Categories
AGENDA NASIONAL

Individu terlibat kematian Mejar Zahir dikenakan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat dengan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga akan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) (berkaitan latihan) jika terdapat keperluan.

“Berhubung dengan permintaan keluarga agar inkues diadakan bagi mencari punca kematian Allahyarham, Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan ini ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan.

“Kementerian Pertahanan juga menyokong kenaikan pangkat Allahyarham kepada Leftenan Kolonel pada Majlis Angkatan Tentera ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17 September lalu tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata pihaknya juga dimaklumkan oleh Lembaga Siasatan TDM bahawa insiden tersebut sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

Allahyarham Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia pada 4 September lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian anak AR Badul diklasifikasi sebagai kemalangan dalam latihan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya sebagai satu kemalangan dalam latihan.

TDM menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh lembaga siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

“Ahli lembaga juga mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.

“TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu terlibat, sementara prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini jika perlu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham Mohd Zahir akan dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera ke-578 yang telah bersidang pada 17 September lalu, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Aspek kebajikan keluarga Allahyarham Mohd Zahir juga turut diberi perhatian dengan memastikan bantuan dan faedah sewajarnya diterima mengikut kelayakan yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan TDM.

Allahyarham Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia, pada 4 Sept lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis akan panggil beberapa lagi individu berhubung kematian komando

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung insiden kematian seorang komando di Kem Lok Kawi, Sabah, Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan seorang anggota tentera berusia 37 tahun yang ditahan pada hari kejadian,

“Beliau (anggota itu) bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama selepas keterangannya diambil. Siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan dan polis akan memanggil beberapa lagi individu dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PDRM jalankan siasatan penuh berhubung kematian komando

GERIK, 5 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah, semalam.

Menyifatkan insiden itu sebagai malang tidak berbau, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya yakin ada prosedur operasi standard (SOP) dan kemungkinan bukannya terlepas pandang. Ia (pertunjukan) telah diatur seeloknya namun ia (kemalangan) tetap berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019 di sini, hari ini.

Seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam PDRM menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

Abdul Hamid berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga Allahyarham tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa fakta dan pada masa sama meminta orang ramai agar tidak melontarkan komen-komen berunsur penghinaan sehingga melanggar undang-undang.

“Pesuruhjaya Polis Sabah akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkembangan kes),” katanya sambil menambah pasukan khas PDRM sentiasa memantau media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bulan lepas.

Selain itu, beliau berkata PDRM sedang mendapatkan khidmat pakar bagi menentukan hala tuju siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat pihak mensabotaj kejadian itu seperti didakwa atau berpunca daripada masalah di luar kawalan manusia.

“Proses ini mengambil masa disebabkan banyak isu teknikal yang pihak kami tiada kepakaran dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung gangguan berkenaan yang mula dikesan pada 21 Ogos.

Gangguan selama tiga hari itu menyebabkan kegagalan fungsi beberapa sistem seperti sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk, sistem pengendalian bagasi dan sambungan WiFi.

Susulan itu, MAHB membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumi di Tambun

IPOH, 5 SEPT: Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini hari ini.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah kira-kira 8.20 pagi yang sebelum itu disembahyangkan di kediaman ibu mentua Allahyarham di Taman Perpaduan, Tambun.

Solat jenazah dan solat subuh diimamkan Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Terdahulu, jenazah arwah tiba kira-kira 5.45 pagi dari Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, Setapak dengan disambut ahli keluarga, kenalan serta jiran tetangga yang menunggu seawal 3 pagi.

Mohd Zahir, 36, adalah pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pada 9.20 pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur adalah seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui secara peribadi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wira kepada dirinya.

“Semangat Allahyarham akan sentiasa saya kenang. Didoakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jenazah Mejar Mohd Zahir dikebumi di Ipoh

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, apabila jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, tiba di masjid itu untuk penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Lebih 1,000 hadirin termasuk anggota keluarga, kenalan rapat dan petugas media menunggu ketibaan jenazah pada 1.48 pagi untuk memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah.

Antara orang kenamaan yang hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim dan ayah Allahyarham, A R Badul serta anggota keluarga yang lain.

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir yang selesai disolatkan pada 2.43 pagi itu kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh untuk dikebumikan selepas solat subuh.

Mohd Zahir, 36, adalah pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Nazim berkata beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka berdua kepada anggota keluarga Allahyarham Mohd Zahir.

Nourshafinar Harun, 31 (tiga, kiri) kelihatan sebak ketika menunggu jenazah suaminya Mejar Mohd Zahir Armaya tiba di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang hari ini. Foto BERNAMA

“Saya juga menyampaikan sumbangan bagi pihak Seri Paduka Baginda berdua buat isteri Allahyarham, Nourshafinar Harun,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Nourshafinar, 31, berkata: “Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia (Mej Mohd Zahir Armaya) walaupun Allah pinjamkan dia sekejap sahaja”.

Beliau mengetahui suaminya meninggal dunia selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera dari Sabah.

“Cuma berita itu sahaja saya terima dan tidak tengok lagi apa-apa video mengenai kejadian itu.

“Kali terakhir saya jumpa Allahyarham ialah pada 26 Ogos lalu sebelum dia ke Sabah,” katanya yang kelihatan amat sedih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TDM tubuhkan lembaga siasatan kenal pasti punca tragedi pegawai maut

KUALA LUMPUR 4 SEPT: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi seorang pegawai tentera darat maut ditembak ketika demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Menurut sumber TDM, lembaga siasatan itu ditubuhkan selepas proses pengebumian pegawai 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selesai.

Lembaga siasatan terbabit dipercayai akan dianggotai antaranya Rejimen Gerak Khas, TDM.

Terdahulu, Bernama melaporkan, acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, TDM di Kem Lok Kawi, pagi tadi, bertukar tragedi apabila seorang pegawai yang melakukan gimik operasi maut terkena tembakan.

Pegawai Komando Mej Mohd Zahir, 36, meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, selepas dimasukkan ke unit kecemasan.

Allahyarham, anak kepada pelakon serta pelawak veteran A.R Badul, bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara 5 bulan hingga 9 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri ucap takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir Armaya

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir Armaya, yang meninggal dunia ketika melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pagi ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham Mohd Zahir dan menzahirkan harapan agar keluarganya tabah menghadapi suasana pilu serta dugaan daripada Allah SWT.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong, yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham Mohd Zahir yang berkhidmat sebagai pegawai komando.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir, anak kepada pelakon serta pelawak veteran A.R Badul, dilapor meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

-BERNAMA