Categories
SELANGOR

Kempen Tutup Loji Lynas Dapat Sokongan Wakil Rakyat PR

SHAH ALAM 29 NOV : Kempen bagi mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk membatalkan loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang terus mendapat sokongan dengan pengumpulan 150 tandatangan setakat ini.

Wakil rakyat PR menurunkan tandatangan di buku ?Musim Menuai Harapan Untuk Malaysia? yang mempunyai akujanji bahawa mereka akan berusaha untuk menutup loji tersebut.

Vincent Jiam, sukarelawan penggerak kepada program berkata, sejak dimulakan pada April lalu, kerjasama daripada Kerajaan Negeri PR amat memberangsangkan.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberikan kerjasama terhadap kempen ini dan setakat ini 28 Adun PR dari Selangor menyokongnya.

“Kempen ini dimulakan dengan Perak yang pertama, 25 Adun PR menandatangani buku kempen diikuti 20 Adun PR dari Kedah.

?Ketika Muktamar Pas lalu seramai 15 Adun menyokong dan menandatanganinya. Kita turut disokong empat Adun PR Pahang.

“Ketika kempen diadakan di Parlimen, kita mendapat sokongan 76 Ahli Parlimen dan lapan Senator PR termasuk seorang Senator dari BN,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex di sini semalam.

Lynas telah berjaya mendapatkan keputusan mahkamah bagi memulakan operasi.

Loji, yang dinamakan LAMP, telah mendapat tentangan hebat daripada berbagai lapisan masyarakat yang khuatir akan pecemaran sisa radioaktif daripada pemprosesan nadir bumi.

“Projek ini sepertimana di Bukit Merah dulu, Kerajaan Persekutuan dilihat seolah-olah tidak mengendahkan bantahan rakyat yang menolaknya. Ia seperti menutup mata nengenainya dan meluluskan projek itu,” kata Vincent Jiam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan berhubung perkara itu dengan menutup semua laluan terhadap projek nadir bumi itu.

Kempen ini juga dijalankan menerusi laman sosial facebook bagi mengumpul warga maya dan orang awam menjadi sukarelawan menerusi – http://www.facebook.com/HarapanUntukMalaysia