Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, ketua menteri dijemput semula ke mesyuarat penting PKP esok

SHAH ALAM, 20 MEI: Dato’ Menteri Besar kembali diundang ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok berhubung pelaksanaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau akan menyertainya selepas dimaklumkan tidak terlibat dalam perbincangan itu petang tadi.

“Terkini – Saya baru sahaja menerima maklum bahawa MB & KM (ketua menteri) akan diundang semula hadir ke Mesyuarat MKN yang dijadualkan esok.

“Terima kasih atas undangan semula ini, saya komited hadir untuk ketengahkan pandangan demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya menerusi Twitter.

Terdahulu Amirudin mengesahkan tidak terbabit dalam mesyuarat berkenaan meskipun telah mengesahkan kehadiran semalam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat MKN esok di Putrajaya bagi membincangkan pelaksanaan PKP secara menyeluruh di seluruh negara.

Semalam, Dato’ Menteri Besar menegaskan Kerajaan Selangor tidak menolak arahan PKP penuh namun meminta pertimbangan menyeluruh termasuk moratorium automatik, pendidikan dan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pelbagai aspek lain termasuk pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelan penyelesaian yang jelas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perhalusi PKPB Klang dalam mesyuarat MKN negeri

SHAH ALAM, 7 OKT: Selangor akan memperhalusi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat di Klang pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, pagi esok.

Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan SOP yang ditetapkan sebelum ini akan dinilai dan dilengkapkan bersama agensi, jabatan serta badan berkaitan.

Berikut kenyataan penuh tersebut:

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor akan bermesyuarat pagi esok bagi menentukan parameter kawasan yang berkenaan. Tatacara piawai operasi (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang terpakai dahulu akan diperhalusi dan dilengkapkan selesai mesyuarat bersama semua agensi, jabatan, dan badan berkaitan.

Perkara-perkara berbangkit yang lain akan turut dimuktamadkan.

Sebarang sebaran berkenaan SOP Daerah Klang saat ini adalah tidak muktamad sehingga diputuskan dalam mesyuarat pelarasan MKN kelak.