Categories
SELANGOR

Tetapkan Harga Siling Ayam Awal Di Musim Perayaan

elizabeth wong

SHAH ALAM 17 JULAI : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa agar lebih proaktif menangani masalah harga ayam dengan menetapkan tempoh masa harga siling bagi dengan lebih awal.

Exco Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, penetapan harga syiling yang ditetapkan dua minggu sebelum musim perayaan sudah tidak lagi berkesan bagi menangani masalah yang sering berulang itu.

Ia bagi mengatasi masalah kenaikan harga yang mendadak di mana sering berlaku khususnya pada musim perayaan.

Katanya lagi, langkah melonggarkan pengimportan ayam dari luar negara hanya dapat membantu menambahkan bekalan sedia ada ekoran permintaan yang tinggi pada musim perayaan.

“Namun isu yang penting yang perlu ditangani kerajaan adalah berkenaan pengambilan untung oleh peniaga ayam semasa musim perayaan,” kata beliau ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Jelasnya, pemantauan juga perlu dipertingkatkan kerana berlaku peningkatan harga barangan lain seperti harga daging, sayuran dan ikan di pasaran.

“Malahan beberapa badan bukan kerajaan juga sebelum ini menyarankan agar harga kawalan siling ditetapkan pada kadar lebih awal daripada biasa.

“Ia supaya para pengusaha dan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk pengambilan untung yang keterlaluan,” katanya.