Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel, Yawas jalin kerjasama perkasa anak istimewa di Selangor

KUALA SELANGOR, 1 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Universiti Selangor (Unisel) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerjasama itu juga bertujuan menambah baik program bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) supaya mereka tidak tercicir dan mampu berdikari.

“Dengan adanya pembabitan universiti kita yakin pelbagai kajian, kerja komuniti dan latihan membabitkan anak istimewa ini dapat dilaksanakan sekali gus membantu perkembangan pembangunan ANIS.

“Saya harap kerjasama dengan golongan akademik dan penuntut universiti akan menjadi pemangkin untuk terus memberi perkhidmatan terbaik untuk anak istimewa ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU antara Unisel dan Yawas di Unisel Bestari Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman dan Pengurus Besar Yawas Gan Pei Nei.

Menerusi MoU itu Unisel akan menawarkan kepakaran dan kemudahan kepada ANIS di bawah seliaan Yawas antaranya kerjasama cakna komuniti OKU termasuk membantu Yawas dan ANIS melaksanakan jelajah negeri sekiranya diperlukan dan bekerjasama membangun Sijil Ikhtisas Cikgu ANIS.

Selain itu, menyediakan khidmat konsultansi dan penyelidikan impak tinggi ANIS-Unisel, kerjasama khidmat komuniti oleh pakar dan sukarelawan serta kerjasama bersama program akademik Unisel menerusi usahasama Fakulti Pendidikan Sains Sosial.

Turut diadakan program kerjasama promosi ANIS dan Unisel melalui persidangan, webinar, seminar dan promosi khusus, selain kerjasama penyelidikan dan latihan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Laksana program latihan anak istimewa, tingkat akses kepada pendidikan

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menjalin kerjasama dengan Universiti Malaya dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan Malaysia bagi melaksanakan program ‘Training of Trainers’ (ToT) Anak Istimewa Selangor (AnIS).

Kolaborasi itu bagi merangka program kapasiti yang relevan dengan keperluan semasa melalui perkongsian kepakaran bersama pihak berkaitan, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan usaha itu selaras hasrat Kerajaan Negeri meningkatkan akses orang kelainan upaya (OKU) kepada pendidikan sekali gus membangunkan ekosistem pendidikan inklusif.

“Program melibatkan peserta dalam kalangan mahasiswa dan graduan pendidikan selain bidang pendidikan khas, pendidik di institusi pendidikan awal seperti Tadika dan Taska serta sukarelawan anak istimewa.

“Peserta bakal didedahkan dengan strategi berkesan pengajaran dan pembelajaran yang berkait dengan murid berkeperluan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peserta juga akan mempelajari ciri murid berkeperluan khas, mengenalpasti, intervensi awal, pentaksiran pendidikan khas, peranan pemimpin sekolah, peluang pekerjaan serta peranan ibu bapa dan komuniti.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

465 OKU Selangor terima bantuan kewangan RM500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 465 orang kelainan upaya (OKU) yang layak setakat ini.

Ketua jabatan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur sejak 5 Julai lalu membabitkan peruntukan bernilai RM232,500.

“Ini bermakna kita sudah menggunakan 38 peratus daripada RM600,000 dana yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan OKU.

“Ketika ini proses penilaian daripada pemohon lain sedang dibuat sebelum bayaran diagih berperingkat pada Isnin setiap minggu,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 7,000 permohonan direkodkan sejak dibuka 1 Julai lalu, namun kuota hanya dihadkan kepada 1,200 individu.

“Kita menyasarkan OKU yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 misalnya gaji dipotong atau hilang pekerjaan dengan mengemukakan dokumen pengesahan gaji terkini dari majikan atau mengisi borang akuan pendapatan disahkan wakil rakyat, ketua kampung dan pengerusi badan pengurusan bersama (bekerja sendiri).

“Pada masa sama, kita berterima kasih kepada pihak yang membantu mempromosi bantuan ini terutama media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar,” katanya.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

2020: YAWAS fokus kebajikan kanak-kanak

SHAH ALAM, 16 JAN: Pencapaian memberangsangkan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tahun lepas terhadap warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) diteruskan dengan tumpuan kepada golongan kanak-kanak pula tahun ini kata pengurus besarnya.

Gan Pei Nei berkata program seperti Riang Ria Dunia Membaca, Bengkel Bercerita dan Keibubapaan serta 10 siri Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK) akan dianjurkan bagi mendekati golongan terbabit.

YAWAS juga katanya akan bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi penganjuran aktiviti bercerita dan kraftangan di perpustakaan awam terpilih sekali gus membudayakan tabiat membaca melalui Riang Ria Dunia Membaca.

“Bengkel Bercerita dan Keibubapaan pula untuk menggalakkan ibu bapa main peranan dalam pembangunan anak-anak kecil. YAWAS juga bercadang menganjurkan 10 siri KIPK bagi melatih pengasuh di rumah dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kebersihan dan kesihatan dalam penjagaan kanak-kanak,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berkenaan pencapaian 2019, Pei Nei berkata YAWAS berjaya mencapai sasaran dalam menyedia bantuan kepada golongan sasar antaranya belia dan wanita.

YAWAS berperanan menguruskan beberapa program kebajikan bawah Kerajaan Negeri antaranya seperti Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas; Program Bantuan Masuk Sekolah; Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor; Skim Bantuan Tadika Selangor; Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar dan Skim Kesihatan Wanita Selangor.

Categories
SELANGOR

Riang Ria Bercerita galak kanak-kanak membaca

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

DENGKIL, 29 MEI: Seramai 30 kanak-kanak dari Perkampungan Orang Asli Bukit Tampoi menyertai Program Riang Ria Bercerita anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di Balai Raya kampung berkenaan, bermula sejak semalam hingga hari ini.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, program julung kali dijayakan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bertujuan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak, khususnya anak orang asal yang tinggal di kawasan terbabit.

“Sepanjang musim cuti ini, kita memberi fokus kepada anak-anak di perkampungan orang asli termasuk golongan B40 dengan menyediakan kemudahan perpustakaan bergerak supaya mereka terbiasa dengan perpustakaan.

“Kita melihat golongan ini kurang pendedahan dengan perpustakaan awam termasuk kemudahan perpustakaan bergerak, oleh sebab itu kita menggunakan pendekatan seperti ini untuk memberi peluang kepada mereka membaca dengan cara bercerita.

“Diharapkan minat membaca anak-anak kecil ini sentiasa berterusan sekali gus menggalakkan mereka untuk berkunjung ke perpustakaan awam berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Mengakui dorongan ibu bapa penting dalam memupuk amalan membaca, Pei Nei berkata, pihaknya turut melatih pencerita yang majoriti dalam kalangan suri rumah tangga sepanjang program berkenaan diadakan.

“Selain menggalakkan budaya membaca untuk anak-anak, kita mahu ibu bapa belajar melalui aktiviti ini dan melakukan benda yang sama apabila berada di rumah kerana anak-anak lebih banyak meluangkan masa bersama ibu bapa serta ahli keluarga.

“Kita mahu menjadikan budaya membaca ini bukan sahaja di perpustakaan, tetapi paling penting mewujudkan suasana seperti ini di rumah dan komuniti,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SMUE beri manfaat terus kepada warga emas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APR: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menyambut baik penjajaran semula Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang memberi manfaat terus kepada golongan sasar.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat dan maklumbalas oleh golongan warga emas yang mahu merasai manfaat SMUE semasa hayat mereka.

Katanya, mekanisme baharu itu adalah berbeza dengan pelaksanaan pemberian sebelum ini yang menyaksikan bantuan diberikan kepada waris selepas warga emas berkenaan meninggal dunia.

“Penjajaran semula program SMUE ini dibuat dengan matlamat pelaksanaan pemberian manfaat yang bersifat terus kepada golongan warga emas.

“YAWAS turut menyokong pelaksanaan mekanisme baharu ini yang seiring dengan agenda kepedulian Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pei Nei berkata, seramai 200,000 warga emas menerima manfaat dalam tahun pertama pelaksanaan dengan jumlah peruntukan RM20 juta menerusi mekanisme baharu SMUE itu.

Katanya, angka terbabit merupakan peningkatan besar berbanding sejumlah 103,320 waris yang menerima manfaat dari skim itu sejak 10 tahun bermula pada 2008.

“Justeru, YAWAS menyeru kepada semua warga emas yang layak untuk segera mendaftar di bawah skim ini agar tidak terlepas daripada menerima manfaat ini.

“Pendaftaran SMUE boleh dibuat dimana-mana pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang terdekat dengan kawasan tempat tinggal,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung SMUE sila hubungi Careline YAWAS di talian 03-5481 8800.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan penjajaran semula skim terbabit yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom ‘Shopping’ Warga Emas bermula Oktober.

 

 

Categories
SELANGOR

JKM bakal buat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor akan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di sekitar negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Hanafi Maulud berkata, ia bagi membantu pengasuh yang masih belum menerima sebarang kursus intensif penjagaan kanak-kanak dan bayi untuk berbuat sedemikian.

“Oleh sebab itu, JKM meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pengasuh di kawasan penempatan masing-masing bagi membolehkan JKM berhubung dengan mereka.

“Ini kerana pihak kami mahu golongan ini mendapat pengetahuan cara mengasuh kanak-kanak dan bayi yang betul sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka ibu-bapa yang bekerja tidak perlu risau,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak anjuran Rantai Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Hotel KIP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei dan Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd, Arba’ain Abdul Rahman.

Kursus tiga hari itu turut disertai hampir 30 pengasuh kanak-kanak dan bayi serata Selangor.

Arba’in berkata, selain membantu golongan suri rumah menjana pendapatan, program ini juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah sekali gus memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing di pusat asuhan terlatih, teratur dan selamat.

“Sejak 2013 Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira RM720,000 kerana komited untuk melatih pengasuh yang menjaga kanak-kanak dan bayi di rumah ini.

“Kerajaan Selangor juga mahu pengasuh-pengasuh ini menjadi individu lebih berketerampilan walaupun menjaga kanak-kanak dan bayi dari rumah sahaja,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pei Nei sedia hadapi cabaran besar terajui YAWAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) baharu, Gan Pei Nei merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang melantik beliau memimpin agensi penting bagi meneruskan hasrat membantu kehidupan rakyat.

Katanya, lantikan itu merupakan amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin selain membuat persediaan rapi dalam tempoh tiga bulan ini bagi membolehkan semua program dibawah kendalian YAWAS berjalan lancar.

“Terima kasih atas kepercayaan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melantik saya mengetuai YAWAS. Saya akan bertemu beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah dalam masa terdekat untuk lebih memahami hala tuju YAWAS.

“Ini merupakan langkah baik Kerajaan Negeri untuk menempatkan lebih ramai wanita pada posisi utama dalam bidang korporat dan pastinya saya akan membuat persiapan untuk program akan datang selaras dengan hasrat Belanjawan 2019,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau yang melaporkan diri hari ini dan menyertai mesyuarat pertama pada sebelah pagi berkata, YAWAS akan memfokuskan beberapa perkara berkaitan kanak-kanak dan anak Selangor termasuk isu berkatian ibu bapa serta pengasuh.

Pei Nei percaya pengalaman sebagai ADN Rawang selama dua penggal sebelum ini membantunya mengatasi cabaran bersama dengan pasukan bagi melaksanakan perkara terbaik sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri.

“Terdapat sebahagian program dibawah Kerajaan Negeri merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan tetapi kita lakukan atas kapaisiti kedudukan kewangan yang ada sebelum ini.

“Kita akan lihat semula semua program dan ada yang mungkin dirombak dan distruktur semula supaya dapat dilaksana lebih baik. Isu berkaitan kanak-kanak pastinya dekat dengan saya tambahan baru sahaja bergelar seorang ibu,” katanya.

Dalam pada itu., Pei Nei juga berkata, YAWAS juga akan memberi tumpuan kepada kes pengasuh dan taska supaya dapat melahirkan pengasuh profesional serta terlatih selain memberikan penekanan terhadap program publisiti.

“Kita mahu semua pihak termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) dapat turun mendekati komuniti,” katanya.

Categories
SELANGOR

Gan Pei Nei Pengurus Besar baharu YAWAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 OKT: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mengumumkan pelantikan Gan Pei Nei sebagai Pengurus Besar baharunya berkuat kuasa 1 Oktober 2018.

Perkara itu diumumkan Pengurusan YAWAS dalam satu kenyataan hari ini.

YAWAS merupakan agensi Kerajaan Negeri yang mengendalikan dua program dibawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Insentif Perkahwinan Belia.

Program TAWAS terbuka kepada anak-anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia 3 tahun.

Tabung Amanah berkenaan diuruskan Kerajaan Negeri dan Ahli TAWAS menerima RM1, 500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Bermula dari 1hb Mac 2014, YAWAS memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500 yang akan diberikan kepada waris Ahli TAWAS sekiranya ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

YAWAS juga diberi tanggungjawab bagi menguruskan Program Insentif Perkahwinan Belia mulai Januari 2017.

Pasangan pengantin baru layak menerima insentif perkahwinan sebanyak RM500 sekiranya pasangan tersebut menepati syarat ditetapkan.

Penyaluran Insentif disalurkan melalui bank BSN menggunakan Sijil Simpanan Premium dan pemohon tidak perlu membuka akaun BSN untuk menerima insentif tersebut.

Categories
SELANGOR

Semua urusan libat wang dijaga penuh integriti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 APR: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan tidak telus dalam menguruskan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah yayasan itu diselesaikan dalam tempoh dua bulan dengan syarat semua dokumen lengkap.

“Pemberian RM1,000 diberikan pada fasa pertama dan fasa kedua untuk warga emas, RM1,500 akan diberikan selepas 2 bulan daripada penyerahan dokumen dari pejabat DUN ke pejabat daerah.

DAROYAH DNS“Jadi, maknanya, RM1,000 dipegang oleh Adun dan RM1,500 dipegang pejabat daerah. Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) akan menyerahkan wang bantuan SMUE kepada waris pada program dianjurkan,” katanya ketika sesi pengulung Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, tidak wujud masalah menyatakan ADN pegang wang RM2,500 dan ia tidak sampai ke tangan waris.

Pada masa sama, Daroyah menyifatkan dakwaan menyatakan Kerajaan Negeri menyeleweng dana SMUE berniat jahat dan tidak benar.

Katanya, di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri masa kini segala perkara melibatkan kewangan untuk diserahkan kepada rakyat dijaga dengan penuh integriti.

“SMUE di bawah yayasan itu diteruskan sedia ada secara telus untuk memastikan bantuan disampaikan selaras dengan agenda ‘Smart Selangor’ membangun bangsa memakmurkan negeri,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Jamal, Umno Selangor sudah bankrup idea – Teresa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 14 MAC : Tindakan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos mengkritik pentadbiran negeri membabitkan isu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) hanya untuk mencipta ‘isu’.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, wujud kemungkinan Jamal sudah hilang idea untuk terus melancarkan serangan politik terhadap pentadbiran negeri berkait isu tersebut.

“Saya rasa hairan dengan sikap Umno Selangor dan Jamal sekarang ini seolah-olah baru sedar tentang skim ini.

Teresa-Kok“Apakah ini menunjukkan mereka sudah bankrup idea terhadap Pakatan?” soalnya ketika berbahas di Sidang Dewan Rakyat, petang ini.

Terdahulu, media pro Umno melaporkan dakwaan Jamal kononnya perbelanjaan wang YAWAS di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diseleweng sehingga RM2 juta.

Laporan tersebut mendedahkan, Ahli Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur menerima agihan wang tersebut tanpa disalurkan kepada individu berkelayakan.

Bagaimanapun Teresa berkata, setiap wakil rakyat Pakatan di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Seputeh menerima peruntukan permulaan RM10,000 yang dimasukkan dalam satu akaun khas atas nama wakil rakyat itu.

“YAWAS tidak salur dana kepada anggota parlimen atau wakil rakyat secara terus tetapi semua dana program disalurkan melalui pembedaharaan Selangor kepada Pejabat Daerah.

“Pejabat daerah dan pejabat pusat khidmat wakil rakyat akan salur kepada pemohon SMUE yang layak kepada rakyat Selangor yang menetap di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari, 1974,” katanya.

Terdahulu, Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan sejumlah RM189,936,500,00 kepada 77,080 warga Selangor di bawah skim ini untuk tempoh 2016.

Beliau berkata, daerah Petaling mencatatkan perbelanjaan paling tinggi dengan (RM46,227,500), Klang (RM33,072,500), Hulu Langat (RM32,279,500), Gombak (RM24,547,000), Kuala Selangor (RM13,186,000) dan Sabak Bernam (RM12,931,000).

Sementara bagi daerah Kuala Langat dengan jumlah perbelanjaan RM11,593,000, Hulu Selangor (RM9,663,000) dan Sepang (RM5,537,000).

-nR-

Categories
SELANGOR

YAWAS galak individu, swasta, GLC bantu ahli TAWAS

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mahu bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam membantu anak-anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang menghidap penyakit kronik.

Pengurus Besarnya, Mohd Noor Mohd Zain, berkata kerjasama itu penting bagi membantu meringankan beban keluarga membiayai kos perubatan.

Mohd Noor Mohd Zain“Kita akan berbincang dengan LZS untuk kerjasama ini. Kita mahu kanak-kanak ini menerima bantuan secara berterusan.

“Setakat ini, kita hanya berikan bantuan daripada sumbangan yang diterima dari individu dan syarikat yang menderma untuk pembangunan ahli TAWAS,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Mohd Noor juga mahu Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) menjadi penderma kepada pembangunan itu secara berterusan.

Beliau turut mencadangkan kakitangan GLC membuat potongan gaji sekurang-kurangnya RM10 untuk didermakan dalam Tabung Generasi YAWAS (TERAS).

“Kita juga mahu bekerjasama dengan Dewan Undangan Negeri mengenal pasti penderma untuk disalurkan dalam tabung ini.

“Kita akan mengeluarkan risalah berkaitan tabung ini tahun depan supaya individu mahupun syarikat yakin dengan pihak kita dalam menguruskan tabung bantuan ini,” katanya.

TAWAS TERASTERAS yang dilancarkan tahun lalu membolehkan penderma Skim TERAS berpeluang menikmati rebat cukai pendapatan daripada Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rebat layak tuntut yang dibenarkan LHDN adalah 7 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu, manakala 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi syarikat.

Selangor Kini difahamkan, Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid merupakan individu pertama yang mendermakan RM15,074.85 iaitu sebahagian gaji bulanannya ke dalam skim terbabit.

Menerusi TERAS, sumbangan kewangan daripada penderma akan digunakan untuk pembangunan pendidikan, modal insan dan kebajikan ahli-ahli Tawas.

-nR-