SHAH ALAM, 12 MAC : Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM) menggesa Ahli Parlimen terutamanya kawasan parlimen Johor bagi membentangkan dan membahaskan satu usul berhubung kes pelik bekas Ketua Polis Negara, AG dan ketua kongsi gelap.
Dalam satu laporan media Malaysiakini hari ini mendakwa Peguam Negara telah campur tangan dengan menggunakan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk mengakses fail sulit yang digelar ‘Cicero’ dalam kes itu.
Penyelaras SAMM negeri Johor, Ahmad Anwar Asyraf berkata usul itu perlu dibahas agar tindakan proaktif dan siasatan terperinci dapat dilakukan untuk mengkaji kesahihan dakwaan ini dan seterusnya melaksana tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang sekiranya dakwaan ini terbukti benar dan sahih.
Katanya, SAMM menyifatkan pendedahan dakwaan ini merupakan satu perkara yang mengejutkan dan perlu diberi perhatian serius dan segera oleh pihak pemerintah.
” Satu siasatan menyeluruh perlu diadakan bagi menyiasat dakwaan yang ditimbulkan ini ekoran daripada ia melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara untuk melindungi kerja-kerja jenayah sindiket perjudian dan pengubahan wang haram di Negeri Johor.
” Kebelakangan ini, Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Negara sememangnya dalam ‘masalah yang besar’ dan dakwaan yang timbul ini berpotensi untuk menjerumuskan pandangan umum dan antarabangsa terhadap amalan penguatkuasaan perundangan negara ke tahap yang lebih buruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, Negeri Johor dewasa ini sibuk dengan pelan pembangunan Iskandar Johor, skandal ini boleh menghakis keyakinan pelabur antarabangsa terhadap mutu keselamatan di negeri ini dan seterusnya meranapkan imej Negeri Johor sebagai wilayah pembangunan ekonomi Selatan Malaysia.
” SAMM turut menzahirkan ingatan kepada pihak Kerajaan Pemerintah agar menyiasat dakwaan ini dengan penuh ketelusan. Jangan ada niat untuk sekadar menutup kepincangan dan kejelikan yang wujud dalam agensi penguatkuasaan undang-undang Negara. Siapa yang bersalah wajib diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Jelasnya lagi, skandal itu tidak boleh dipandang mudah kerana rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga keselamatan rakyat bukannya berkompromi dan bersekongkol dengan aktiviti-akviti yang melanggar norma perundangan.
” Amanah rakyat terhadap pemerintah negara ini telah dipersiakan sekiranya kejahatan tersembunyi ini terus didiamkan demi mengekalkan kuasa.
” Kita merasakan perlunya pemerintah dan agensi-agensi yang terlibat untuk tampil membersihkan diri dari terpalit dengan skandal-skandal seperti ini.
” Kami, sebagai anak muda merasa amat belas melihat kesungguhan anggota-anggota Agensi Kerajaan yang selama ini telah mengerah keringat seikhlas hati demi menabur bakti kepada Negara tetapi terpaksa menanggung malu ekoran dari sikap beberapa ‘Orang Besar’ dalam agensi-agensi ini yang mudah ‘Gelap Mata’,” katanya.
Beliau menambah, sebagai pewaris masa depan negara, pihaknya merasa amat jelik dengan perangai sebegini dan menggesa agar ia dibanteras dengan segera.
” Cukuplah kerosakan dan kehinaan yang telah anda campakkan kepada sistem pemerintahan negara tercinta selama ini dengan isu-isu yang tidak terjawab,” katanya.