Categories
PBT SELANGOR

MBPJ iktiraf kreativiti pelajar menerusi i-Play Park Damansara Damai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan platform untuk pelajar sekolah turut serta menyumbang idea menjayakan i-Play Park Damansara Damai.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Damansara Damai diberi kepercayaan untuk merekabentuk dan terlibat secara langsung dalam pembinaan dan menjaga kemudahan taman berkenaan.

“Mereka akhirnya menghasilkan konsep taman berbeza daripada apa yang sering dilaksanakan oleh majlis.

“Menerusi projek ini, mereka tampil dengan taman lengkap dengan kemudahan ‘outdoor class room’ yang menengahkan konsep ‘belajar sambil bermain’ dengan komponen ‘i-Fun’, ‘i-Ranger’, ‘i-Grow’ dan ‘i-Green’,” katanya ketika ucapan aluan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, baru-baru ini.

Azizi berkata, i-Play Park Damansara Damai bersama satu lagi inisiatif, PJ City Food Bank menarik minat Korea dan China.

“Kedua negara membuat keputusan untuk menghantar kakitangan mereka ke MBPJ bagi mempelajari bagaimana kita melaksanakan kedua inisitif berkenaan,” katanya.

PJ City Food Bank merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah PJ Kita yang diwujudkan sejak 2012.

Ia merupakan program agihan makanan kepada rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah orang kurang upaya dan orang miskin dengan kekerapan tiga kali seminggu.

PJ City Food Bank menerima sokongan jenama terkenal seperti Tesco, Dutch Lady, Nestle dan menerima sumbangan RM1.5 juta daripada Bank Rakyat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MBPJ terima pengiktirafan antarabangsa penggunaan karbon rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 11 MAC: Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas menjadi contoh terbaik negara luar dalam usaha mengurangkan penggunaan karbon di peringkat global.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata pemilihan itu diumumkan pada Persidangan Antarabangsa WWF (ICLEI) yang diadakan di Seoul Korea, baru-baru ini.

IMG_1288“Petaling Jaya sudah menjadi contoh bandar terbaik penggunaan karbon rendah berbanding bandar raya lain dari seluruh dunia di persidangan antarabangsa baru-baru ini.

“Ini menunjukkan komitmen kita untuk mengekalkan teknologi hijau di Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Pengurusan Karbon Fasa II di Bilik Gerakan bangunan MBPJ di sini, hari ini.

Pengumuman itu sekali gus membuka ruang kepada pihaknya untuk meneruskan pelbagai program bersama pihak luar bagi mencapai status bandaraya rendah karbon.

Usaha berkenaan diteruskan dengan kerjasama Carbon Trust United Kingdom menerusi program Pengurusan Karbon Fasa II.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa usaha sama kita bersama pihak Carbon Trust UK berjaya dilaksanakan dengan baik sejak ia mula dijalankan tahun lalu,” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Mohd Azizi berkata, MBPJ akan merangka pelbagai program jangka panjang bagi melahirkan bandaraya bebas karbon pada masa depan.

“Saya mengulangi bahawa MBPJ akan terus mengambil langkah konsisten untuk menyuntik kesedaran kepada masyarakat bagi menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya bebas karbon menjelang 2030,” katanya.

-AA-