,” katanya.

Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), pada 19 April 2017 selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April 2017, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.

Bagaimanapun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil sebelum dia meninggal dunia pada 2.05 petang, 26 April 2017, selepas lapan hari dirawat.

SUMBER: BERNAMA