Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lynas: Australia mahu syarat ditarik balik

BANGKOK, 4 NOV: Kerajaan Australia berharap Malaysia akan menarik balik syarat yang dikenakan terhadap syarikat nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam rundingan antara Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Australia Scott Morrison di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini hari ini.

“Mereka (kerajaan Australia) berharap kita akan menarik balik syarat yang dikenakan,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan perhimpunan serantau itu di sini hari ini.

Pada 15 Ogos, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (LPTA) mengumumkan lesen operasi Lynas telah diperbaharui selama enam bulan lagi.

Pembaharuan lesen berkenaan disertai dengan beberapa syarat utama termasuk memindahkan proses ‘Cracking and Leaching’ ke negara lain dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Lynas perlu meningkatkan kaedah perlombongan dan pemprosesan bahan mentahnya sebelum menghantarnya ke Malaysia.

“Kalau ada penambahan proses di Australia, bahan (yang dihantar) tidak seperti yang ketika ini. Bahan mentah akan menjadi lebih bersih, “katanya.

Dr Mahathir berkata bahan nadir bumi tidak berbahaya tetapi orang masih beringat tentang “pengalaman buruk” yang melibatkan syarikat pengekstrak logam nadir bumi di Perak pada 1980-an.

“Kita telah menghantar satu pasukan pakar untuk memeriksa operasi (Lynas). Mereka melaporkan bahawa ia tidak berbahaya. Sisa itu perlu diuruskan, tetapi kita tidak boleh menghantarnya keluar kerana tiada siapa pun yang mahu. Cadangan itu adalah untuk membuang sisa di tempat yang berlainan supaya intensiti radiasi tidak ada di sana,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata sebarang langkah untuk menutup Lynas akan melibatkan kos yang tinggi dan akan menjejaskan Pelaburan Langsung Asing kerana para pelabur akan berfikir bahawa kerajaan tidak memegang pada janjinya dalam meluluskan projek.

“Lynas adalah sebuah syarikat Australia yang mempunyai pelaburan besar dalam berbilion. Kita tidak boleh meminta mereka pergi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kempen Tutup Loji Lynas Dapat Sokongan Wakil Rakyat PR

SHAH ALAM 29 NOV : Kempen bagi mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk membatalkan loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang terus mendapat sokongan dengan pengumpulan 150 tandatangan setakat ini.

Wakil rakyat PR menurunkan tandatangan di buku ?Musim Menuai Harapan Untuk Malaysia? yang mempunyai akujanji bahawa mereka akan berusaha untuk menutup loji tersebut.

Vincent Jiam, sukarelawan penggerak kepada program berkata, sejak dimulakan pada April lalu, kerjasama daripada Kerajaan Negeri PR amat memberangsangkan.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberikan kerjasama terhadap kempen ini dan setakat ini 28 Adun PR dari Selangor menyokongnya.

“Kempen ini dimulakan dengan Perak yang pertama, 25 Adun PR menandatangani buku kempen diikuti 20 Adun PR dari Kedah.

?Ketika Muktamar Pas lalu seramai 15 Adun menyokong dan menandatanganinya. Kita turut disokong empat Adun PR Pahang.

“Ketika kempen diadakan di Parlimen, kita mendapat sokongan 76 Ahli Parlimen dan lapan Senator PR termasuk seorang Senator dari BN,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex di sini semalam.

Lynas telah berjaya mendapatkan keputusan mahkamah bagi memulakan operasi.

Loji, yang dinamakan LAMP, telah mendapat tentangan hebat daripada berbagai lapisan masyarakat yang khuatir akan pecemaran sisa radioaktif daripada pemprosesan nadir bumi.

“Projek ini sepertimana di Bukit Merah dulu, Kerajaan Persekutuan dilihat seolah-olah tidak mengendahkan bantahan rakyat yang menolaknya. Ia seperti menutup mata nengenainya dan meluluskan projek itu,” kata Vincent Jiam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan berhubung perkara itu dengan menutup semua laluan terhadap projek nadir bumi itu.

Kempen ini juga dijalankan menerusi laman sosial facebook bagi mengumpul warga maya dan orang awam menjadi sukarelawan menerusi – http://www.facebook.com/HarapanUntukMalaysia