Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Warga tani diseru daftar maklumat diri, mudahkan salur bantuan

HULU LANGAT, 25 FEB: Warga tani Selangor diseru untuk mendaftar maklumat peribadi dengan jabatan berkaitan bagi memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata golongan itu merupakan mereka yang bergiat dalam sektor pertanian, nelayan, penternakan serta akuakultur.

“Kerajaan Negeri mahu mereka mendaftar maklumat peribadi kerana lebih mudah untuk kita salurkan sebarang bantuan. Kita ada banyak bantuan untuk warga tani, tetapi sayangnya maklumat mereka tiada dalam mana-mana agensi kerajaan berkaitan.

“Oleh itu saya gesa supaya semua warga tani di negeri ini segera berdaftar, tidak kisah sama ada anda usahawan tani secara kecil-kecilan ataupun berskala besar,” kata Ir Izham Hashim selepas menyerahkan 6,400 kilogram baja kompos percuma kepada petani di pasar lama Pekan Beranang hari ini.

Beliau menjelaskan sehingga kini hanya 20,000 individu yang mendaftar sedangkan Selangor mempunyai lebih 50,000 warga tani serta golongan terbabit boleh berbuat demikian di Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan mahupun pejabatnya di SUK.

“Memandangkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kita akan permudahkan urusan pendaftaran dengan melantik ketua kampung dan juga ahli majlis untuk mencari warga tani ini.

“Data-data yang dikumpul ini juga amat berguna untuk Kerajaan Negeri memperkasakan pengeluaran makanan iaitu hasilnya dikeluarkan oleh warga tani kita sendiri,” katanya.