Categories
EKONOMI

Produktiviti buruh Malaysia 2018 meningkat 2.2 peratus – MITI

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM91,971 pada 2018 daripada RM89,925 sebelum ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Memetik Laporan Produktiviti 2018/2019 yang dilancarkan hari ini, beliau berkata sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM86,921, diikuti dengan pembinaan (+ 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM43,882) dan pembuatan (+ 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM121,841).

“Tahun ini, sektor pembuatan diunjurkan tumbuh pada 4.8 peratus, disokong oleh perubahan ke arah produk nilai tambah yang tinggi, kepelbagaian dan kompleks.

“Sementara itu, sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar yang rendah iaitu 5.7 peratus pada 2019,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran Laporan Produktiviti 2018/2019 dan Laporan MITI 2018 di sini, hari ini.

Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 2.4 peratus dan 3.5 peratus pada 2018, Laporan Produktiviti 2018/2019 menunjukkan angka tersebut masih rendah berbanding masing-masing 3.9 peratus dan 4.2 peratus pada 2017.

Bercakap pada sidang akhbar selepas pelancaran program itu, Darell berkata pertumbuhan yang menyusut itu disumbangkan terutamanya oleh eksport yang rendah di tengah tengah ketidaktentuan perdagangan global.

“Malaysia adalah negara pembuatan. Ternyata, terdapat isu berkaitan eksport memandangkan kebanyakan negara mengurangkan pesanan dan kontrak.

“Namun, bukan kita sahaja negara yang berdepan kesan daripada perang perdagangan yang masih berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China…dan kita masih menyaksikan lencongan yang baik dan pesanan memberangsangkan daripada negara lain,” katanya.

Ditanya sektor yang akan mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan, Pengerusi Malaysia Productivity Corporation (MPC) Chua Tian Chang menjangka sektor terlibat ialah elektrik dan elektronik.

Darell berkata, kerajaan akan berusaha untuk meringankan kesan konflik perdagangan itu selain cabaran yang dijangka berlaku di negara ini.

Mengenai unjuran pelaburan langsung asing, beliau kekal positif ia akan terus berkembang pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Darell menyokong pandangan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde pada Isnin bahawa Malaysia perlu meningkatkan produktivitinya sekiranya ia mahu mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dalam dekad akan datang,

“Saya berpendapat Malaysia adalah produktif, namun kita (kerajaan) perlu mengenal pasti kelemahan kita.

“Kita juga perlu memastikan mulai sekarang, pendidikan di negara ini perlu memberi tumpuan kepada pekerjaan untuk masa depan seperti pekerjaan berkaitan digital, dan pada masa yang sama memastikan produktiviti akan terus berkembang,” katanya.

Bertemakan “Memacu Produktiviti Negara,” edisi ke-26 Laporan Produktiviti 2018/2019 itu diterbitkan MPC yang mana dapatan dan analisis yang dibuat adalah berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Disebalik laporan negatif, Malaysia masih pilihan pelabur – Darell

ALOR SETAR, 14 MEI: Wujud elemen tertentu yang memaparkan Malaysia sebagai bukan destinasi pilihan pelabur susulan laporan negatif mengenai negara ini, termasuk dakwaan bahawa dana global lebih memilih pasaran negara lain berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, di sebalik laporan negatif sedemikian, hakikatnya masih ramai pelabur yang terus memilih untuk datang melabur ke negara ini.

“Kita menganggapnya (tuduhan itu) sebagai cabaran…Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga sentiasa menasihati agar jangan melawan, sebaliknya buktikan apa yang kita mampu lakukan.

“Apabila kita membuat perkara yang betul dan tepat, sudah pasti akan ada pihak yang mengkritik kerana mereka sebenarnya tahu bahawa kita boleh mencatat kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Darell mengulas laporan media kewangan Bloomberg semalam, yang mendakwa pihak dana asing lebih memilih negara lain berbanding Malaysia atas alasan gagal melihat pembaharuan yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Laporan itu turut mendakwa pasaran saham Malaysia menyaksikan aliran keluar dana mencecah paras rekod sejak 12 bulan lepas, kecuali dua bulan dalam tempoh itu manakala ringgit lebih ketinggalan berbanding mata wang lain rantau ini.

Mengulas selanjutnya, Darell berkata bagi Malaysia misalnya, negara ini dipimpin oleh seorang perdana menteri yang mampu membimbing kalangan anggota Kabinetnya untuk memastikan mereka mengambil tindakan tepat selain mengelak kesilapan.

“Pada masa sama, kita turut menawarkan pelabur dengan persekitaran yang menarik serta pelbagai kemudahan yang dimiliki oleh setiap negeri,” katanya.

– BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Hubungan kukuh Malaysia-HongKong jadi asas kerjasama masa depan – MITI

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Hubungan ekonomi dua hala Malaysia yang kukuh dengan Hong Kong akan meletakkan asas kukuh untuk kerjasama pada masa depan terutama dalam bidang perkhidmatan kewangan, logistik serta inovasi dan teknologi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Hong Kong terus menjadi satu daripada rakan perdagangan utama Malaysia dan sumber pelaburan langsung asing.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan lawatan kerja dilakukan Darell ke Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong mulai 16 hingga 18 Januari lalu.

Semasa lawatan itu, Darell memenuhi jemputan daripada Ekonomi Times untuk mempengerusikan ‘Mesyuarat Sarapan Pagi CEO’ pada 17 Januari, yang dihadiri 40 ketua pegawai eksekutif dan wakil dari syarikat terpilih di seluruh Asia.

“Satu lagi acara penting lawatan kerja itu ialah pelancaran Program Truly Malaysia (TMP), di mana ‘Sudut Produk Malaysia’ akan ditubuhkan di lebih daripada 4,500 farmasi di seluruh Hong Kong dan akan memudahkan penembusan pasaran produk Malaysia di kalangan penduduk tempatan dan pelancong China di Hong Kong.

“TMP adalah satu inisiatif yang dihasilkan daripada kerjasama antara MH Cross Border Group, Persatuan Farmasi Cina Hong Kong serta Dewan Perniagaan dan Industri Hong Kong,” katanya.

SUMBER: BERNAMA