Categories
SELANGOR

3 premis makanan diarah tutup, 15 kompaun dikeluarkan MBSA

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI : Dalam usaha untuk mempertingkatkan kebersihan di premis makanan, baru-baru ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggiatkan Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan di 11 buah premis perniagaan sekitar Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata antara skop pemeriksaan yang dilaksanakan adalah pemeriksaan kebersihan persekitaran premis makanan, sijil suntikan TY2, pindaan tambahan tanpa kebenaran, permit halangan awam di kaki lima, permit kerusi dan meja, permit gerai makanan dan sebagainya.

MBSA-Shahrin AhmadKatanya, notis dan kompaun juga dikenakan kepada peniaga mengikut Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, tiga buah premis makanan diarahkan tutup serta-merta.

“Manakala, 15 kompaun dikeluarkan atas kesalahan kebersihan premis, gagal mempamerkan sijil suntikan TY2 dan sijil penyelenggaraan makanan, pindaan tambahan tanpa kebenaran, permit halangan awam di kaki lima, permit kerusi dan meja, permit gerai makanan ,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi berkenaan diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBSA, Noorulhidayah Yeop dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan MBSA.

DSC_0760“Melalui Operasi Pemeriksaan Premis Makanan ini, MBSA berharap teguran, kompaun dan notis yang dikeluarkan dapat membantu pemilik premis makanan untuk memperbaiki kesalahan mereka.

“Selain itu, operasi dijalankan ini adalah salah satu langkah kami dalam memastikan premis makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur serta mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

-NFN-