Categories
EKONOMI

HIJRAH: Konsep tabungan dalam pinjaman, sambil pinjam sambil menyimpan

Oleh: NORHAYATI UMOR

Program HIJRAH diperkenal Kerajaan Selangor bagi melonjak golongan miskin berhijrah memasuki kumpulan berpendapatan menengah melalui dana RM100 juta. Ikuti temu bual wartawan NORHAYATI UMOR bersama Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Monsor Othman.

Apakah falsafah dan misi penubuhan Hijrah?

Untuk membesarkan lagi golongan kelas menengah di Selangor. Sebab, kita tahu Selangor sebuah negeri kaya, paras kemiskinan angkanya kecil. Miskin tegar sifar, paras kemiskinannya empat peratus. Tidak tinggi berbanding dengan negeri lain. Jadi kita mahu hijrahkan mereka ke kelas menengah. Kerangka yang besar adalah untuk menbesarkan/ melebarkan kelas menengah di Selangor. Itu misinya.

Apa sasaran Hijrah tahun ini dan tiga tahun akan datang? Berapakah jumlah dana disediakan untuk program itu?

Pada dasarnya, masa mula-mula program dirangka untuk melebarkan golongan kelas menengah, mediumnya ialah memberi modal tambahan kepada peniaga kecil. Maknanya, skim ini ialah modal tambahan yang mudah, cepat dan tidak membebankan.

program-hijrahIsi borang, dalam 10 hari, peniaga boleh dapat pinjaman. Ia tidak membebankan seperti pinjam Ah Long, skim kita, skim tiga dalam satu itu. Dari segi sasaran, satu Dewan Undangan Negeri (DUN) 1,000 orang. Jadi maknanya RM56,000.

Pada permulaan Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM100 juta.
Jika mengikut sasaran, purata mungkin akan dapat pinjaman dalam RM40,000 hingga RM50,000 seorang.

Tahun ini, kita mula lancarkan pada tiga peringkat. Pertama 1,200 orang, peringkat kedua 2,350 orang dan peringkat ketiga lebih 3,000 penerima. Ini dalam masa dua-tiga bulan sahaja. Jadi, kalau hendak memenuhi sasaran, sebulan Hijrah kena memberi sekurang-kurangnya 2,000 penerima. Secara purata, dalam dua tahun.

Boleh jelaskan bentuk pinjaman yang disediakan, syaratnya, berapa lama kelulusan serta bagaimana tempoh bayaran balik?

Skim Tiga dalam Satu membabitkan mudah, cepat dan tidak membebankan. Mudah kerana tiada penjamin – hanya isi borang satu muka surat. Kemudian, panggil taklimat melalui wakil kita – pemimpin masyarakat setempat dan kumpulkan mereka serta beri taklimat mengenai konsep, skim pinjaman yang ditawarkan serta konsep dan keadahnya.

Sesiapa yang berminat, isi borang kemudian dalam 10 hari pinjaman lulus. Kita tawarkan skim pinjaman bermula RM3,000 hingga RM50,000.

Skim pinjaman dibayar mingguan. Ini berbeza dengan skim sebelum ini. Kali ini, kita kutip bayaran mingguan sendiri di premis perniagaan mereka.

MansorContohnya, peminjam akan memaklumkan tarikh dan waktu bila pembayaran dilakukan dan pegawai Hijrah datang kutip bayaran.

Cara kutipan ini menggalakkan interaksi lebih mesra dengan usahawan supaya kita boleh bentuk mereka menjadi usahawan berjaya. Contoh, kalau kita membuat bayaran di bank, kita akan ada masalah.

Seperti Tekun di USM, orang yang hendak bayar Tekun dulu, pergi ke bank, cari parking tak dapat dan balik. Datang semula esok, sampai bank pegawai tak ada pergi minum dan sebagainya. Dan seterusnya sehingga pinjaman tidak berbayar. Jadi lebih baik kita minta pegawai kita kutip.

Keduanya, pegawai datang kutip sambil ‘coaching’ (beri tunjuk ajar), bagaimana perniagaan, berniaga macam mana dan sebagainya. Ini yang kita panggil khidmat nasihat.

Kita juga beri taklimat dan kursus. Kaedah mengajar asas perakaunan, kaedah pemasaran, motivasi dan networking (rangkaian).

Apakah pinjaman Hijrah ini menepati syariah tanpa riba?

Kita sedaya upaya untuk tidak ada riba. Cuma kenakan kos perkhidmatan. Ia untuk beri khidmat nasihat secara profesional termasuk bengkel pembelajaran.

Ia membabitkan bimbingan anak-anak mereka untuk menjadi cemerlang seperti tips menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Maknanya, peminjam kita beri, anak mereka pun dapat faedah.

Berapa kos perkhidmatan yang dikenakan?

Kos perkhidmatan ialah lapan peratus dari jumlah pinjaman.
Kelebihan skim itu, walaupun kos perkhidmatan ditawarkan tetapi dalam skim ini terdapat simpanan.

Dalam bayaran setiap minggu, ia termasuk simpanan peminjam. Contohnya, bila selesai bayaran pinjaman, peniaga dapat wang simpanan mereka.

Contohnya, skim Hijrah 1, ambil pinjaman RM3,000, bayar mingguan RM42.30. Dalam nilai itu akan ada simpanan RM7.50. Jumlah bayaran 100 minggu, mereka dapat RM750 simpanan.

Kalau ambil RM50,000, peminjam dapat simpanan RM12,000. Kita tawarkan tempoh bayaran balik dari 50 minggu hingga 150 minggu.

Ini kelebihan dan keunikan Hijrah. Sambil pinjam sambil menyimpan. Inilah konsep tabungan dalam pinjaman.

Skim pinjaman dan tempoh bayaran balik terpulang pada pilihan peminjam, bukan kita yang tentukan.

Syaratnya berumur 18 tahun ke atas. Ada premis perniagaan, ada lesen perniagaan. Kalau berniaga guna lori bergerak, rumah mereka itu premis perniagaan.

Bagaimana dengan pemohon yang ada rekod tidak memuaskan dengan bank atau sebagainya?

program-hijrahKita tidak terima. Kerana jika pemohon ada rekod tidak memuaskan, ia menunjukkan disiplin mereka tidak bagus. Kita tidak mahu mengambil risiko. Kita mahu memberi peluang pada peniaga yang betul-betul memerlukan modal tambahan.

Kita tidak ambil apa-apa cagaran untuk dakwa mereka ke mahkamah. Kita lihat kepada ketulusan, kepercayaan, keupayaan. Kita kumpulkan peminjam, beri kursus. Kita tak lepas tangan. kita tidak mahu jadi seperti Mimbar. Kita tanam pokok, kita tidak letak baja, tidak siram air, macam mana pokok hendak tumbuh?

Dalam kerangka besar, kita mahu hijrahkan mereka ke status yang lebih baik. Kalau meniaga di gerai, lepas dua hingga tiga tahun, mereka ada restauran.

Apakah perancangan lebih terperinci?

Saya mahu kumpulkan peniaga dan membuka premis yang dinamai ‘Bazar Hijrah’. Kita bina bazar yang besar. Kita juga mahu wujudkan koperasi. Satu parlimen satu koperasi.

Selepas setahun, saya mahu membuat beberapa penambahbaikan. Mungkin kita boleh sediakan pinjaman kepada perniagaan atas talian.

Saya ingin buat koperasi, bazar dan khidmat bimbingan untuk anak-anak Hijrah. Juga adakan karnival besar-besaran setiap tahun.

Dalam dua tahun ini, saya mungkin akan mewujudkan koperasi dan mewujudkan karnival setahun sekali. Pemantapan mungkin mengambil masa lima tahun.

Bagaimana dengan respon sejak Hijrah dilaksanakan?

Sangat bagus. Sehingga ada individu jual borang Hijrah. Sebenarnya, program Hijrah tiada orang tengah. Kita bagi taklimat, konsep dan matlamat tanpa caj.

Ada individu ambil kesempatan dan janji masuk program dia lulus. Ada yang sampai RM300. Kita tegaskan, tidak pernah melantik mana-mana ejen. Borang mesti asli dan percuma. Boleh dapatkan di tiap-tiap cawangan.

Kita tidak kenakan bayaran untuk borang dan kelulusan dengan bayaran tertentu. Kita juga tidak pernah melantik sesiapa sampaikan taklimat hijrah. Ia hanya pegawai kita yang mempunyai identiti sah.

Apakah tindakan yang akan diambil jika mengesan ejen itu?

Kita akan buat laporan polis. Setakat ini, mereka dilapor aktif di Hulu Selangor, Serdang dan Shah Alam. Harapan supaya rakyat selangor tidak tertipu.

Ini menunjukakn sambutan itu bagus. Jika ada pertanyaan boleh hubungi 03-55212458. Bagi laporan, kita akan serahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Harapan kepada peniaga di negeri ini?

Kepada peniaga kecil, kita mahu bantu dengan salurkan modal untuk tingkatkan perniagaan. Jadi rebutlah peluang ini.

Kepada peminjam, kita harapkan mereka bayar semula mengikut jadual supaya peminjam lain dapat rasai manfaatnya.