Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Muzium Setem pertama Selangor siap Januari 2023

SHAH ALAM, 22 APRIL: Muzium Setem pertama Selangor yang dibina di Seksyen 14 di sini dijangka siap sepenuhnya Januari 2023, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata pembinaan muzium berkenaan kini berada pada tahap 15 peratus.

“Jadual asal ia siap pada 2022, namun ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan saya dimaklumkan berlaku kelewatan kerana kekurangan pekerja.

“Saya sendiri akan turun ke tapak pembinaan itu setiap dua minggu bagi memastikan projek itu berjalan lancar nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai status pembinaan muzium berkenaan.

Sementara itu, Borhan berkata landskap muzium itu nanti akan dihiasi pokok-pokok yang pernah diabadikan pada setiap setem.

“Apa sahaja berkaitan pos akan turut dipamerkan seperti basikal menghantar surat, peti surat, mesin cetakan lama dan sebagainya,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk hadiahkan, meminjamkan atau menjual koleksi setem mereka kepada muzium boleh melayari www.padat.gov.my untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Muzium Setem: Padat pelawa orang ramai sumbang koleksi

SHAH ALAM, 26 OKT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) mempelawa orang ramai menyumbang koleksi setem untuk muzium yang sedang dibangunkan di Seksyen 14 di sini.

Unit perhubungan awamnya berkata muzium yang dijangka siap pada 2022 memerlukan koleksi setem dan filateli, peralatan serta dokumentasi sejarah perkhidmatan pos termasuk peta.

“Padat sedang giat mengumpul koleksi dari Malaysia dan dunia bagi pengisian muzium ini apabila ia siap dibina kelak, justeru kami mengalu-alukan sumbangan koleksi secara percuma, pinjaman atau sewaan,” menurut agensi itu dalam kenyataan.

Menurut perbadanan itu, surat perakuan dan sijil penghargaan khas akan diberi kepada individu yang menyumbang koleksi secara percuma.

Orang ramai boleh melayari laman web www.padat.gov.my atau hubungi Pegawai Penyelaras Muzium Setem Abdullah Anas Abu Bakar di talian 03-55190050 atau 019-233 3554 untuk maklumat lanjut.

Muzium Setem itu, yang pertama di Selangor dijadikan pusat rujukan berkaitan sejarah perkembangan aktiviti pos dan filateli negara.