Categories
SELANGOR

KAFA: Exco sedia kaji faedah perubatan, kebajikan selepas bersara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 APR: Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sedia mengkaji peningakatan kebajikan guru Kafa selepas mendengar beberapa cadangan.

Antara cadangan yang dikemukakan dalam sesi dialog yang diadakan di Astana Mewah, Kampung Paya Jaras, di sini, meminta Kerajaan Negeri menyediakan skim faedah untuk membiayai rawatan perubatan guru Kafa kerana ketika ini mereka terpaksa menanggung sendiri.

Dr Ahmad Yunus berkata, guru Kafa dikategorikan sebagai kakitangan sambilan yang menerima elaun bulanan dan bertugas selama empat jam sehari berbanding kakitangan awam.

“Mereka dikategorikan kakitangan sambilan. Ini tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bukan kuasa Kerajaan Negeri untuk menentukan kategori ini.

“Bagaimanapun, kita dah dengar cadangan mereka dan sedia perhalusinya sebelum dibincangkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain cadangan faedah perubatan, guru Kafa turut mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan skim faedah selepas persaraan.

Cadangan itu ekoran mereka akan terputus pendapatan bulanan apabila bersara, manakala simpanan Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) juga kecil kerana hanya menerima elaun RM1,300 sebulan.

Mereka turut meminta Kerajaan Negeri segera membaiki bangunan sekolah yang daif apabila masih menggunakan sistem pendawaian lama kerana membahayakan pelajar dan guru.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Masjid Taman Tun Teja dalam proses reka bentuk, tender dibuka Ogos

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Projek pembinaan Masjid Taman Tun Teja, Rawang berjalan lancar dan kini sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum tender dibuka yang dijangka, Ogos ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunud Hairi berkata, projek itu tidak pernah tergantung seperti dilaporkan dalam sebuah media, hari ini.

“Cuma, pada awal 2014 ada sedikit isu berkenaan tapak kerana ada penduduk nak pindahkan tapak masjid ke Taman Pelangi. Selepas beberapa kali mesyuarat, penduduk sepakat untuk kekalkan di tapak asal.

yunus“Jadi, tapak dah tak jadi isu lagi. Kini, dalam proses memuktamadkan reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya dan saya jangka bulan Ogos nanti tender projek akan dibuka kepada pihak yang berminat.

“Selain isu tapak yang dah selesai, tiada isu lain yang timbul termasuk pertukaran Exco,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Yunus berkata, Adun Rawang, Gan Pei Nei yang terlibat dalam mesyuarat bersama penduduk itu turut mengesahkan persetujuan yang dicapai.

Katanya, kos projek itu akan diketahui sebaik sahaja reka bentuk masjid selesai dimuktamadkan.

“Biasanya, projek pembinaan sebuah masjid menelan kos RM6 juta hingga RM8 juta tetapi bergantung kepada reka bentuknya nanti,” katanya.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan status cadangan pembinaan masjid di Taman Tun Teja, di sini, masih tergantung dan menimbulkan tanda tanya penduduk.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor serah RM200,000 bantuan pendidikan pasca banjir Kelantan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 FEB: Sejumlah RM200,000 diserahkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebagai bantuan pendidikan pasca banjir Kelantan.

Penyerahan dilakukan Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang turut disertai Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dalam satu lawatan kerja ke Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan, pada 23 Februari lalu.

IMG_0283Sumbangan diterima Pengarah YIK, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus dan disaksikan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan.

Sumbangan Kerajaan Negeri itu khusus bagi pembelian pakaian sekolah membabitkan murid di bawah kelolaan YIK.

Jumlah sekolah yang yang terlibat adalah 21 buah daripada 89 dengan anggaran kos kerugian kerosakan aset serta peralatan hasil kemusnahan akibat banjir adalah RM2.3 juta.

Pada masa sama, Yunus turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh rakyat Kelantan amnya di atas pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 12 Februari lalu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Teliti status guru KAFA, tambah kuota guru takmir

Oleh: LIZAWATI MADFA

KAJANG, 30 JAN: Kerajaan Persekutuan perlu menyerap guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) sebagai berstatus kontrak (contract of service).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, status berkenaan mampu memberi lebih faedah kepada guru Kafa yang masih berstatus ‘contract for service’.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (5)“Kini, mereka sekadar menerima elaun dan tidak ada imbuhan lain termasuk perubatan.

“Begitu juga dengan status Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) juga diharap dapat pertimbangan sama oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau ditemui selepas upacara perasmian penutup Majlis Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), di sini.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (1)aHadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Majlis Agama Islam Sealngor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Terdahulu dalam ucapannya, Yunus turut meminta kuota guru takmir ditambah dari 142 kepada 300 orang selaras dengan pertambahan masjid di Selangor.

“Kuota ini tidak pernah berubah, sedangkan kini Selangor mempunyai 400 masjid dan lebih 1,800 surau yang kian bertambah dari masa ke masa,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pemantauan, taklimat berterusan jamin Islam terpelihara

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 19 DIS: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan sentiasa membanteras usaha penyelewengan ajaran Islam dan bertanggungjawab memelihara agama dan umat Islam dari terus terpesong akidahnya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sehubungan itu JAIS secara konsisten akan mengadakan taklimat khas dan dialog dari semasa ke semasa bersama semua pengamal tarekat berhubung garis panduan tarekat.

Katanya, ia diwujudkan Jabatan Mufti Selangor sebagai panduan umum dalam mengekang perkembangan fahaman atau ajaran yang boleh menyeleweng dari Islam sebenar.

maal“Kepentingan penganjuran simposium ini bagi memastikan pengamal tarekat tidak menyalahgunakan nama atau silsilah tarekat yang diiktiraf atau membina jaringan silsilah sendiri tanpa asas sehingga mengakibatkan penyelewengan dan unsur bidaah sesat serta khurafat.

“Oleh kerana itu, penting bagi kita umat Islam mengukuhkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan dan hanya dengan iman serta taqwa kepada Allah sahaja mampu menjadi benteng dari sebarang bentuk penyelewengan akidah, syariah serta akhlak,” katanya.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Simposium Tarekat Tasawuf Negeri Selangor 2014 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), di sini, semalam.

yunusHadir sama, Pengarah Jais, Datuk Zaharin Mohd Saad; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, penganjuran simposium itu adalah insiatif Kerajaan Negeri, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, KUIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tabung Pembangunan Islam Negeri Selangor (TAPIS) supaya dijadikan panduan keilmuan kepada masyarakat Islam memahami secara tepat selok belok persoalan berkaitan akidah, tasawuf dan tarekat.

“Kerajaan Negeri dan JAIS sama sekali tidak memusuhi dan melarang umat islam mengikuti tarekat untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi tidak melampau sehingga taksub, meninggalkan perkara syariat dan memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Zaharin dalam ucapannya berkata, JAIS sentiasa mendapat aduan berkenaan penyelewengan amalan tarekat di Selangor.

Katanya, antara punca penyelewengan adalah disebabkan ketua kumpulan atau dikenali Syeikh tarekat membawa fahaman dan ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.

“Ia seperti mendakwa diri mereka sebagai wali, akhlak yang tidak sopan, taksub yang melampau, memberi pengorbanan berbentuk wang untuk mendapat keberkatan daripada guru dan juga mendakwa tarekat dibawa mempunyai silsilah terus kepada Rasulullah SAW.

“Turut mendakwa mendapatnya melalui mimpi dan pelbagai lagi penyelewengan yang hanya mementingkan pihak tertentu sehingga memberi keyakinan kepada individu yang ingin mengikuti amalan tarekat berkenaan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: ‘Kalau tak percaya sangat, kita boleh minum air lombong itu’

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 JUN: Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi hari ini secara terbuka menyatakan persediannya membuat demonstrasi minum air bekas lombong bagi membuktikan tahap keselamatannya.

Yunus yang ditemui di lobi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak keberatan menguruskan demonstrasi berkenaan, bahkan menyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga pernah menyatakan hal sama.

empangan kini“Insya-Allah, boleh uruskan untuk minum air berkenaan kerana Menteri Besar tempoh hari juga sudah cakap kalau tak percaya sangat kita boleh minum air lombong itu,” katanya.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) anti-rasuah Pusat Penggempur Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Exco Selangor membuat demonstrasi minum air dari tasik lombong untuk membuktikan tahap keselamatan bekalan terbabit.

Pengarahnya, Cynthia Gabriel, berkata ia bagi meyakinkan pengguna ekoran kenyataan bercanggah yang timbul berhubung kandungan logam berat dalam tasik lombong berkenaan.

Mengulas sumber bekalan air bagi menghadapi musim kering El Nino, Yunus berkata, Kerajaan Negeri yakin ia mencukupi antara tempoh empat hingga lima bulan lagi berdasarkan simpanan air di  empangan.

Yunus (PAS-Sijangkang), teknik pembenihan awan yang akan dilaksanakan juga mampu menampung keperluan air kepada pengguna di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya.

yunus“Persepsi menunjukkan bahawa kita hanya bergantung kepada air lombong sahaja tetapi sebenarnya Kerajaan Negeri menjadikan kolam ini sebagai kolam takungan apabila Sungai Selangor mempunyai lebihan. Ia akan disedut untuk simpanan.

“Saya tidak boleh beri jaminan 100 peratus bekalan air mencukupi) tetapi dengan simpanan yang ada termasuk pembenihan awam, kita jangka ia boleh bertahan sehingga empat atau lima bulan,” katanya.

-NFN-

Air kolam dipastikan patuhi piawaian KKM

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

Kementerian terus membisu, halang hasrat Selangor jalin kerjasama sukan

OLEH: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus membisu tanpa sebarang maklum balas terhadap usaha Kerajaan Selangor untuk menjalinkan kerjasama dan membincangkan hala tuju pembangunan sukan di negeri itu.

Exco Belia dan Sukan negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pihaknya masih berharap waalupun sudah menunggu hampir setahun untuk tujuan berkenaan.

“Kita memegang kepada petikan ucapan Khairy Jamaluddin ketika beliau mula dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan. Beliau menzahirkan hasrat untuk bersikap adil dan memberi kerjasama baik tanpa mengira latar belakang politik.

Yunus Hairi“Justeru, saya selaku Exco Belia dan Sukan mewakili Kerajaan Negeri menghantar surat bagi mengadakan pertemuan dengan KBS untuk membincangkan bentuk kerjasama dan beberapa agenda pembangunan sukan di Selangor dan peringkat nasional.

“Malangnya, sehingga kini masih belum ada maklum balas berhubung surat terbabit,” katanya kepada Selangor Kini di Dewan Annex, di sini. baru-baru ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pada Jun 2013 mengutuskan surat kepada KBS bagi mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerjasama dan hala tuju pembangunan sukan di Selangor.

Tindakan itu diambil dengan harapan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tidak lagi dianaktirikan seperti yang dialami Selangor penggal lalu.

KHAIRY“Jika kita mahu lihat belia dan sukan negara ini membangun hebat dan terus memberi impak positif kepada negara, saya berharap Khairi tidak berpaling daripada katanya sebelum ini.

“Saya cukup khuatir, sehingga ke saat ini masih tiada respon daripada KBS dan Khairi untuk bekerjasama dengan Selangor. Hal itu seperti memperlihatkan politik menjadi tembok cukup besar yang menjadi penghalang antara Selangor dan KBS dalam pembangunan belia dan sukan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Khairi dapat maklumat ‘tak cukup masak’, Stadium Hoki dalam proses baik pulih

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 APRIL: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin diingatkan tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ untuk terus menyalahkan kerajaan Selangor dengan dakwaan tidak komited terhadap usaha pemulihan dua stadium hoki di negeri itu.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius terhadap usaha membaik pulih stadium berkenaan apabila semakan kertas kerja yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kini berada di peringkat akhir.

Katanya, proses untuk membaiki Stadium Hoki Pandamaran dan Petaling Jaya akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan Selangor sebaik mendapat kelulusan.

Dr yunus pic mza1“Saya minta supaya Khairy tidak terlalu prejudis hanya disebabkan perbezaan ideologi politik dan cuba mengambil langkah murahan dengan mempolitikkan isu stadium hoki ini, sedangkan masalah itu berlaku sejak zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor.

“Jangan hanya pandai menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang terpaksa mewarisi kelemahan dan kecuaian pentadbiran BN sebelum ini.

“Saya berharap Khairy bersikap terbuka untuk bertemu atau berhubung dengan saya secara terus jika memerlukan maklumat yang sahih terhadap perkembangan dan prasarana sukan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Khairy menyalahkan Kerajaan Negeri kerana didakwa tidak mengambil perhatian terhadap masalah stadium hoki di negeri itu susulan teguran beberapa pihak berkepentingan.

KHAIRYBeliau turut menyelar tindakan Kerajaan Negeri yang hanya membelanjakan wang untuk membaiki Stadium Shah Alam, tetapi tidak melakukan perkara sama pada stadium hoki.

Mengulas dakwaan itu, Yunus berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap perkara yang membabitkan aspek keselamatan pengunjung terutama ia adalah salah sebuah mercu tanda Selangor seperti Stadium Shah Alam.

Beliau berkata, Stadium Shah Alam sudah berusia 20 tahun dan wajar dilakukan sedikit proses baik pulih sejajar dengan taraf stadium terbabit yang kerap digunakan untuk pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa.

“Tetapi itu tidak bermakna stadium untuk acara sukan yang lain dianaktirikan daripada sudut baik pulih tempat latihan mereka. Ada pusat latihan dan stadium yang perlu kepada proses untuk disegerakan selain ada yang dilewatkan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 5,000 anak merdeka tolak rasuah

DSC_0233

SHAH ALAM 28 OGOS : Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai laporan masyarakat khususnya golongan belia.

Lebih 5,000 rakyat Selangor berkunjung ke acara tersebut yang bermula seawal jam 7.00 pagi lagi sehingga 12.00 tengah malam.

Pengunjung yang kami temui berkata tema “Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka” amat bertepatan dengan perkembangan isu semasa mutakhir ini. Program khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat disambut baik.

“Sambutan ini dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah dan bukannya hiburan semata-mata, selain mesej utamanya memberi penekanan terhadap konsep integriti di dalam diri setiap belia kerana golongan ini merupakan tonggak di masa hadapan,” kata Muhammad Adam Che Yusuf, 23.DSC_0229

Sambutan Hari Belia ini dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi. Dari awal pagi lagi pengunjung didedahkan kepada pelbagai program-program yang menguja pemikiran menanggapi isu-isu penting.

Bagi Safiq Izzat Azmi, 23, sesi penerangan dan dialog mengenai pergolakan politik di Mesir telah membuka matanya.

“Sambutan kali ini saya lihat lebih kepada isu di Mesir bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat negara ini yang masih tidak tahu atau mencari punca apa sebenarnya yang berlaku di negara Mesir,” katanya yang merupakan mahasiswa di sebuah institusi pendidikan tinggi awam.

Antara program menarik yang disediakan adalah sembang santai bersama pakar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan pada sambutan sehari itu, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Categories
SELANGOR

Hari Belia Selangor bawa isu semasa kepada anak muda

hari belia

SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.

Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.

Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.

“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.

Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.

Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.

“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.

Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.

?Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,? katanya.

Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.

Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).