OLEH: GERAKAN MEDIA MARAH
Setiap tahun pada hari ini (3 Mei), kita memperingati Hari Kebebasan Akhbar Dunia.
Sepanjang tahun lepas, pengamal media serta rakyat Malaysia terus diingatkan bahawa ruang kebebasan akhbar semakin sempit.
Sekatan ke atas akhbar The Edge dan The Malaysian Insider serta beberapa media atas talian secara langsung telah ‘menyempitkan’ ruang pengamal media untuk menjalankan tugas.
Selain itu, pengamal media turut terus dihadapkan dengan gangguan pihak berkuasa atau golongan yang merasakan kekuasaan mereka terancam akibat laporan yang disiarkan.
Dalam masa sebulan terakhir ini, berlaku kes-kes yang membayangkan tahun ini bakal menjadi satu lagi tahun yang sukar.
Ini termasuk gangguan terhadap wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie, insiden wartawan dihalau oleh calon pilihan raya di Sibu serta gangguan terhadap pengarang The Heat yang dipanggil kerana menulis artikel berkaitan sebuah gerakan politik.
Bebas bersuara, berfikir
Selain itu, laporan ranking kebebasan Media oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) turut menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan kebebasan kewartawanan kita dalam keadaan yang tidak meyakinkan.
Gerakan Media Marah (GERAMM) percaya bahawa sudah sampai masa untuk semua pengamal media bersatu atas tujuan yang sama – mempertahankan hak untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.
Setiap bentuk tekanan atau gangguan yang dikenakan ke atas mana-mana pengamal media seharusnya dirasakan oleh semua.
GERAMM juga percaya bahawa media bebas hanya boleh berdiri daripada semangat masyarakat yang turut sama mahukan kebebasan.
Media tidak mungkin bebas tanpa semangat kebebasan ini: bebas bersuara dan bebas berfikir.
Dengan adanya masyarakat yang menghargai serta menuntut peranan media bebas, pemilik serta pengamal media secara langsung akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut.
Semangat masyarakat
Ringkasnya, media itu bebas bukan karena kerana semangat wartawan sendirian tetapi ditopang semangat menyala-nyala masyarakatnya.
Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap 3 Mei, GERAMM menyeru semua pihak agar menghormati hak-hak masyarakat dan wartawan untuk menghayati semangat ini.
Semangat ini boleh menyuburkan kepelbagaian suara dalam masyarakat kita dan boleh juga membuka rundingan serta perbahasan dalam masyarakat yang berbeza-beza kepentingan.
Dengan sikap masyarakat sivil, media, kerajaan dan masyarakat, GERAMM percaya media bebas yang beretika dan bertanggungjawab bukan saja boleh memajukan demokrasi dan politik, tetapi juga pembangunan fikiran, seni, ekonomi dan peradaban bangsa.
Setelah tiga tahun GERAMM muncul dari kegusaran dari industri media terhadap kekangan, sekatan dan tindakan memperkotak-katikKan petugas media, namun keadaan bukan saja tidak berubah, malah semakin meruncing.
Selaras dengan semangat untuk terus menuntut perubahan, kami turut akan melancarkan ‘wajah baru’ GERAMM dalam satu acara yang akan diumumkan pada waktu terdekat.
Kami berharap agar penyokong dan pendukung kebebasan media dapat bersama kami seperti selama ini.
* GERAKAN MEDIA MARAH (GERAMM) adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.