Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi tidak pasti jasad dijumpai milik Nora Anne

SEREMBAN, 21 OKT: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pada awalnya dia tidak dapat memastikan jasad manusia yang ditemukannya ialah Nora Anne Quoirin, memandangkan kedudukannya yang agak jauh dari mayat itu.

Saksi awam Chong Yue Fatt, 57, yang merupakan individu pertama ternampak mayat remaja tersebut pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne, berkata ketika terlihat jasad itu, dia telah menjerit dengan kuat bagi memaklumkan ahli lain dalam kumpulannya tentang penemuan berkenaan.

“Sebaik menjumpai mayat itu, kami semua cuba membuat panggilan telefon kepada pihak berkuasa namun gagal kerana tiada liputan, justeru kami menyuruh seorang lelaki India dalam kumpulan kami agar keluar dari kawasan tersebut dan memberitahu bapanya bagi memanggil pihak bomba ke lokasi.

“Semasa menunggu kedatangan pihak berkuasa, kami saling mengingati ahli kumpulan agar tidak mendekati mayat supaya tidak mencemarkan dan merosakkan bukti. Kami menunggu agak lama, sekitar satu hingga dua jam,” kata saksi ke-28 itu dalam bahasa Mandarin.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu memasuki hari ke-12, hari ini.

Menurut Chong, mayat remaja tersebut yang ditemukan kira-kira 50 meter dari sebuah pondok yang sebelum itu dilalui oleh kumpulan pencari berkenaan, berada dalam keadaan terbaring di atas batu, seolah-olah sedang tidur.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues mengenai barangan yang ada di pondok, peniaga kasut itu berkata: “Saya nampak bekas makanan seperti Maggi dan botol minuman.”

Ketika ditanya oleh koroner mengenai siapa yang membuat keputusan tentang kawasan pencarian, Chong berkata pencarian di kawasan tersebut dilakukan selepas dicadangkan oleh rakannya bernama Chan yang memberitahu dia telah mendapatkan tilikan daripada seorang sami di Thailand dalam usaha mengesan Nora Anne.

“Sami itu memberitahu Chan agar mencari mangsa di tempat yang ada sungai,” katanya.

Sementara itu, saksi ke-29 Muhammad Firdaus Kamarudin, 35, berkata dia ternampak seorang perempuan berambut panjang berwarna perang, bertubuh sederhana dan berkulit putih sedang mandi di tepi sungai di kawasan berkenaan pada 4 Ogos.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Loji Air Gunung Berembun dengan menaiki motosikal sekitar 7 malam dan saya hanya melihat sepintas lalu perempuan tidak berbaju sedang mandi membelakangkan saya,” katanya.

Operator Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) itu berkata meskipun keadaan semakin gelap, dia dapat melihat kelibat perempuan berkenaan dengan jelas selain memberitahu mahkamah aktiviti mandi-manda di kawasan tersebut adalah perkara biasa yang dilakukan oleh penginap di resort berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata dia memaklumkan perkara itu kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dua hari kemudian sebaik mengetahui berita mengenai kehilangan seorang remaja di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dua saksi iaitu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris, 52, dan Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Faizal Ahmad, 40, masing-masing sebagai saksi ke-26 dan 27, dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Prosiding inkues bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne ditangguh, saksi kontak rapat pesakit Covid-19

SEREMBAN, 19 OKT: Prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban terpaksa ditangguh selepas seorang saksi didapati merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja itu, S Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pemohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pengendali inkues, pagi ini.

Beliau berkata bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

“Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada 5.30 pagi tadi oleh penolong pendaftar mahkamah… tetapi dimaklumkan saksi berkenaan telah dikuarantin dan telah jalankan ujian calitan serta masih menunggu keputusan. Saksi itu yang kontak rapat dengan pesakit juga telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lepas.

“Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan. Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka juga baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam,” katanya hari ini.

Beliau berkata mahkamah juga memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga saksi daripada Polis Diraja Malaysia akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga syak Nora Anne diculik, minta polis periksa tiga rumah

SEREMBAN, 25 OGOS: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sehari selepas kehilangan Nora Anne Quoirin, iaitu pada 5 Ogos, keluarganya pernah memaklumkan kepada polis yang mereka mengesyaki anak mereka diculik.

Saksi ketiga prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata mereka juga meminta polis memeriksa tiga buah rumah yang terletak di luar kawasan The Dusun Resort yang dipercayai oleh keluarganya sebagai lokasi keberadaan mangsa.

Resort itu merupakan tempat penginapan Nora Anne dan keluarga sebaik tiba di negara ini pada 3 Ogos 2019 untuk percutian selama dua minggu.

“Ahli keluarga Nora Anne memberi maklumat dan menjangkakan anak mereka yang hilang berada di kawasan sekitar. Saya memberi harapan bahawa saya akan penuhi permintaan keluarga berkenaan dengan pencarian di tiga buah rumah di kawasan sekitar seperti yang diminta ahli keluarga.

“Saya telah minta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Daerah Nilai untuk membuat pencarian di tiga buah rumah itu,” katanya semasa memberikan keterangan pada inkues berkenaan yang memasuki hari kedua, hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengapa pemeriksaan hanya spesifik kepada tiga rumah, beliau berkata tindakan itu adalah seperti yang diminta oleh keluarga.

Menurut saksi itu usaha mencari remaja istimewa tersebut tidak terhenti di situ tetapi dilipatgandakan menerusi operasi pencarian melibatkan dua pasukan merangkumi kawasan seluas 12 ekar (4.86 hektar) di sekitar kawasan resort selain sekatan jalan raya.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa remaja yang hilang itu tak boleh berjalan lebih 20 kaki (enam meter). Saya beranggapan kawasan pencarian 12 ekar adalah memadai dengan maklumat yang saya dapati.

“Selain itu, memandangkan keadaan fizikal dan tahap pemikiran mangsa seperti kanak-kanak berumur 7 tahun, saya ambil inisiatif buat sekatan jalan raya dengan andaian mangsa mungkin menahan atau menumpang kenderaan atau motosikal keluar dari kawasan,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu operasi mencari Nora Anne yang dilakukan sebaik sahaja remaja berkenaan dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lepas dengan peringkat awal pencarian melibatkan kawasan sekitar villa penginapan mangsa dan keluarga.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Sembilan hari selepas kehilangannya iaitu pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosiding siasatan kematian Nora Anne disiar secara langsung

SEREMBAN, 21 OGOS: Prosiding siasatan kes kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang bermula Isnin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban, akan disiarkan secara langsung dalam talian.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kenyataan di sini, hari ini menyatakan, orang ramai boleh menyaksikannya melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ bermula Isnin, pada pukul 9 pagi.

“Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan penstriman langsung mengenai prosiding itu,” menurut kenyataan itu.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu di hadapan Koroner Maimoonah Aid, bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, jelas kenyataan itu.

Mayat Nora Anne, ditemukan berhampiran anak sungai di kawasam berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya bersama keluarga di Jalan Pantai, di sini pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne berlangsung dua minggu mulai 24 Ogos

SEREMBAN, 10 JULAI: Mahkamah Koroner hari ini menetapkan 24 Ogos sebagai tarikh prosiding inkues remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang hilang dan kemudiannya ditemukan mati semasa percutian bersama keluarga di sebuah resort di sini, tahun lepas.

Koroner Maimoonah Aid yang membuat keputusan itu pada sesi pengurusan kes remaja berkenaan di sini berkata inkues akan berlangsung selama dua minggu sehingga 4 September ini.

Turut ditetapkan ialah 13 Ogos depan sebagai tarikh lawatan ke lokasi kejadian di pusat peranginan di Pantai di sini, lokasi mayatnya ditemukan setelah dilaporkan hilang pada 4 Ogos, iaitu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu.

Pada sesi berkenaan, mahkamah juga memutuskan untuk memanggil seramai 64 daripada 102 orang saksi yang dikemukakan pegawai penyelaras inkues Muhamad Iskandar Ahmad dengan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar akan menjadi saksi pertama dalam prosiding yang bertujuan menentukan punca kematian Nora Anne.

Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora Anne pada sesi itu turut memohon agar dikemukakan saksi tambahan iaitu seorang doktor forensik yang menjalankan proses bedah siasat kedua di United Kingdom (UK) bagi membantu inkues.

Koroner Maimoonah juga membenarkan prosiding inkues berkenaan diakses melalui kemudahan telesidang seperti zoom bagi membolehkan keluarga remaja itu yang berada di UK mengikutinya.

“Namun sukar juga hendak dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris memandangkan kebanyakan saksi akan bercakap dalam bahasa Malaysia dan saya akan kekal (bertutur) dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Iskandar pula memohon agar keluarga Nora Anne mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di UK bagi membantu mereka memahami perjalanan prosiding serta keterangan yang diberikan saksi dan ini dipersetujui Koroner Maimoonah.

Sankara ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau bersetuju dengan cadangan Muhamad Iskandar dan akan mencadangkan kepada anak guamnya agar mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di sana bagi membantu menterjemah keterangan saksi dan perjalanan prosiding.

Sementara itu, Muhamad Iskandar pula berkata meskipun jumlah saksi yang diputuskan adalah 64 orang, mahkamah boleh menambah bilangan saksi pada bila-bila masa.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos, sehari selepas ibu bapanya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort tersebut susulan pencarian secara besar-besaran.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian Nora Anne yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan di Negeri Sembilan tidak terjejas dengan insiden Nora Anne

PORT DICKSON, 17 OGOS: Industri pelancongan di Negeri Sembilan diyakini tidak terjejas dengan insiden kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, pada Selasa lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kita berharap mereka (pelancong) akan tetap datang ke negeri ini tanpa berasa risau mengenai soal keselamatan dan kita akan pastikan kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi di negeri ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Hari Ladang Peringkat Daerah Port Dickson di Dataran Kampung Pachitan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada industri pelancongan di negeri ini akan terjejas ekoran insiden berkenaan.

Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 12.42 tengah malam tadi selepas proses dokumentasi selesai.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang tertinggi kepada ekonomi Negeri Sembilan dan setakat ini telah merekodkan seramai 6.1 juta pelancong domestik.

Sementara itu, Menteri Besar berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau memberhentikan operasi eko-resort berkenaan akan ditentukan pada 31 Ogos ini.

“Sebenarnya kerajaan negeri sedang membuat proses pemutihan yang akan berakhir pada 31 Ogos ini. Selepas ini kita akan memutuskan sama ada kita akan teruskan operasi atau berhentikan operasi pusat peranginan itu.

“Kita akan lihat dari segi keselamatan, pembinaan, kelulusan dan secara keseluruhannya untuk kita pertimbangkan. Jika ia benar-benar selamat tiada masalah untuk kita teruskan operasi,” katanya.

Aminuddin dalam pada itu juga turut menasihatkan pengunjung yang ingin bercuti di kawasan berkenaan supaya mengutamakan keselamatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Wan Azizah sebak bertemu keluarga Nora Anne

SEREMBAN, 16 OGOS: Pertemuan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di sini, hari ini berlangsung dalam suasana penuh emosi.

Bersama linangan air mata, Timbalan Perdana Menteri memeluk ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, ketika ditemukan di resort berkenaan, yang dibuat secara tertutup.

“Timbalan Perdana Menteri kelihatan sedih sepanjang pertemuan itu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang mengiringi Dr Wan Azizah bersama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof, menurut laporan asal Bernama.

Lee Koon turut memaklumkan Meabh dan suaminya Sebastien Marie Philipe didengar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha yang dijalankan dalam kes itu.

Wan Azizah bagaimanapun enggan mengulas hasil pertemuan itu apabila dihampiri pemberita kemudian.

Beliau hanya menyebut keluarga berkenaan memohon diberi privasi semasa menghadapi waktu sukar ini.

Pada 13 Ogos lalu, Nora Anne, 15, ditemui mati 10 hari selepas kehilangannya dari vila percutian di resort eko-pelancongan dekat sini, pada 4 Ogos lalu.

Hasil post-mortem mendapati remaja berkeperluan khas itu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kemungkinan akibat kelaparan dan stres.

Dr Wan Azizah terdahulu diberi taklimat berhubung kes itu oleh Mohamad, di balai polis Pantai di sini.

Ketika ditemui pemberita di sini, beliau menyifatkan kematian Nora Anne sebagai sesuatu yang tragis dan amat menyedihkan.

Beliau turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat atas usaha tanpa mengenal penat untuk mencari Nora Anne, yang mayatnya dijumpai di gaung kira-kira 2.5 km dari eko-resort itu pada hari ke-10 operasi.

Categories
BERITA UTAMA

TPM dijadual bertemu keluarga Nora Anne pagi ini

SEREMBAN, 16 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan keluarga Nora Anne Quoirin, jam 10.30 pagi ini susulan kematian remaja Ireland itu, pada 10 Ogos lalu.

Pertemuan itu dirancang diadakan di resort The Dusun, Pantai, resort penginapan keluarga berkenaan yang juga tempat Nora Anne, 15, dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian selama dua minggu.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah dijadual mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Balai Polis Pantai berhubung kes yang menimpa remaja anak istimewa itu.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia ekoran kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu mungkin meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda perbuatan jenayah.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan gadis itu dilaporkan hilang.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pagi ini mendapati mayat Nora Anne masih belum dituntut anggota keluarga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Nora Anne

SHAH ALAM, 15 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua berdukacita selepas mendapat perkhabaran berhubung kematian gadis berusia 15 tahun itu.

Katanya, Agong dan Permaisuri turut menyatakan penghargaan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Britain, Perancis, Ireland dan Malaysia serta sukarelawan yang sanggup membantu keluarga berkenaan ketika dalam kesusahan.

“Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada ibu bapa, adik beradik dan seluruh keluarga Nora Anne.

“Pada masa sama, baginda turut mengingatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung apa yang berlaku sehingga siasatan polis selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya pada 3 Ogos lalu untuk percutian dua minggu di negara ini.

Bagaimanapun, dia disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di The Dusun, Pantai Hill, Nilai, Negeri Sembilan, oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Ekoran itu, pencarian dilakukan dan kelmarin, mayat perempuan ditemui kira-kira dua kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya.

Keluarga Nora Anne yang membuat pengecaman di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mengesahkan mayat ditemui jam 1.57 tengah hari adalah ahli keluarga mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan bedah siasat Nora Anne dijangka hari ini

SEREMBAN, 15 OGOS: Perhatian kini tertumpu kepada Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar di sini bagi mengetahui hasil bedah siasat ke atas mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati pada Selasa ketika bercuti di sini.

Hari ini, pengamal media tempatan dan antarabangsa mula memenuhi perkarangan lokasi itu seawal 7 pagi untuk mengetahui punca kematian gadis berusia 15 tahun berkenaan susulan bedah siasat yang dijalankan mulai semalam.

Dua sidang media diadakan semalam, namun ia hanya memaklumkan proses itu masih berlangsung — berita yang menghampakan bukan sahaja buat petugas media malah orang ramai di dalam dan luar negara yang mengikuti perkembangan kes itu.

Satu sidang media dijangka diadakan hari ini namun masanya masih belum diketahui.

Mayat Nora Anne ditemui pada Selasa di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu bersama keluarganya di Pantai di sini.

Mayat remaja anak istimewa itu ditemui pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan selepas dilaporkan hilang dari resort berkenaan pada 4 Ogos lalu.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba di Malaysia bersama keluarga pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah sedih kematian Nora Anne

SHAH ALAM, 14 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih susulan penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Dalam kenyataan ringkas, Wan Azizah turut melahirkan simpati dengan insiden berkenaan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

“Saya amat sedih dengan kematian Nora Anne, saya berdoa semoga keluarganya diberi kekuatan sepanjang melalui tempoh yang menyedihkan ini.

“Kami percaya polis akan melakukan yang terbaik untuk membongkar kematian tragis ini,” katanya melalui Facebooknya, hari ini.

Keluarga Nora Anne mengesahkan mayat perempuan yang ditemui pada 1.57 tengah hari semalam adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat peranginan di The Dusun, Pantai Hill, Nilai di sini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, dilaporkan berkata pengesahan itu diperoleh selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang selepas 10 hari usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan

Mayat tanpa pakaian tetapi dalam keadaan sempurna itu ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi SAR.

Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan helikopter dan terus diterbangkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Nora Anne

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin susulan penemuan jasad gadis terbabit, pada hari ke-10 kehilangannya dari tempat penginapan, The Dusun, Pantai Hill, Nilai, tengah hari semalam.

Melalui ciapan ringkas di Twitter miliknya, beliau menyifatkan kehilangan misteri anak istimewa berusia 15 tahun yang berakhir dengan titik hitam itu sebagai kisah menyayat hati.

“Berita menyayat hati. Ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga. Semoga jiwanya tenang dan damai,” tulisnya.

Semalam, mayat remaja itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Pengesahan identiti mayat berkenaan dilakukan selepas pengecaman ahli keluarga remaja malang itu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5 kilometer (km) dari tempat penginapan dia dilapor hilang, iaitu kawasan terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini sudah beberapa kali dilalui kumpulan SAR.

Remaja orang kurang upaya yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk percutian dua minggu di negara ini dan disedari hilang dari bilik penginapannya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.