Categories
ADN SELANGOR

PKP fasa tiga diharap turunkan kes Covid-19 di Hulu Langat

SHAH ALAM, 12 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berharap lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan ke fasa tiga dapat menurunkan kes jangkitan Covid-19 di Hulu Langat.

Mazwan Johar berkata tindakan itu disambut baik dan wajar bagi memutuskan rantaian wabak dalam kalangan masyarakat di daerah itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 30 Mac lalu.

“Jika penurunan berlaku dan betul-betul berjaya di Hulu Langat, saya harap zon di bawah PKPD dapat diberi sedikit kelonggaran. Semua itu hanya boleh terjadi kalau penduduk mengikut saranan dan arahan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Namun menurut Mazwan, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat sama ada PKPD akan diteruskan lagi.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan negeri setakat jam 12 tengahari semalam, Hulu Langat mencatatkan 382 kes.

Categories
ADN SELANGOR

117 mangsa ribut Sungai Ramal terima bantuan

BANGI, 1 DIS: Seramai 117 mangsa ribut dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal untuk suku tahun pertama tahun ini menerima bantuan tunai dari Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, sumbangan bantuan bencana berjumlah RM500 setiap seorang itu diserahkan kepada semua pemohon pada 27 November lalu.

“Semua mangsa yang terbabit dalam musibah itu disenaraikan untuk mendapat bantuan bayaran tunai daripada Bahagian Pengurusan Bencana Pejabat Daerah Hulu Langat.

“Sumbangan ini sangat dinanti sekian lama oleh mangsa,” katanya pada majlis serahan bantuan yang turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Langat, Yusri Zakaria.

Mazwan berkata, ketika bencana itu berlaku, beliau dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming menggunakan peruntukan ADN dan Ahli Parlimen masing-masing untuk menghulurkan bantuan tunai awal kepada mereka.

Manakala, Kerajaan Negeri turut menghulurkan bantuan saguhati segera dalam bentuk hamper barangan makanan.

Categories
SELANGOR

Laluan susur gajah SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi siap

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 MEI: Guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi kini menarik nafas lega apabila pembinaan laluan susur gajah yang menghubungkan bangunan utama sekolah terbabit siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, hampir RM20,000 diperuntukkan bagi membina laluan itu dan ia adalah peruntukan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Laluan ini dibina atas permintaan pihak sekolah kepada saya, bertujuan untuk melindungi pelajar dan guru daripada terdedah kepada elemen cuaca yang boleh menjejaskan mereka.

“Lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat yang merencatkan pergerakan guru dan pelajar daripada satu bangunan ke bangunan yang lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, katanya, beliau optimis laluan berbumbung dan berlampu yang dibina itu mampu mewujudkan suasana persekitaran lebih kondusif kepada pelajar serta guru sekolah terbabit.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian sekolah itu apabila dilengkapi kelengkapan yang kondusif ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN Sungai Ramal belanja RM20,000 bina laluan pintas

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 15 APR:  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Ramal membelanjakan hampir RM20,000 bagi pembinaan projek laluan pintas yang kini boleh digunakan oleh penduduk setempat, pada 11 April lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, lorong susur kecil laluan pintas menghubungkan Taman Impian Ehsan dan Taman Cheras Jaya, Balakong itu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Ramai ibu bapa dan pelajar menggunakan laluan ini untuk berulang-alik ke Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Cheras Jaya.

“Laluan sama juga memberi manfaat kepada pekerja kilang dan orang awam lain. Semoga kewujudannya memberi manfaat dan memudahkan kehidupan penduduk di sana,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, penduduk Taman Impian Ehsan dan Taman Cheras Jaya mengemukakan permohonan kepada ADN Sungai Ramal supaya menaik taraf jalan terbabit yang sering berlaku kemalangan motorsikal.

Categories
SELANGOR

ADN Sungai Ramal serah sumbangan SMUE RM80,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Sejumlah RM80,000 khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diserahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal kepada 32 pewaris warga emas yang sudah meninggal dunia.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Mazwan Johar, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal, pada 28 Mac lalu.

Mazwan dalam kenyataan di Facebooknya berkata, setiap peserta menerima RM2,500 mewakili mereka yang sudah meninggal dunia dan berdaftar dengan SMUE.

“Semoga pemberian ini dapat membantu meringankan bebanan kewangan waris yang menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.

“Malah, sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu mereka meneruskan kehidupan pada peringkat awal tanpa yang tersayang di sisi,” tulisnya.

SMUE adalah skim terbuka kepada warga emas terutama rakyat Selangor berusia 60 tahun ke atas untuk memohon dan wang itu akan diberikan kepada pewaris apabila mereka sudah tiada.

Bantuan itu dapat digunakan untuk pengurusan jenazah dan pengebumian selain menyelesaikan sebahagian hutang si mati.

SMUE antara program terkandung dalam Inisatif Peduli Rakyat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008.

Sehingga 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri sudah membayar RM201,088 juta kepada waris berdaftar.

Categories
SELANGOR

BCC pahat kenangan manis buat ADN Sungai Ramal

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 26 DIS: Pusat Konvensyen Bangi (BCC) memahat sejarah manis di hati Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar  ketika menantikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada Mei lalu.

Berkongsi pengalamannya, beliau ketika itu bersama ahli keluarga, rakan dan penyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) berkumpul di BCC bagi menantikan keputusan PRU14 dengan penuh debaran.

“Pada masa itu, masih belum tahu menang atau kalah kerana keputusan masuk secara berperingkat.

“Saya masih ingat kenangan manis di BCC ketika menantikan keputusan dengan penuh debaran dan akhirnya syukur apabila bukan sahaja menang, malah PAKATAN turut menang di negeri serta persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah dan Penghargaan BBC, di sini, semalam.

Katanya, BCC sebelum itu turut memainkan peranan ketika dirinya mengharungi kempen PRU14 melalui majlis memperkenalkan calon PAKATAN, di kawasan terbabit.

Categories
SELANGOR

Mazwan sumbang RM20,000 kepada SMK Taman Kajang Utama 

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 16 OKT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kajang Utama menerima sumbangan RM20,000 daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar untuk pemasangan kipas gergasi di dewan terbuka sekolah terbabit.

Mazwan berkata, SMK Taman Kajang Utama merupakan sekolah pertama dalam DUN Sungai Ramal disantuni beliau sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat.

“Diharapkan dengan adanya kemudahan kipas itu memberi keselesaan dan suasana yang lebih kondusif untuk guru dan pelajar sekolah tersebut menjalankan aktiviti,” katanya menerusi facebook.

Terdahulu, Mazwan menyerahkan dua keping cek RM10,000 setiap satu kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Taman Kajang Utama, Ibrahim Martibi.

Difahamkan, pemasangan kipas itu membabitkan kos lebih RM30,000.