Categories
AGENSI SELANGOR

Program bimbingan SPM dapat sambutan, 200 pelajar setiap sesi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Program Siri Tambahan Sekolah (Assist) menerima sambutan menggalakkan apabila disertai kira-kira 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi setiap modul dijalankan secara maya.

Ketua unit sekolah Team Selangor berkata program kesinambungan SkorLAH SPM memasuki bulan kedua itu menawarkan pakej mata pelajaran bahasa Inggeris, Matematik dan Fizik mengikut sukatan pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jika tahun lepas, ia dibuat secara dalam talian dan mengumpulkan pelajar yang tiada akses internet di satu tempat, namun disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kita terpaksa tukar format pembelajaran tersebut.

Ketua Unit Sekolah Sukarelawan Team Selangor, Muhamad Haziq Fikri Jasni.

 

“Alhamdulillah, kehadiran pelajar di seluruh negeri mampu cecah 200 orang tetapi berubah-ubah kerana mungkin ada dalam kalangan mereka tidak dapat turut serta atas faktor tertentu,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya sedang mencari guru terlatih untuk membimbing pelajar bagi mata pelajaran Sejarah yang akan dimasukkan dalam program tersebut tidak lama lagi.

“Walaupun program dibuat dalam talian namum rata-rata pelajar berpuas hati dan aktif setiap kali mengikutinya. Dengan kebebasan diberikan, mereka seperti belajar dalam kelas biasa.

“Kita juga akan lihat prestasi pelajar terutama pada peperiksaan pertengahan tahun yang dijangka bulan ini,” katanya.

Pada Februari, sukarelawan Team Selangor menganjur program SkorLAH SPM secara percuma khusus untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40).

Categories
AGENSI SELANGOR

250 pelajar SPM dipelawa ikuti program bahasa Inggeris percuma

SHAH ALAM, 3 JUN: Seramai 250 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa menyertai Program Siri Tambahan Sekolah (Assist) bagi bahasa Inggeris pada Sabtu ini.

Program kendalian Sukarelawan Team Selangor dibuka secara percuma khususnya kepada pelajar dari golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Program ini adalah susulan daripada SKORLah SPM yang dibuat pada awal tahun untuk membantu calon dalam menghadapi peperiksaan.

Ketua Unit Sekolah Sukarelawan Team Selangor, Muhamad Haziq Fikri Jasni.

“Jika sebelum ini hanya 100 pelajar, kali ini kita sasar lebih ramai iaitu 250 dengan fokus dalam kumpulan sama,” kata Ketua Unit Sekolahnya, Muhamad Haziq Fikri Jasni ketika dihubungi.

Katanya, pelajar perlu merebut peluang ini kerana guru yang mengendalikan bengkel teknik menjawab soalan ini terdiri dalam kalangan mereka berpengalaman luas dan pernah memeriksa kertas peperiksaan.

“Guru terlatih dan berpengalaman kami bawakan istimewa buat pelajar dalam kalangan B40 atau yang memerlukan bantuan dan sokongan akademik.

“Pendaftaran adalah terhad. Mereka yang berminat boleh mendaftar di http://bit.ly/assistBI atau hubungi 017-612 7269 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor perkenal Assist bantu pelajar miskin

SHAH ALAM, 25 MAC: Sukarelawan Team Selangor akan melaksanakan Program Siri Tambahan Sekolah (Assist) untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar sekolah menengah.

Ketua unit sekolahnya berkata inisiatif itu adalah kesinambungan program SkorLAH SPM secara dalam talian dilaksanakan untuk membantu pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Team Selangor sedang merangka kaedah pelaksanaan serta cara penyampaian yang sesuai di kawasan terpilih bagi memastikan matlamat program dicapai.

“Sesi sekolah menengah belum dibuka lagi, justeru sama ada dijalankan secara maya atau bersemuka bergantung situasi semasa Covid-19,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni kepada SelangorKini hari ini.

Pada Februari, sukarelawan Team Selangor menganjur program SkorLAH SPM secara percuma khusus untuk pelajar keluarga B40.

Kelas secara maya dibimbing guru terlatih meliputi mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Fizik.