Categories
AGENDA NASIONAL

MAB: Diskaun 20 peratus kepada guru, pensyarah dan pelajar

SHAH ALAM, 8 JULAI: Malaysia Airlines Berhad (MAB) setuju memberi potongan 20 peratus harga tiket penerbangan bagi perjalanan rentas negeri kepada pelajar, guru dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam dan swasta.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata guru dan pensyarah boleh membuat tempahan tiket itu secara dalam talian mulai 9 Julai hingga 30 November.

“Mereka perlu memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pelajar pula boleh mendapatkan potongan itu melalui program MH Explorer dengan daftar menjadi ahli di laman sesawang rasmi Malaysia Airlines.

Katanya, diskaun itu sah sehingga 30 November atau mengikut tempoh keahlian tamat.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pengurusan MAB atas kesudian menawarkan diskaun ini. Diharapkan syarikat penerbangan lain juga boleh turut serta dalam usaha menurunkan harga tiket penerbangan,” kata beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah Nasional kekal pemegang saham utama Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Khazanah Nasional Bhd kekal berpengaruh dan menjadi pemegang saham penting dalam struktur baharu syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui Khazanah dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) kini sedang meneliti empat pelabur strategik untuk membentuk sinergi, demi kelangsungan operasi syarikat penerbangan negara itu bagi jangka masa panjang.

“Penekanan diberi kepada cadangan (pelabur) yang mengambil kira ‘kehematan’ kewangan dan sinergi kepada operasi Malaysia Airlines.

“Bagaimanapun, di bawah perjanjian Non-Disclosure Agreement (perjanjian tanpa pendedahan), kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang meminta penjelasan berhubung desas-desus bahawa Jepun berhasrat mengambil alih syarikat penerbangan itu.

Mohamed Azmin berkata, keputusan tentang rakan strategik (pelabur) bagi mengukuhkan kedudukan MAB itu akan dibuat pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menurutnya semua maklum balas, cadangan dan penelitian pada bulan hadapan akan dibentang dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah, selaku pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

Jelasnya Ogos lalu, Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur berpotensi untuk memberikan cadangan dan tawaran bagi MAB.

Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula Malaysia Airlines termasuk Pelan Pemulihan MAS (PPM) 2014 – 2019 untuk memulihkan kedudukan dan prestasi kewangan dan operasi syarikat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines akan sedia penerbangan sewa khas Kuala Lumpur, Istanbul

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjalin kerjasama dengan Turkish-Dorak Holdings untuk menyediakan penerbangan sewa khas antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul mulai Oktober hingga Disember 2019.

Perjanjian bagi tempoh tiga bulan itu yang ditandatangani antara syarikat penerbangan kebangsaan dan Turkish-Dorak pada Jumaat akan menyaksikan syarikat penerbangan itu mengendalikan penerbangan sewa khas tiga kali seminggu, menggunakan pesawat Airbus 330 miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail berkata, susulan pemeteraian perjanjian itu, Malaysia Airlines akan menjadi syarikat penerbangan Malaysia yang pertama untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, sejak Malaysia Airports Holdings Bhd mengambil alih lapangan terbang itu pada 2015.

“Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia, kami merupakan titik hubungan bagi Malaysia, dan titik hubungan untuk pelawat mengalami hospitaliti Malaysia.

“Kami berharap menerusi perjanjian ini, kami dapat mempromosikan lagi Malaysia kepada Turki dan juga menarik pasaran baharu untuk melawat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian itu ditandatangani antara Hazman Hilmi Sallahuddin, anggota kanan pasukan pengurusan MAB dan Ahmet Serdar Körükçü, pengerusi Lembaga, Dorak Holdings. – BERNAMA