SHAH ALAM, 7 JAN: Mangsa banjir tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 bagi membantu mereka menjalani proses pemulihan pascabanjir dengan segera.
Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata pengagihan kepada penerima di daerah itu dijalankan mengikut kawasan penempatan membabitkan semua kategori termasuk mereka yang kekal di rumah ketika bencana itu pada 18 Disember tahun lalu.
Menurutnya, penyerahan diberikan kepada mangsa yang datanya dikumpul ketua kampung serta pemimpin komuniti dan menghantar kepada pihaknya untuk diproses.
“Kita berikan semuanya tanpa mengira berpindah ke PPS atau tidak, asalkan permohonan lulus kita hubungi mereka untuk ke pusat pengagihan berhampiran tempat tinggal pada waktu ditetapkan.
“Mereka hanya perlu tunjuk dokumen untuk pengesahan, bagi yang tidak dapat hadir boleh mengambilnya di pusat sehenti di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Johary menambah pihaknya menyasarkan memulakan proses pendaftaran dari rumah ke rumah khusus untuk golongan tercicir selepas 31 Januari ini.
Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji pula berkata pihaknya juga giat menyampaikan bantuan kepada lebih ramai mangsa termasuk mereka yang tidak berpindah ke PPS.
“Pejabat Daerah dan Tanah Klang aktif proses permohonan BSB dan sudah pun menyampaikannya sama ada pemohon tinggal di pusat pemindahan atau tidak,” jelasnya.
Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata pengagihan fasa satu di Hulu Langat sedang dilaksanakan yang kini difokus kepada mangsa tidak berpindah ke PPS.
“Bantuan cuba diagih secepat mungkin untuk membantu mangsa, selepas ini fasa kedua akan dilaksanakan untuk mengenal pasti mereka yang tercicir,” katanya.
Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.
Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.