Categories
SELANGOR

Murni sedia pemeriksaan kanser payudara percuma

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 FEB: Berita baik buat golongan wanita terutama di kawasan luar bandar, mereka kini berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kanser payudara secara percuma tanpa perlu ke hospital.

Kemudahan itu direalisasikan melalui pengenalan ‘Mobile Unit Reaching Nationwide with Information’ (Murni) dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

_MG_3546Exco Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Murni boleh dikenalpasti melalui van merah jambu yang akan menjelajah ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) terus kepada wanita bagi memperoleh perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, orang ramai berpeluang menerima pelbagai input dan maklumat berkenaan penyakit yang amat sinonim dengan golongan wanita itu.

“Kebanyakan wanita di Selangor sudah menyertai program mammogram yang ditawarkan Kerajaan Negeri, tetapi tiada pemeriksaan susulan selepas itu.

_MG_3656“Dengan Murni, kita boleh membantu golongan wanita dengan memberikan maklumat, ilmu dan pemberitahuan berkenaan bahaya kanser payudara,” katanya di perkarangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Daroyah yang juga Adun Sementa berkata, pihaknya akan menyediakan jadual penjelajahan Murni yang disebarkan melalui Pejabat Pusat Khidmat DUN termasuk akhbar Selangor Kini.

Beliau berharap peluang itu dimanfaatkan seluruh golongan wanita sebagai salah satu langkah menjaga kesihatan dan mencegah kanser daripada peringkat awal.

“Wanita disarankan supaya tidak melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan perkhidmatan ini tanpa perlu pergi jauh.

“Murni akan berada di kawasan anda sempena Hari Kesihatan Sedunia, bermula April ini,” katanya.

-NFN-