Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Khazanah: Sukar untuk Malaysia Airlines, AirAsia bergabung

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Khazanah Nasional Bhd menegaskan bahawa sebarang penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, sukar untuk dilaksanakan.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata model perniagaan yang berbeza dan budaya kerja yang berlainan membuktikan gabungan dua entiti seperti itu jarang membuahkan hasil.

“Malaysia memerlukan syarikat penerbangan tambang rendah dan syarikat yang menawarkan penerbangan nilai tinggi seperti Malaysia Airlines untuk wujud bersama, berikutan kita perlu memenuhi pelbagai segmen pasaran.

“Oleh itu, saya fikir untuk strategi jangka panjang Malaysia, penting untuk memberikan pilihan yang mencukupi, bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada pelancong luar untuk datang ke negara ini,” katanya dalam program Money Matters terbitan TV3, pada Sabtu.

Khazanah Nasional merupakan pemilik penuh MAB.

Sebelum ini, Shahril dilaporkan berkata Khazanah sedang menunggu pelan pemulihan strategik yang akan dirangka pengurusan Malaysia Airlines.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah catat pemulihan bagi prestasi kesuluruhan 2019

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Khazanah Nasional Bhd, dalam tahun penuh pertama di bawah mandat baharu mencatatkan pemulihan bagi prestasi keseluruhan 2019 dengan keuntungan operasi disumbangkan oleh hasil pelupusan lebih tinggi dan susut nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Ia merekodkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding dengan kerugian operasi RM6.27 bilion pada 2018.

Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala susut nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya, menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Dana strategik negara itu berkata ia turut mengumumkan dividen sebanyak RM1.0 bilion bagi 2019 di samping mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding dengan RM674 juta pada 2018.

Menurutnya, ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas (bps) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50bps pada tahun sebelumnya.

“Prestasi kami pada 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti, yang menyaksikan proses Brexit berpanjangan serta perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang kian sengit.

“Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan. Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” kata Pengarah Urusan, Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan yang sama.

Khazanah berkata selepas setahun melaksanakan langkah pengimbangan semula portfolionya, ia mula mencatatkan kejayaan awal dalam mempelbagaikan Dana Komersial di bawah mandat baharu dan berada di kedudukan baik untuk terus meningkatkan aktiviti pelaburan pada 2020.

Dana Strategiknya pula turut mencapai hasil kewangan dan strategik untuk aset-aset tertentu meskipun pasaran lembab pada 2019.

Khazanah berkata ia telah melaksanakan libat urus secara berterusan dengan kerajaan untuk memperkukuh landskap pengawalseliaan, memperbaharui dan memperkuatkan barisan kepimpinan di syarikat-syarikat pelaburannya.

Selain itu ia turut memulakan inisiatif penstrukturan bagi meningkatkan prestasi kewangan dan merealisasikan nilai, menurutnya.

Shahril Ridza berkata dalam melangkah maju, tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan ditambah lagi dengan penularan Covid-19.

“Sungguhpun pakej rangsangan ekonomi yang baru diumumkan kerajaan amat dialu-alukan, kami tetap bersiap sedia untuk menghadapi suatu tempoh kelembapan dalam ekonomi global.

“Persekitaran yang tidak menentu akan memberi kesan kepada negara dan syarikat. Bagaimanapun, kami yakin portfolio dan strategi kami yang pelbagai berada dalam keadaan kukuh, sungguhpun kami sedar kejayaan yang telah dicapai pada 2019 sukar untuk diulangi,” katanya.

Khazanah akan terus memberi tumpuan untuk mempelbagaikan lagi Dana Komersil, dan pada masa sama bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan lagi rangka kerja pengawalseliaan yang relevan, merangkumkan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dalam semua aktiviti pelaburan serta mempromosi inisiatif ciptaan nilai dalam kalangan syarikat pelaburannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah Nasional kekal pemegang saham utama Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Khazanah Nasional Bhd kekal berpengaruh dan menjadi pemegang saham penting dalam struktur baharu syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui Khazanah dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) kini sedang meneliti empat pelabur strategik untuk membentuk sinergi, demi kelangsungan operasi syarikat penerbangan negara itu bagi jangka masa panjang.

“Penekanan diberi kepada cadangan (pelabur) yang mengambil kira ‘kehematan’ kewangan dan sinergi kepada operasi Malaysia Airlines.

“Bagaimanapun, di bawah perjanjian Non-Disclosure Agreement (perjanjian tanpa pendedahan), kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang meminta penjelasan berhubung desas-desus bahawa Jepun berhasrat mengambil alih syarikat penerbangan itu.

Mohamed Azmin berkata, keputusan tentang rakan strategik (pelabur) bagi mengukuhkan kedudukan MAB itu akan dibuat pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menurutnya semua maklum balas, cadangan dan penelitian pada bulan hadapan akan dibentang dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah, selaku pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

Jelasnya Ogos lalu, Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur berpotensi untuk memberikan cadangan dan tawaran bagi MAB.

Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula Malaysia Airlines termasuk Pelan Pemulihan MAS (PPM) 2014 – 2019 untuk memulihkan kedudukan dan prestasi kewangan dan operasi syarikat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Shahril lapor diri sebagai pengarah urusan baharu Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Datuk Shahril Ridza Ridzuan hari ini memulakan tugasnya sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau yang tiba di pejabat Khazanah Nasional di Kuala Lumpur City Centre pada 8.50 pagi, disambut oleh para pegawai cabang dana pelaburan kerajaan itu.

Shahril yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Azman Mokhtar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini ialah pengerusi baharu dana kekayaan negara itu, menggantikan, Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan pada 31 Mei.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh, dan Goh Ching Yin turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah.

Ini berikutan peletakan jawatan beramai-ramai oleh sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah termasuk Azman pada 26 Julai, bagi memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional letak jawatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Khazanah Nasional Berhad mengesahkan laporan peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarahnya termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof.

Khazanah menerusi kenyataan berkata, tindakan peletakan jawatan itu bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar dan efisien, di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

“Semua ahli lembaga pengarah berasa bangga dan berbesar hati kerana diberi peluang menjalankan perkhidmatan dengan syarikat ini.

“Kami menyifatkan tindakan ini wajar untuk menawarkan kerajaan baharu hak mutlak dalam membentuk dan memilih ahli lembaga pengarah.

“Kenyataan lanjut dikeluarkan selepas mendapat butiran berhubung pembentukan lembaga pengarah baharu,” katanya.

Pengarah Khazanah Nasional lain termasuk Dato’ Sri Nazir Razak, Dato’ Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Terdahulu, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengkritik syarikat dana pelaburan terbabit yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya untuk membantu kaum Bumiputera.