Categories
SELANGOR

MB: Selangor adaptasi kejayaan Sarawak kekal keharmonian agama

Oleh: NAEEM RAFFI

KUCHING, 4 MAC: Selangor akan mengadaptasi acuan kejayaan Kerajaan Sarawak dalam mengekalkan keharmonian agama masyarakat majmuk dalam pentadbiran negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, usaha itu diambil bagi memastikan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama di Selangor hidup dalam suasana aman serta harmoni, sekali gus menolak fahaman ekstremis pelampau agama.

Katanya, kepelbagaian agama adalah aset yang amat penting dalam usaha membangunkan negeri dan negara.

rakyat majmuk“Kita mencontohi Sarawak dalam hal ini. Walaupun terdapat 40 peratus bukan Islam di bumi kenyalang, tetapi mereka dapat mengekalkan keharmonian dalam menjalani kehidupan seharian.

“Sebaliknya di Selangor, peratus bukan Islam lebih sedikit tetapi suasana seumpama itu sukar diperoleh,” katanya kepada Selangor Kini.

Hasrat itu sempat dibincangkan secara mendalam ketika kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Adenan Satem, di sini, semalam.

Kesempatan mengetuai delegasi Selangor ke Sarawak sepanjang tiga hari bermula 1 Mac lalu digunakan sepenuhnya apabila Mohamed Azmin berkesempatan bertemu Pengerusi ACS Most Reved Archbishop, Datuk Bolly Lapok di kediaman rasminya di St Thomas Catheral, di sini.

B_Ji_0tVIAAGgvkDalam pertemuan singkat itu, beliau berbincang dengan Bolly untuk menganjurkan dialog antara agama dengan lebih kerap supaya masyarakat Islam dan Kristian dapat memahami antara satu sama lain.

“Sudah tentu peranan masyarakat Islam dan Kristian itu penting untuk menganjurkan pertemuan seperti ini supaya generasi muda akan datang dapat memahami betapa pentingnya kefahaman serta kesedaran berkenaan agama masing-masing.

“Usaha ini juga akan menemukan titik persefahaman yang lebih baik bagi mewujudkan persekitaran harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Pertemuan juga diadakan bersama ketua-ketua gereja Sarawak yang diketuai Chairman of Kuching Ministers Fellowship, Seniour Pastor Darren Tan, dalam majlis tertutup di Kelab Sarawak, di sini, pada 2 Mac lalu.

-NFN-