Categories
SELANGOR

YAWAS galak individu, swasta, GLC bantu ahli TAWAS

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mahu bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam membantu anak-anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang menghidap penyakit kronik.

Pengurus Besarnya, Mohd Noor Mohd Zain, berkata kerjasama itu penting bagi membantu meringankan beban keluarga membiayai kos perubatan.

Mohd Noor Mohd Zain“Kita akan berbincang dengan LZS untuk kerjasama ini. Kita mahu kanak-kanak ini menerima bantuan secara berterusan.

“Setakat ini, kita hanya berikan bantuan daripada sumbangan yang diterima dari individu dan syarikat yang menderma untuk pembangunan ahli TAWAS,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Mohd Noor juga mahu Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) menjadi penderma kepada pembangunan itu secara berterusan.

Beliau turut mencadangkan kakitangan GLC membuat potongan gaji sekurang-kurangnya RM10 untuk didermakan dalam Tabung Generasi YAWAS (TERAS).

“Kita juga mahu bekerjasama dengan Dewan Undangan Negeri mengenal pasti penderma untuk disalurkan dalam tabung ini.

“Kita akan mengeluarkan risalah berkaitan tabung ini tahun depan supaya individu mahupun syarikat yakin dengan pihak kita dalam menguruskan tabung bantuan ini,” katanya.

TAWAS TERASTERAS yang dilancarkan tahun lalu membolehkan penderma Skim TERAS berpeluang menikmati rebat cukai pendapatan daripada Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rebat layak tuntut yang dibenarkan LHDN adalah 7 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu, manakala 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi syarikat.

Selangor Kini difahamkan, Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid merupakan individu pertama yang mendermakan RM15,074.85 iaitu sebahagian gaji bulanannya ke dalam skim terbabit.

Menerusi TERAS, sumbangan kewangan daripada penderma akan digunakan untuk pembangunan pendidikan, modal insan dan kebajikan ahli-ahli Tawas.

-nR-