Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dato’ Menteri Besar baharu selepas Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengganti beliau akan dilantik, selepas perayaan Aidilfitri.

Mohamed Azmin berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor akan mengadakan perbincangan berhubung calon Dato’ Menteri Besar baharu minggu depan sebelum dikemukakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Apabila selesai perbincangan dan keputusan dibuat, baru kita akan kemukakan nama untuk perkenan tuanku.

“Mungkin serahan nama akan dilakukan, selepas Aidilfitri. Bila nama sudah diperkenan, maka majlis angkat sumpah jawatan akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis bacaan yasin dan berbuka puasa bersama Sultan Sharafuddin, di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilantik Dato’ Menteri Besar untuk penggal kedua, namun beliau dipilih Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menyertai Kerajaan Persekutuan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi, pada 18 Mei lalu.