Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Yakin Pertahan Kapar

Penamaan Parlimen Kapar 01

KLANG, 20 APRIL : Walaupun berlaku pertandingan enam penjuru bagi Parlimen Kapar, calon PKR, G Manivannan, tetap yakin untuk mempertahankan kerusi dimenangi Pakatan Rakyat(PR) dalam pilihan raya lalu.

Katanya, berdasarkan sambutan diterima dalam sesi bertemu rakyat, jelas menggambarkan sokongan kuat kepada PR.

“Bagi saya bagus bila ramai bertanding kerana ramai menawarkan diri untuk jadi pemimpin.

“Saya tetap fokus dengan gerak kerja dibuat kerana kita sudah bersedia dengan cabaran yang datang.

“Soal calon Bebas ramai, tak mengapa sebab sebelum ini di Bukit Selambau sampai 14 orang,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Penamaan Parlimen Kapar 02Beliau berkata, sesi ramah mesra dan penerangan kepada pengundi telah giat dijalankan sehingga tiba hari mengundi.

Jelasnya, beliau menetapkan sasaran bertemu dengan lebih 100,000 pengundi di kawasan Parlimen Kapar bagi mengukuhkan sokongan kepada PR.

“Saya optimis sokongan tetap berpihak kepada PR kerana perubahan jelas ditunjukkan rakyat,” ujarnya.

Manivannan, Setiausaha PKR Cabang Subang bertanding di Parlimen Kapar menggantikan S Manikavasagam yang berpindah ke DUN Bukit Melawati.

Dalam pilihan raya lalu Manikavasagam memperolehi 48,196 undi, manakala Komala Devi a/p Perumal(BN) memperolehi 35,899.

Manikavasagam menang dengan majoriti 12,297 undi

Manivannan akan dicabar A Sakthivel (BN), Mohd Farhan (Berjasa) dan tiga calon Bebas, Nor Hamzah, Mohd Nazri dan A R Palaya.