Categories
NASIONAL

Petugas Tabung Haji mula tiba di Makkah dan Madinah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kumpulan seramai 151 lagi petugas Tabung Haji (TH) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 27 Jun lalu.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumpulan kedua itu adalah petugas awal yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji kira-kira seminggu lagi.

Sebelum ini, kumpulan pertama petugas terdiri daripada 13 orang tiba pada 23 Jun lalu.

“Mereka adalah sebahagian dari 640 orang petugas yang akan menyantuni jemaah haji negara pada musim haji kali ini. Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.

“Para petugas haji yang tiba dengan berpakaian ihram ini telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Makkah dan Madinah pada hari Jumaat, 28 Jun,” menurut kenyataan itu.

Suasana di Makkah dan Madinah masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Makkah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah atau 4 Julai ini.

Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius dan ia merupakan salah satu cabaran bagi 30,200 Jemaah Haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji, menurut kenyataan itu lagi.

TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos 2019. Hari wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah bersamaan 10 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM teruskan demo bantah TPPA, 23 Ogos

demo tppa menuju kedutaan USSolidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang mengadakan bantahan awal terhadap perjanjian rahsia TPPA pada Julai lalu akan meneruskan siri keduanya pada Jumaat ini bersamaan 23 Ogos ini.

Ikuti kenyataan media yang di keluarkan SAMM hari ini

SAMM menyeru orang ramai khususnya warga kota menyertai satu lagi protes bantahan terhadap Perjanjian TPPA pada 23 Ogos ini di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat. Kemudian pada jam 2.30 petang, para demonstran akan berarak ke arah Kedutaan US untuk digegarkan oleh rakyat Malaysia yang cintakan tanahair.

Perjanjian TPPA yang telah dibincangkan secara rahsia selama ini, harus disekat kerana didapati bakal memberi kesan negetif yang besar terhadap rakyat dari pelbagai sudut termasuklah soal kedaulatan negara. Maka SAMM ambil tanggungjawab mobilisasi dan menggesa semua anak muda ayuh bersama dalam aksi kali ini, dan sebarkan maklumat berikut;

Himpunan Aman Bantah TPPA

Tarikh: 23 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa: 2.00pm (lepas solat)
Lokasi: Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak
Perarakan: Masjid Tabung Haji – Kedutaan US

SAMM mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak dalam demonstrasi dan perarakan ini. Semua pihak harus bersatu memastikan negara diselamatkan dari cukong konglomerat bertaraf dunia yang memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

Tunjukkan kepada dunia satu signal penolakkan yang besar terhadap perjanjian yang menjadi ‘jerangkap samar’ kepada negara yang menyertai TPPA.

Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan. Jumpa 23 Ogos di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

CHE’GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

-mza