Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tingkat kuat kuasa larangan merokok di premis makanan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan akan ditingkatkan selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan dalam Twitternya hari ini berkata beliau telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk berbuat demikian semalam.

“Semalam saya telah minta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ini ditingkatkan lagi.

“Sambil memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pandemik, boleh denda perokok yang langgar larangan tersebut. Sekali harung,” katanya.

Penguatkuasaan penuh Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 pindaan 2018 iaitu larangan merokok di semua premis makanan termasuk premis makanan terbuka, telah bermula pada 1 Jan 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan restoran tidak wajibkan ahli buka premis, benar pelanggan makan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.

“Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.

Katanya pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai hari ini (Jumaat) bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.

Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Sementara itu Jawahar Ali berkata ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.

“Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis makanan dibenar beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk “coffee house” di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Bagaimanapun, katanya bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut

“Kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada rakyat untuk beli makanan terutama melibatkan warga bujang. Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Operasi premis makanan khusus dibawa pulang

PUTRAJAYA, 17 MAC: Premis makanan boleh beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah jangkitan penyakit COVID-19 namun ia perlu menjual makanan yang khusus untuk dibawa pulang sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menarik perhatian bahawa premis makanan perlu beroperasi sepanjang tempoh itu untuk memenuhi keperluan orang ramai.

“Premis makanan termasuk restoran, kedai mamak dan kopitiam hanya dibenarkan menjual makanan secara bawa pulang, jangan buka dan benarkan orang berkumpul (untuk makan).

“Kalau ada khidmat penghantaran makanan di rumah, itu lebih baik kerana memudahkan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata pasar malam dan bazar juga perlu ditutup sepanjang tempoh itu kerana lokasi sedemikian menggalakkan orang ramai berkunjung dan tidak menggalakkan ‘penjarakan sosial.’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Premis makanan dilarang sedia ruang khas merokok

BATU GAJAH, 5 JAN: Premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.

“Sekiranya kedai makan menyediakan ruang khas merokok di luar kawasan (lingkungan tiga meter), ia bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan mempertimbangkan premis makanan untuk menyediakan tempat pembuangan puntung rokok (dan bukannya ruang khas untuk merokok),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kesihatan dan Derma Darah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah di sini hari ini.

Dr Lee berkata, setiap premis makanan perlu mengikut lesen beroperasi restoran yang dikeluarkan pihak PBT dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya peraturan tidak dipatuhi.

Bermula 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari luar restoran terbabit.

Pada 1 Januari tahun ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Sementara itu, Dr Lee berkata, kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan melakukan saringan awal untuk mengesan kanser antara punca peningkatan bilangan kes baharu kanser.

Katanya, berdasarkan rekod, 95 peratus penyakit kanser boleh dirawat dan disembuhkan pada peringkat awal bagaimanapun, kanser agak sukar dirawat sekiranya sudah memasuki tahap keempat.

“Saringan awal untuk mengesan kanser boleh dilakukan di klinik kesihatan melalui ujian mamogram dan pap smear selain pemeriksaan najis berdarah bagi mengesan kanser kolorektal,” katanya.

Jumaat lepas, Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser yang dikesan sepanjang lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Menurut laporan sama, 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Gagal jaga kebersihan, peniaga makanan berdepan tindakan tutup premis

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 30 MEI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggesa semua pengendali premis makanan di bandar raya itu supaya mengambil berat berkenaan aspek kebersihan penyediaan makanan dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata pihaknya mengambil perhatian serius dalam memastikan pengendali premis gerai dan restoran mengikut prosedur penyediaan makanan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ memberi tumpuan berterusan bagi meningkatkan tahap pengawasan kebersihan dan keselamatan di Petaling Jaya membabitkan 26 gerai kompleks dan 1,536 buah restoran.

ALINAH“MBPJ menggunakan tiga kaedah pemeriksaan iaitu menjalankan pemeriksaan premis makanan, pensampelan contoh makanan mikro dan pemeriksaan swab tangan terhadap pengendali makanan bagi mengesan bakteria yang dikenali sebagai E.coli.

“Pemeriksaan swab tangan adalah penting kerana berdasarkan laporan, kami mendapati kebanyakan pengendali makanan tidak mengamalkan langkah pencucian tangan dengan betul,” katanya pada Mesyuarat Penuh MBPJ di ibu pejabatnya, dekat sini, semalam.

Alinah berkata, 117 kes kesalahan direkodkan terhadap pengendali makanan kerana gagal dalam pemeriksaan swab tangan dan terdapat E.coli sepanjang tahun lalu.

2Beliau turut memaklumkan setiap premis dan pengendali makanan akan diberi markah penilaian mengikut perintah kerja pembersihan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Setiap premis yang memperolehi gred A akan disyorkan pemberian sijil premis bersih, bagi premis bergred B dan C akan dikenakan notis atau kompaun, manakala kesalahan gred D notis arahan tutup akan dikeluarkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

3 premis makanan diarah tutup, 15 kompaun dikeluarkan MBSA

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI : Dalam usaha untuk mempertingkatkan kebersihan di premis makanan, baru-baru ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggiatkan Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan di 11 buah premis perniagaan sekitar Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata antara skop pemeriksaan yang dilaksanakan adalah pemeriksaan kebersihan persekitaran premis makanan, sijil suntikan TY2, pindaan tambahan tanpa kebenaran, permit halangan awam di kaki lima, permit kerusi dan meja, permit gerai makanan dan sebagainya.

MBSA-Shahrin AhmadKatanya, notis dan kompaun juga dikenakan kepada peniaga mengikut Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, tiga buah premis makanan diarahkan tutup serta-merta.

“Manakala, 15 kompaun dikeluarkan atas kesalahan kebersihan premis, gagal mempamerkan sijil suntikan TY2 dan sijil penyelenggaraan makanan, pindaan tambahan tanpa kebenaran, permit halangan awam di kaki lima, permit kerusi dan meja, permit gerai makanan ,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi berkenaan diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBSA, Noorulhidayah Yeop dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan MBSA.

DSC_0760“Melalui Operasi Pemeriksaan Premis Makanan ini, MBSA berharap teguran, kompaun dan notis yang dikeluarkan dapat membantu pemilik premis makanan untuk memperbaiki kesalahan mereka.

“Selain itu, operasi dijalankan ini adalah salah satu langkah kami dalam memastikan premis makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur serta mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Cegah wabak, MBSA gesa premis makanan tingkat kebersihan

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI,

SHAH ALAM 12 NOV – Semua pengusaha premis makanan digesa mementingkan aspek kebersihan terutamanya di setiap proses atau peringkat penyediaan makanan bagi mencegah meningkatnya wabak penyakit dan keracunan makanan.

Para pengusaha juga perlu memastikan pekerja di premis itu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) seperti perlu menghadiri kursus pengendalian makanan dan mengambil suntikan antityphoid (TY2).

dDatuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, aspek penyediaan makanan yang sistematik dan bersih adalah penting kerana rata-rata premis makanan di Shah Alam sentiasa dikunjungi oleh masyarakat berbilang umur dan bangsa.

Beliau berkata demikian di dalam satu program ‘Chefmanship Academy’ bersama Unilever Food Solutions Malaysia di Dewan Auditorium MBSA, di sini, hari ini yang turut dihadiri seramai 700 pemilik premis makanan.

“Harapan MBSA, kita nak pengusaha-pengusaha restoran ini bantu kita supaya dariapda pembelian bahan-bahan untuk dijadikan makanan, sampai ke restoran, dibersihkan dan disimpan, dimasak, semuanya dalam bersih.

“Ada yang dilaporkan (makanan) diletak di dalam tandas, sebagai contoh, tak kan lah kita bakar ikan dengan tempat yang begitu daif, jadi kita tak nak lah macam ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program itu.

Turut hadir ke program berkenaan, Pengarah Pemasaran Unilever Food Solutions Malaysia, Quah Seng Khie serta ahli-ahli Majlis MBSA dan Pengarah Jabatan MBSA.

Sebelum ini, MBSA dalam satu operasi bersepadu bertindak merampas dan mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari terhadap premis dan peniaga di Medan Selera Prima Dua, Seksyen 2, Shah Alam yang gagal mematuhi peraturan kebersihan premis makanan.

Selain arahan penutupan premis, MBSA turut merampas kerusi, meja, payung, tempat pemanggang dan dapur memasak kerana meletakkan barang terbabit di luar kawasan premis.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar berkata, MBSA sentiasa membantu premis-premis makanan yang ingin mengembangkan perniagaannya tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Kita nak minta tolong, kalau nak buat pengubahsuaian, penambahan, beritahu MBSA, kalau ada masalah dengan pegawai, beritahu saya, jangan buat dahulu, tutup longkang semua, bawah itu ada tikus, tikus ini boleh membiak di dalam tong sampah,” katanya lagi.

– EZY