Categories
SELANGOR

MBPJ Akan Bina Pagar Keselamatan di Taman Permainan Desa Mentari

PETALING JAYA, 30 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membina pagar keselamatan di sekeliling taman permainan di Pangsapuri Desa Mentari untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Timbalan Datuk Bandar, Puasa Mohd Taib berkata, tindakan itu diputuskan MBPJ setelah dimaklumkan bahawa dua orang kanak-kanak yang mendiami pangsapuri berkenaan telah terjatuh ke dalam parit besar bersebelahan taman permainan itu.

Menurutnya, keputusan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jabatan untuk perbincangan lanjut dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Tindakan awal yang akan diambil untuk menjaga keselamatan di kawasan tersebut ialah meninggikan pagar. Saya akan kaji keseluruhannya. Kalau ia masih mengundang bahaya, kita terpaksa tutup kawasan itu (taman permainan) serta-merta,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MBPJ, pagi tadi.

Beliau berkata, pihak Majlis juga akan merujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lebih efektif.