Categories
EXCO SELANGOR

Tambah baik RiDE, Kerajaan Negeri terbuka terima pandangan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bersikap terbuka menerima pandangan semua pihak bagi menambah baik program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan penambahbaikan program terbabit supaya lebih ramai belia Selangor yang menceburi perkhidmatan e-panggilan mendapat manfaat tersebut.

“Kerajaan Negeri sentiasa ada bersama mereka yang terlibat dalam perkhidmatan ini (e-panggilan), jadi pintu sentiasa terbuka luas kepada mereka sekiranya memerlukan sesi dialog.

“Golongan ini pandai berdikari dan cari jalan untuk tambah pendapatan. Walaupun perlu membuat lebih 24 penghantaran dalam masa sehari namun mereka sangat kental serta bersemangat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, wakil rakyat Paya Jaras berkata belia lingkungan usia 21 hingga 23 tahun antara yang paling ramai menerima inisiatif RiDE setakat ini diikuti (24 hingga 30 tahun) dan (17 hingga 20 tahun).

Tanpa mendedahkan angka terperinci, Mohd Khairuddin memaklumkan Petaling merekodkan jumlah peserta tertinggi diikuti Hulu Langat, Gombak, Klang dan Kuala Langat.

Sebelum ini, beliau berkata promosi program RiDE akan dipergiat di beberapa daerah yang mencatat penyertaan rendah dalam masa terdekat bagi menarik minat lebih ramai belia.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Permohonan yang dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui laman sesawang http://msnselangor.gov.my turut memberi kelonggaran kepada penunggang e-panggilan berusia bawah 40 tahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor belanja lebih RM100,000 bantu atlet, bekas atlet negeri

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,279 melaksanakan inisiatif program makanan tambahan kepada atlet dan bekas atlet Selangor.

EXCO generasi muda dan sukan berkata kira-kira 500 orang akan menerima manfaat sumbangan itu meliputi pemberian makanan berasaskan protein, vitamin dan minuman tenaga.

“Tujuan program ini adalah bagi meringankan beban atlet dan bekas atlet di Selangor terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan moral dan motivasi buat mereka untuk kekal aktif membuat latihan serta meneruskan kehidupan seharian walaupun tidak lagi terlibat dalam aktiviti sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Gimik perasmian majlis Penyerahan Makanan Tambahan Kepada Atlet dan Bekas Atlet Selangor pada 10 April 2021 di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas program Penyerahan Makanan Tambahan Atlet dan Bekas Atlet Selangor 2020 di Foyer Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Bukit Kiara di sini hari ini.

Menurut beliau, kriteria pemilihan penerima adalah berdasarkan penglibatan aktif, mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan bekas atlet yang banyak berjasa kepada negeri ini.

“Kita sentiasa mahu memastikan kebajikan golongan ini terbela sekali gus menyuntik semangat untuk mereka beraksi pada pertandingan akan datang,” katanya lagi.

Penerima itu terdiri daripada 400 peserta daripada Majlis Sukan Negeri Selangor, Yakeb (50), Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (30) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (20).

Categories
SELANGOR

EXCO mahu 3 juta belia Selangor bergiat aktif

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR : Kesemua 3 juta generasi muda di negeri ini perlu bergiat aktif sekali gus menjadi kumpulan yang bersemangat tinggi, demikian saranan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Mohd Khairudddin Othman turut berharap Majlis Belia Selangor selaku pertubuhan induk dapat merealisasikan matlamat berkenaan.

Katanya, beliau gusar apabila melihat corak kehidupan belia masa kini yang semakin mencabar, ketiadaan kekuatan spiritual dan mental akan menjadi faktor pemusnah buat golongan berkenaan.

“Kerajaan memandang berat perkara ini dengan berusaha merangka pelbagai program agar generasi muda ini bersedia menghadapi gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara, malahan juga di peringkat global.

“Generasi muda adalah aset negara yang sentiasa diberi ruang menyerlahkan bakat dan potensi diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Selangor bertempat di Hotel Carlton & Suites, di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Abd Bahar dan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin.

Mengulas lanjut, Mohd Khairudddin berkata, anugerah yang diperkenalkan sejak 1988 itu adalah pengiktirafan berprestij yang dikhaskan kepada generasi muda seluruh negara.

Katanya, ia juga penghargaan kerajaan kepada individu dan pertubuhan belia yang telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan generasi muda di Malaysia terutamanya di Selangor.

“Ia juga adalah sebagai satu motivasi menggalakkan penglibatan generasi muda dalam kerja-kerja sukarela yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Pada tahun ini calon untuk pertubuhan belia hanya enam sahaja yang bertanding dan calon individu hanya 13 iaitu 10 lelaki dan tiga wanita.

“Saya berharap pada tahun mendatang akan ada peningkatan pencalonan bagi semua kategori tersebut,” katanya.

 

Pada majlis berkenaan, Mohd Firdaus Shir Mohd, Haridass Ramasamy dan Khairul Azwan Pauzi dinobatkan tiga belia lelaki terbaik.

Sementara bagi kategori wanita ialah Salbiah Abdul Ghani, Maslina Sofiah Othman dan Salsabila Kamal.

Bagi pertubuhan terbaik ialah Persatuan Belia Masjid Selangor, Pertubuhan Belia Hindu Kuala Langat dan Kelab Belia Kampung Jenderam Hulu.

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

EXCO pastikan prestasi pemain badminton pada tahap terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Satu pertemuan khas antara Mohd Khairudddin Othman bersama juara Liga Remaja AirAsia-BAM 2018 akan diadakan dalam masa terdekat, bagi memastikan pemain mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, Kerajaan Negeri juga akan memantau keperluan pasukan berkenaan dan mengambil segala langkah untuk membantu pemain.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan Kerajaan Negeri berasa amat bangga dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, pasukan badminton Selangor muncul juara kategori lelaki dan wanita, pada Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM 2018 di Stadium Juara Bukit Kiara.

Ketua jurulatihnya, Danan Jaya berkata, beliau menjangkakan perlawanan sengit akan berlaku khususnya bagi kategori lelaki.

“Baik lelaki dan wanita, saya mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah lawan, sebaliknya perlu sentiasa fokus dan akhirnya kami berjaya mengulangi pencapaian tahun lalu dengan menjadi juara kedua-dua kategori,” katanya.

Semua pemain daripada pasukan juara akan diberi peluang menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum diserapkan ke skuad pelapis negara.

Juara bagi setiap kategori menerima hadiah RM20,000, naib juara (RM15,000), ketiga (RM10,000) dan keempat (RM5,000).