Categories
AGENDA GLOBAL

Loji penapis minyak di Jawa Barat meletup, ratusan penduduk diarah pindah

JAKARTA, 29 MAC: Sebuah loji penapis minyak milik Pertamina di Indramayu di Jawa Barat, kira-kira 200 kilometer dari sini, terbakar dan meletup, menyebabkan lebih 20 penduduk cedera, manakala ratusan penduduk berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan.

Menurut laporan media tempatan, rumah penduduk dan masjid yang berdekatan loji berkenaan turut mengalami kerosakan akibat kesan letupan kuat.

Setakat 9 pagi waktu Indonesia Barat, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai kemalangan jiwa dalam insiden berkenaan.

Pertamina dalam kenyataan memaklumkan, sebuah tangki di kilang (loji) Pertamina Balongan itu terbakar pada pukul 12.45 tengah malam tadi, ketika berlaku hujan lebat dan petir di kawasan berkenaan.

“Punca kebakaran belum diketahui, saat ini Pertamina Balongan sedang fokus melakukan pemadaman api di kilang yang berlokasi di Desa Balongan, Kabupaten Indramayu, Jawa Barat, yang terletak kira-kira 200km dari Jakarta,” menurut kenyataan itu.

Beberapa video kebakaran dan letupan dahsyat yang berlaku susulan kebakaran itu tular di media sosial di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

2 maut dalam serangan masjid di Selatan Filipina

MANILA, 30 JAN: Sekurang-kurangnya dua maut manakala empat lagi cedera selepas sebutir bom tangan meletup dalam sebuah masjid di bandar Zamboanga, di selatan Filipina, awal pagi ini.

Agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan polis memaklumkan, dua individu tidak dikenali melemparkan bom tangan itu ke arah masjid, menyebabkan dua lelaki berusia 46 dan 47 tahun terbunuh.

Polis berkata, mangsa yang kebanyakannya pendakwah Islam dari Pulau Basilan dan wilayah berhampiran, sedang tidur ketika serangan.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Serangan ke atas masjid itu berlaku susulan insiden letupan berkembar, pada Ahad di sebuah gereja di Pulau Jolo dalam wilayah Sulu, di selatan Filipina yang meragut lebih 20 nyawa.

Filipina mengambil langkah berjaga-jaga, manakala pihak berkuasa sedang menyiasat insiden serangan di Pulau Jolo.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tayar pesawat Air Asia meletup di Sibu

SHAH ALAM, 18 DIS: Pesawat A320 AirAsia tidak dibenarkan berlepas di Lapangan Terbang Sibu selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat, kira-kira 7.20 malam tadi.

Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata pesawat tidak dibenarkan berlepas selepas diarah ke ‘Bay 3’ sebaik sahaja mendarat.

Katanya, semua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan.

air asiaBeliau berkata, kejadian terbabit mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejaskan jadual penerbangan lain.

“Pesawat sudah diletakkan di ‘open bay’ kami dan sedang dibaiki, manakala lampu landasan sudah ditukar,” katanya yang memetik laporan Malaysia Kini.

Beliau berkata, penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijadual berlepas pagi ini dan punca insiden masih dalam siasatan.

Sementara itu, difahamkan kejadian terbabit mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan,MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.