SHAH ALAM 5 JULAI : Cubaan membunuh karektor peribadi dan isteri serta anak-anaknya oleh pemimpin MCA-BN dikecam keras Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Menurut Guan Eng, MCA-BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik dengan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah.
Ujar beliau, Pengerusi MCA Melaka, Gan Tian Loo menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam DUN Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap beliau dan isterinya di dalam dewan tersebut.
“Saya mahu Gan mengulangi tuduhan itu di luar, supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu.
“Jika Gan tidak berani berbuat demikian, maka dia telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin, ahli Exco dan wakil rakyat,” tegas Guan Eng.
Guan Eng juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najid Razak, agar mengarahkan pihak MCA mengulangi dakwaan palsu itu di luar DUN Melaka bagi membuktikan kenyataan itu kerana Presiden MCA, Chua Soi Lek tidak layak memandangkan Chua juga mempunyai skandal moral sebelum ini.
“Biar MCA mengulangi dakwaan mereka di khalayak ramai supaya saya dan isteri boleh buktikannya di mahkamah bahawa ‘Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek’.
“Saya tidak mempunyai mana-mana hubungan rapat atau rahsia dengan bekas kakitangan saya. Isteri saya tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya.
“Biar saya dan isteri saya membuktikannya di mahkamah bahawa MCA berbohong dan meminta MCA mendedahkan cubaan untuk membunuh karektor dan mendedahkan sumber maklumat palsu ini,” katanya.