Categories
NASIONAL

Hard Rock Cafe islamik seluruh negara bukan hanya Putrajaya

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 8 JAN: Kerajaan pusat harus mengenakan syarat bercirikan islamik bagi Hard Rock Cafe (HRC) di semua tempat bukan hanya Putrajaya sahaja seperti yang dicadangkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, berkata cadangan itu menunjukkan Barisan Nasional (BN) mengamalkan ‘double standard’ kerana mahu menunjukkan ciri islamik di sesetengah tempat sahaja.

Katanya, penubuhan cawangan HRC itu bukanlah satu keperluan, bahkan cadangan itu juga tidak wajar dilaksanakan.

Mahfuz-1“Mengapa tidak diwujudkan cadangan seperti itu di semua tempat, seharusnya bukan sahaja di Putrajaya tetapi membabitkan semua tempat.

“Lagipun tidak ada keperluan untuk wujudkan HRC ini, kenapa ia perlu dibuka kerana ia ibarat orang Putrajaya tidak minum di warung,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, kerajaan pusat harus memberi peluang kepada usahawan lain jika ingin membuka kafeteria berlandaskan islam kerana HRC sinonim dengan muzik dan minuman keras.

“Kita tidak perlu guna jenama HRC walaupun dengan syarat berlandaskan islam. Mengapa tidak gunakan jenama lain dan bagi peluang usahawan baru,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad, berkata kerajaan BN akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan pelabur termasuk membuka HRC di Putrajaya walaupun rakyat membantah.

pjwp2011“Syarat dikeluarkan kepada HRC sebagai meredakan kemarahan rakyat, bermakna memang kerajaan memang ingin membuka cawangan kafe itu di Putrajaya,” katanya.

Katanya, pembukaan kelab dan kafe eksklusif seperti HRC bukan sahaja tidak boleh dibuka di Putrajaya, bahkan di tempat lain kerana boleh mengundang masalah sosial kepada anak muda.

Beliau percaya syarat yang dikeluarkan itu supaya tidak ada penentangan terbuka oleh rakyat tetapi akhirnya ada usaha untuk membuka cawangan di pusat petadbiran kerajaan itu.

Beliau mendesak rakyat terus membantah penubuhan cawangan HRC yang akan mencemarkan pusat pentadbiran kerajaan.

Sebelum ini, Tengku Adnan mengulas kemungkinan pengusaha HRC membuka cawangan itu berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkenaan perjumpaan beliau dengan pelabur HRC di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.

Aseh bagaimanapun menjelaskan tidak ada permohonan rasmi dibuat berkenaan perkara itu, bahkan Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.

-NFN-