Categories
PBT SELANGOR

MPKL kembalikan wang permit bazar Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan mengembalikan semula wang bayaran permit yang dijelaskan peniaga untuk menjalankan perniagaan di bazar Ramadan, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata langkah itu dibuat susulan pengumuman Kerajaan Negeri membatalkan penganjurannya tahun ini bagi mengekang penularan Covid-19.

“Peniaga perlu melengkapkan butiran maklumat melalui pautan https://forms.gle/RUQ7fwBfxb5QJ4Mg6 untuk tindakan selanjutnya.

“Antara dokumen diperlukan adalah maklumat peniaga, alamat, lokasi bazar, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor lesen perniagaan. Permohonan dibuka bermula esok dan tiada tarikh tutup ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara berkenaan boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Pelesenan MPKL melalui talian 03-31872825/116/150.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL: Hanya satu wakil keluarga dibenar ke pasar awam

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) hanya memberi kebenaran kepada seorang wakil keluarga sahaja bagi urusan membeli barangan keperluan di pasar awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataannya, MPKL memaklumkan pihaknya menguatkuasakan arahan itu semalam dan tindakan diambil terhadap orang awam yang ingkar.

“Hanya satu pintu masuk dibuka di semua pasar awam dengan seorang wakil keluarga dibenarkan masuk untuk tujuan pembelian itu dan semua diminta mematuhinya bagi mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Selain itu, MPKL juga mengenakan beberapa syarat bagi pengunjung, antaranya memastikan pematuhan jarak sosial satu meter, tidak digalakkan mengerumuni meja jualan dan perlu memakai sarung tangan serta penutup muka.

Peniaga juga diwajibkan memakai kelengkapan sama dan waktu pasar beroperasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Categories
EXCO SELANGOR

MPKL tumpu bina terminal bas serba lengkap

SHAH ALAM, 14 NOV: Selepas mendapat status penaik tarafan sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), kini tiba masa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha pembinaan sebuah terminal bas yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak terminal bas itu yang terletak bersebelahan pasar awam Banting.

“Tapak sudah ada, cuma bangunan terminal belum ada lagi dan sekarang kita sedang mengukur tapak berkenaan bagi tujuan pembinaan.

“Kita juga akan berusaha mencari dana pembinaan daripada beberapa pihak termasuk kementerian dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari ketika di sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menukar statusnya kepada majlis perbandaran.

Katanya, perkara berkenaan disahkan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, pihaknya komited untuk terus meningkatkan segala kemudahan di kawasan pentadbiran terbabit bagi memastikan keselesaan penduduk terjamin sepanjang masa.

“Saya berterima kasih dengan pengumuman dibuat beliau (Amirudin Shari) berhubung status penaik tarafan MDKL kepada MPKL.

“Kita berada pada tahap bersedia sepenuhnya dengan penaik tarafan ini,” katanya.

Sehingga kini, Selangor mempunyai dua majlis bandaraya termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.