Categories
AGENDA NASIONAL

Prasarana tawar pakej My30 beli satu percuma satu mulai esok

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Dalam usaha menggalakkan pelancongan domestik, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuka tawaran istimewa pakej ‘My30 Plus 30 – Beli 1, Percuma 1’ bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula esok sehingga 31 Mac depan.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL boleh menggunakan pakej percuma itu untuk pembaharuan pada bulan berikutnya dan tempoh penebusan adalah antara 15 Januari dan 31 Mac.

Pengguna boleh membuat pembelian My30 itu di semua kaunter khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, monorel dan bas transit pantas (BRT) di samping lapan hab bas terpilih iaitu di Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama.

“Urusan penebusan bagi kempen ini bagaimanapun hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni,” menurut kenyataan itu.

Bagi mempromosi kempen itu, Prasarana akan menggunakan paparan skrin dalam tren LRT, MRT, monorel dan juga bas, di samping platform pengiklanan lain di stesen dan media sosial kendalian Rapid KL.

Pakej khas itu merupakan antara inisiatif diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik, diterajui oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan warga Malaysia menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari dengan hanya berbelanja RM30.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna pengangkutan awam meningkat, lebih 62,000 pas My30 dijual

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 telah dijual sejak dilancarkan pada 15 Jun lepas, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam tempoh dua minggu itu juga jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat beransur-ansur sehingga 40 peratus daripada jumlah penumpang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan berharap dengan kebenaran jumlah penumpang 100 peratus kapasiti dalam perkhidmatan rel sejak 11 Jun lalu, lebih ramai rakyat akan kembali menggunakan perkhidmatan rel awam.

“Jumlah ini dijangka meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat korporat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sini, hari ini.

Inisiatif My30 diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta, melibatkan empat mod pengangkutan awam iaitu transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), KL monorail dan bas Rapid KL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Muhammad Nizam Alias berkata bagi menggalakkan pelancongan domestik dan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan pelancong dan bukan pengguna tetap pengangkutan awam, Prasarana memperkenalkan diskaun tambahan untuk pas ‘MyCity’ bermula Rabu ini.

Bagi pas perjalanan sehari, diskaun 50 peratus diberikan dan pengguna hanya perlu membayar RM5 sementara untuk pas tiga hari, harga dikurangkan daripada RM25 kepada RM15 sahaja.

“Diskaun tambahan ini adalah untuk mereka yang jarang menggunakan pengangkutan awam, yang mungkin guna pada hujung minggu sahaja, jadi pas My30 mungkin tidak sesuai untuk mereka,” katanya.

Mengenai status terkini pembinaan projek LRT3, Muhammad Nizam berkata projek itu bersambung semula selepas dihentikan sementara semasa pelaksanaan PKP.

Setakat Mac lepas, projek itu mencapai tahap 30 peratus siap, katanya.

– BERNAMA