Categories
SELANGOR

Hilman teroka pembangunan bandar pintar di Jakarta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JULAI: Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Mohd Hilman Idham mengadakan pertemuan bersama wakil Gubernur DKI, Jakarta YTH Bapak Sandiaga Salaahuddin Uno, pada 6 Julai lalu.

Bercakap kepada SelangorKini, Hilman berkata, pertemuan tertumpu kepada perbincangan terhadap pembaharuan Malaysia Baharu.

Katanya, fokus juga terarah kepada hasrat pentadbiran negeri untuk mengguna pakai dasar pembangunan bandar pintar dilaksanakan di Jakarta.

“YTH Bapak Sandi menyampaikan rasa kagum beliau terhadap perjuangan, tekad dan iltizam rakyat Malaysia yang melakukan perubahan dalam pilihan raya lalu.

“Perbincangan turut berkait soal demokrasi, kemajuan teknologi dan pengalaman Jakarta sebagai bandar pintar khususnya dalam usaha merealisasikan gagasan Selangor sebagai regional Smart State,” katanya.

Terdahulu, Hilman berada di Jakarta sempena program lawatan kerja ke Indonesia, minggu lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor melaksanakan dasar pembangunan negeri pintar yang mensasarkan Smart State menjelang 2025.

 

Categories
SELANGOR

Skuad Gombak Kita Setia terjah kebajikan rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 2 JULAI: Skuad Gombak Kita Setia kekal komited menjalankan fungsi penubuhannya untuk memastikan gerak kerja dan agenda kebajikan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, terjamin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Mohd Hilman Idham berkata, 200 anggota sukarelawan skuad itu akan membantu pengurusan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

Katanya, gerak kerja itu meliputi program turun padang wakil rakyat setempat untuk membantu kebajikan warga Gombak Setia.

“Gombak Kita Setia bukan hanya menjalankan tugas-tugas sukarelawan sepanjang musim pilihan raya sahaja, tetapi 200 anggota skuad ini akan masuk ke semua kampung di Gombak Setia.

“Peranan mereka untuk terus memperkenalkan dasar dan agenda kebajikan pentadbiran Selangor kepada masyarakat di seluruh kampung di DUN ini.

“Saya cukup yakin dengan gerak kerja ini dalam melaksanakan mesej dan pelan kebajikan untuk warga Gombak Setia,” katanya kepada pemberita pada satu majlis, semalam.

Terdahulu, Relawan Gombak Kita Setia ditubuhkan bertujuan mendekati lebih ramai masyarakat dan menjelaskan tentang dasar kepimpinan serta program diamalkan Kerajaan Negeri, pada April lalu.

Skuad berkenaan dilaporkan turut berpusat di Pejabat Pusat Khidmat DUN, Gombak Setia.