Categories
SELANGOR

Masjid Taman Tun Teja dalam proses reka bentuk, tender dibuka Ogos

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Projek pembinaan Masjid Taman Tun Teja, Rawang berjalan lancar dan kini sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum tender dibuka yang dijangka, Ogos ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunud Hairi berkata, projek itu tidak pernah tergantung seperti dilaporkan dalam sebuah media, hari ini.

“Cuma, pada awal 2014 ada sedikit isu berkenaan tapak kerana ada penduduk nak pindahkan tapak masjid ke Taman Pelangi. Selepas beberapa kali mesyuarat, penduduk sepakat untuk kekalkan di tapak asal.

yunus“Jadi, tapak dah tak jadi isu lagi. Kini, dalam proses memuktamadkan reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya dan saya jangka bulan Ogos nanti tender projek akan dibuka kepada pihak yang berminat.

“Selain isu tapak yang dah selesai, tiada isu lain yang timbul termasuk pertukaran Exco,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Yunus berkata, Adun Rawang, Gan Pei Nei yang terlibat dalam mesyuarat bersama penduduk itu turut mengesahkan persetujuan yang dicapai.

Katanya, kos projek itu akan diketahui sebaik sahaja reka bentuk masjid selesai dimuktamadkan.

“Biasanya, projek pembinaan sebuah masjid menelan kos RM6 juta hingga RM8 juta tetapi bergantung kepada reka bentuknya nanti,” katanya.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan status cadangan pembinaan masjid di Taman Tun Teja, di sini, masih tergantung dan menimbulkan tanda tanya penduduk.

-NFN-