Categories
AGENDA NASIONAL

MOM harap aktiviti sukan dibenarkan semula, sedia patuh SOP

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa kerajaan supaya membenarkan semula aktiviti sukan yang dihentikan sejak Mac berikutan pandemik Covid-19.

MOM dalam kenyataan menerusi laman webnya www.olympic.org.my memaklumkan penggiat sukan bersedia mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat ditetapkan oleh agensi kerajaan berkaitan agar atlet dapat menyambung semula latihan persediaan mereka untuk menghadapi pelbagai pertandingan yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

Perkara itu adalah antara butiran penting yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-195 yang diadakan secara maya hari ini.

Perhimpunan Agung Tahunan ke-39 kemudian diadakan selepas mesyuarat itu dengan ahli MOM meluluskan laporan tahunan 2019 serta akaun yang diaudit untuk tahun berakhir 31 Disember 2019.

Kedua-dua mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden MOM Tan Sri Norza Zakaria dan dihadiri ahli lembaga MOM serta wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Atlet.

Lebih 100 wakil daripada lebih 50 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) menghadiri mesyuarat secara maya itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Pemegang taruh industri sukan dinasihat patuh SOP

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Semua pemegang taruh dalam industri sukan negara digesa supaya mematuhi dengan rapi tatacara operasi piawai (SOP) ketat kementerian berkaitan bagi menamatkan penularan Covid-19 dalam negara.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pelbagai aktiviti sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkata, industri sukan dan kecergasan perlu mengamalkan disiplin kendiri dan urus tadbir baik bagi menewaskan penularan pandemik itu.

“Kesihatan dan kebajikan semua ahli sukan perlu menjadi keutamaan penting kita, bersama kita boleh menewaskan musuh yang tidak dapat dilihat ini, dan sehubungan itu saya menggesa semua pihak untuk mengamalkan norma baharu yang diguna pakai dalam sukan.

“Akhir sekali, marilah kita bersama melaksanakan peranan kita biar sekecil mana sekalipun bagi memastikan tahap toleransi kekal utuh, dan menghormati SOP yang telah digariskan kerajaan,” menurut Norza dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MOM semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan beberapa jenis sukan dan aktiviti rekreasi akan dibenarkan di bawah PKPP mulai Rabu ini dengan pematuhan rapi terhadap SOP ketat.

Antara yang dibenarkan adalah acara sukan yang tidak melibakan sentuhan fizikal seperti boling, badminton, memanah, menembak, berbasikal serta berkonvoi, manakala yang masih belum dibenarkan adalah seperti berenang, ragbi, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Malaysia sokong keputusan tangguh Sukan Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melahirkan sokongan penuh keputusan kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga tahun depan, ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Ketua Pengarah OCA Husain Al Musallam dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata mereka menghargai langkah itu, sambil menambah kesihatan dan kesejahteraan para atlet dan semua pihak berkepentingan dalam Sukan Olimpik mesti menjadi keutamaan.

Oleh itu, Husain berkata ia adalah masa yang sesuai bagi pergerakan sukan Olimpik di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan serta bekerja sebagai satu pasukan dalam persiapan untuk masa depan yang lebih cerah.

“Pada masa ini, kami ingin menzahirkan simpati yang mendalam kepada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 untuk semua kerja, perancangan dan persediaan yang telah mereka lakukan selama beberapa tahun – hanya disebabkan pandemik yang tidak dijangka ini yang telah mengubah sejarah perjalanan Olimpik,” katanya.

“Kami tahu Jepun akan pulih daripada rintangan ini dan akan menjadi penganjur yang lebih baik untuk menandakan kemunculan manusia selepas berjaya memerangi virus ini. Kami juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para atlet Asia untuk segala usaha mereka bagi kelayakan atau cubaan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut menyokong penangguhan itu sambil berkata ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan tempatan yang relevan, untuk memastikan kepentingan atlet Malaysia sentiasa dilindungi.

“Kami gembira keputusan ini diambil sekarang dan bukannya kemudian. Kebimbangan utama kami adalah keselamatan dan kesejahteraan para atlet dan kami berempati dengan para atlet yang layak ke Tokyo 2020.

“Apa yang berlaku hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu keutamaan kami sebagai komuniti sukan adalah untuk menyokong Kerajaan kita dalam usahanya untuk menghapuskan ancaman Covid-19,” kata Mohamad Norza dalam kenyataan yang dikeluarkan MOM semalam.

Beliau juga mendedahkan bahawa MOM akan mengadakan rundingan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Persatuan Sukan Kebangsaan pada masa akan datang mengenai mengenai implikasinya terhadap atlet kebangsaan berikutan penangguhan itu.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

MOM percaya Wirdati boleh tangani masalah persatuan sukan

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya Pesuruhjaya Sukan yang baharu, Prof Madya Dr Wirdati Mohd Radzi, berupaya menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria merasakan pelantikan pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya (UM) itu, merupakan satu pendekatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa ekosistem baharu dalam arena sukan negara.

“Saya yakin beliau boleh bersikap objektif, sebagai orang yang masih segar dalam industri sukan negara. Kita berada dalam keadaan mencabar, kerana ada beberapa persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai masalah dalaman. Saya harap ia dapat diselesaikan,” katanya kepada media selepas pelancaran Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Perlantikan Wirdati adalah bagi menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lepas, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Untuk rekod, Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), serta bekas bendahari (2014-2016) dan juruaudit (2016-2018) Persatuan Pengurusan Sukan Asia.

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam Dasar Pendidikan, Pengurusan dan Pentadbiran (Undang-undang Pendidikan, Dasar Pendidikan, Tadbir Dalam Pendidikan, Pengurusan Sukan dalam Pendidikan); Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (Pengurusan Sukan, Dasar Sukan, Penyelidikan Perbandingan dalam Sukan); dan Tadbir Urus (Undang-undang Sukan dan Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dalam Sukan).

Mengulas mengenai permasalahan yang dialami beberapa persatuan sukan negara, Mohamad Norza menasihatkan persatuan terlibat untuk fokus kepada tanggungjawab hakiki mereka, iaitu untuk melengkapkan atlet dengan persediaan rapi menjelang penganjuran Sukan SEA Filipina pada November ini dan Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.

“Setakat ini apa yang berlaku diperingkat persatuan tidak mempunyai impak yang besar kepada atlet kerana saya percaya pemimpin persatuan tahu bahawa apa yang berlaku hanya dihadkan di peringkat mereka. Perancangan mereka dari segi latihan yang telah dibincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza percaya kemelut dalaman yang melanda Filipina selaku penganjur Sukan SEA 2019, akan diselesaikan tidak lama lagi dan menolak spekulasi penganjuran sukan dwitahunan itu akan dianjak ke tahun hadapan.

Kemelut itu berlaku selepas Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), Ricky Vargas, meletak jawatan lima bulan menjelang Sukan SEA dan meskipun kemelut dalaman itu belum reda, POC dijangka akan mengadakan pemilihan presiden baru 10 Julai ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rafizi Dakwa DBKL Tunduk Tekanan Politik Umno-BN

rafizi perhimpunan

SHAH ALAM 11 JUN : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak memberikan jawapan jelas mengenai penggunaan Padang Merbok pada 23 Jun depan didakwa kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno-BN.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, acara pada 23 Jun tidak melibatkan Padang Merbok dengan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun.

Katanya, Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa DBKL menolak permohonan menggunakan padang itu melalui surat yang difakskan.

“Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun, tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun.

“Apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

olympiccouncilfbKatanya, sebelum ini alasan permohonan itu ditolak bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun.

Ujarnya, pendirian pimpinan Umno-BN bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam

routeJika pendirian pimpinan Umno-BN ini digunapakai, maka tidak ada majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta itu perlulah ditukar namanya menjadi ‘Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja’.

“Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan.

“Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun,” kata Rafizi.