Categories
SELANGOR

Mohamad Sabu seronok lawat Sekinchan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 13 OGOS: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu meluahkan rasa seronoknya apabila berkesempatan mengadakan sesi dialog bersama komuniti nelayan Pantai Redang di sini, pagi tadi.

Kesempatan bertemu nelayan itu dimanfaatkan sepenuhnya Mohamad bagi mendapatkan maklumat berhubung keperluan meningkatkan perlindungan dan keselamatan golongan itu ketika berada di tengah lautan.

“Seronok dikelilingi kawasan alam persekitaran semulajadi, juga bot nelayan yang dipenuhi dengan bau ikan,” katanya sambil disambut gelak tawa hadirin.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, ia adalah kali pertama dalam sejarah apabila Menteri Pertahanan melawat Sekinchan dan mengadakan program bersama nelayan.

“Ini adalah sejarah, tidak pernah ada menteri pertahanan datang ke sini, kami mahu menteri mengambil maklum bahawa nelayan memerlukan perlindungan dan keselamatan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Selain mengadakan sesi dialog, Mohamad turut dibawa ke lokasi tarikan pelancong di Sekinchan iaitu Ah Ma House dan juga Kilang Beras.

Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu terima kunjungan Kementerian Pertahanan UK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat pertama daripada Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) di Pejabat Kementerian Pertahanan, hari ini.

Kunjungan tersebut diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan UK, Gavin Williamson yang tiba sekitar jam 8.50 pagi tadi, lapor Bernama.

Ketibaannya disambut dengan kawalan kehormatan utama melibatkan 108 pegawai dan anggota daripada Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izhan Ahmad Rashidi.

Kunjungan kali pertama itu antaranya bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala kedua negara selain bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.