Categories
NASIONAL

Gangguan kesihatan berlaku lagi di Pasir Gudang hari ini

JOHOR BAHRU, 7 JUL: Seramai 11 pelajar dari empat sekolah di Pasir Gudang dilaporkan mengalami lagi simptom pening, loya dan muntah, hari ini.

Pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Putih yang sebelum ini pernah dilanda simptom sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata semua pelajar bagaimanapun direhatkan di sick bay (bilik kecemasan) sekolah dan tiada mangsa yang mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai setakat 4 petang ini.

Selain itu, tiada pesakit baharu juga dimasukkan ke wad hospital dan setakat ini keadaan masih terkawal, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada masa sama telah menjalankan pemeriksaan terhadap 212 premis industri di Pasir Gudang dan mengeluarkan 108 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun kerana efluen perindustrian dan satu kompaun berkaitan kumbahan (tangki septik).

Sebanyak 51 notis arahan, 11 perintah tahan operasi dan tiga syor tindakan mahkamah turut dilakukan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksik haram di kawasan mereka agar segera membuat aduan kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui eaduan.doe.gov.my. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran bau: 14 sekolah ditutup hingga Khamis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PASIR GUDANG, 23 JUN: Kerajaan Johor mengarahkan 14 lagi sekolah di Pasir Gudang ditutup sementara berikutan gelombang kedua pencemaran bau, pagi tadi.

EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas tiga lagi sekolah mengalami sesak nafas dan muntah-muntah di sekolah terbabit, pada jam 11 pagi tadi.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 11 pagi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Mereka membuat saringan kepada 20 orang dikesan mengalami gejala sesak dan muntah-muntah.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat membuat ketetapan supaya sekolah-sekolah berada dalam jajaran lokasi kejadian yang dikenal pasti ditutup selama empat hari bermula esok sehingga 27 Jun (Khamis) ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara sekolah terbabit adalah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana.

Selain itu, katanya, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK (T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.

“Ini termasuk dua sekolah ditutup sebelum ini iaitu SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2.

“Turut terbabit sama adalah institusi pengajian awam, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor yang dikenal pasti termasuk semua pra sekolah dan Tadika,” katanya.

Sehingga jam 3.30 petang tadi, seramai 13 orang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala 49 orang menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Bagaimanapun sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi terbabit sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kepada pencemaran bau yang dikesan di sekolah berkenaan.