Categories
SELANGOR

Kaji Selidik MenCare: Lelaki alpa ingatkan wanita periksa kesihatan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 APR: Tiada kesedaran kepada kepentingan pemeriksaan payudara adalah faktor utama kaum lelaki tidak mendorong wanita tersayang menjalani saringan kesihatan, kata Dato’ Dr Siti Norlasiah Ismail.

Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) berkata, dapatan itu diperoleh menerusi kaji selidik MenCare 2019 yang dijalankan ke atas 556 responden lelaki dewasa di Selangor.

Katanya, kajian yang bermula Disember lalu itu bertujuan menyelidik tahap sokongan kaum lelaki terhadap wanita dalam menjalani pemeriksaan payudara secara berkala.

“Selain tiada kesedaran kepentingan pemeriksaan, ketakutan untuk melakukan pemeriksaan antara faktor penghalang. Mereka takut jika tahu pasangan mereka menghidap kanser payudara.

“Antara lain, dapatan kami menunjukkan lebih separuh responden tidak sedar kewujudan program mammogram percuma yang disediakan oleh Kerajaan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berkongsi hasil kaji selidik MenCare 2019 di Majlis Pelancaran Program MenCare bersama Kerajaaan Selangor, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, golongan muda dan anak-anak juga perlu diberi pendedahan awal supaya mereka dapat memberi peringatan dalam keluarga mereka.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melancarkan program MenCare bagi menuntut pembabitan dan sokongan kaum lelaki dalam meningkatkan kesedaran wanita terhadap kanser payudara.

Program yang dirasmikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud itu turut menggalakkan inisiatif lelaki mendorong wanita tersayang melakukan saringan payudara.

 

Categories
SELANGOR

MenCare tuntut lelaki dorong wanita jalani saringan payudara

 

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan Negeri melancarkan program MenCare hari ini bagi menuntut pembabitan dan sokongan kaum lelaki dalam meningkatkan kesedaran wanita terhadap kanser payudara.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu turut menggalakkan inisiatif lelaki mendorong wanita tersayang melakukan saringan payudara.

“Kita juga tidak mahu mereka dapat tahu ada kanser ketika di tahap empat atau lewat.

“Jika kita dapat mengesan ketika di tahap awal, kadar kesembuhan adalah 80 hingga 90 peratus, berbanding di tahap akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program MenCare bersama Kerajaaan Negeri, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan syarikat farmaseutikal, Pfizer kerana sudi bekerjasama dalam program itu.

Antara pengisian dalam majlis pelancaran terbabit adalah pembentangan hasil Kaji Selidik MenCare 2019 dan sesi perkongsian bersama pasangan yang pernah melawat kanser payudara.

Kaunter pemeriksaan kesihatan percuma, Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) serta reruai penerangan berkaitan MenCare dan Skim Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) turut dibuka kepada pengujung yang hadir.

MenCare adalah inisiatif NCWO Malaysia dengan kerjasama Pfizer sejak 2008 dengan tujuan mengajar kaum lelaki berkenaan kanser payudara dan kesannya terhadap institusi kekeluargaan.