Categories
AGENDA NASIONAL

Set tren LRT terbiar di Ulu Yam bukan milik Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengesahkan set tren transit aliran ringan (LRT) yang didakwa terbiar di Ulu Yam, Selangor dan menjadi tular menerusi video di YouTube baru-baru ini, bukan lagi milik pihaknya.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan hak milik set tren itu dipindahkan kepada CRRC Zhuzhou (sebelum ini CSR Zhuzhou) pada 2014 sebagai sebahagian daripada program beli-semula untuk pembelian 50 set tren baharu yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling.

“CSR-Zhuzhou juga mengesahkan bahawa set tren itu telah dilupuskan dan dijual pada 2016 kepada pihak ketiga yang kemudiannya diletakkan di kawasan persendirian di Ulu Yam.

“Oleh kerana tren-tren lama ini bukan lagi aset dan tanggungjawab kami, adalah tidak wajar untuk kami mengulas lanjut mengenai perkara ini,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas LRT, jawatankuasa siasatan saran 23 cadangan tambah baik

PUTRAJAYA, 10 JUN: Sebanyak 23 cadangan penambahbaikan harus dilaksanakan secepat mungkin oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail  susulan insiden nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara, 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan penambahbaikan disarankan oleh  Jawatankuasa Siasatan itu melibatkan lima cadangan yang perlu dilakukan dalam masa tiga bulan, 11 cadangan dalam masa antara tiga dan enam bulan, dan tujuh penambahbaikan dalam masa lebih dari enam bulan.

“Kementerian (Pengangkutan) akan mengaudit kemajuan penambahbaikan ini secara berkala,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini bagi mengumumkan hasil laporan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat insiden pelanggaran tren LRT.

Dalam insiden 8.33 malam pada 24 Mei lepas, sebuah tren LRT tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.

Untuk penambahbaikan jangka pendek, Wee berkata dua pemandu atau hostler ditetapkan untuk mengendalikan tren secara manual ketika dalam terowong, yang mana peranan pemandu kedua adalah sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan.

Lampu suluh berkuasa tinggi perlu dibekalkan kepada pemandu untuk memudahkan tugas mereka ketika di dalam terowong dan penyediaan senarai semak untuk kegunaan dan panduan  kepada pemandu serta Pusat Kawalan Operasi (OCC) dalam mengendalikan tren secara manual ketika situasi kritikal, katanya.

Prasarana perlu menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan dan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail bagi tujuan semakan serta pemantauan, katanya.

Wee berkata Prasarana dalam masa antara tiga hingga enam bulan perlu melaksanakan penambahbaikan seperti penilaian teknikal terhadap tatacara operasi piawai (SOP) pengendalian tren secara manual di dalam terowong bersama audit secara berkala.

Prasarana juga perlu menjalankan penilaian teknikal terhadap sistem komunikasi dan mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem yang diperlukan dan tingkatkan SOP operasi yang digunakan di OCC dengan audit berkala, katanya.

Antara lain penambahbaikan ialah menyemak SOP berkaitan tindakan dalam situasi Normal (N)/Degraded (D)/ Emergency (E) dan meningkatkan akauntabiliti pengurusan terhadap perkara berkaitan prosedur, SOP, pelan tindakan kecemasan (ERP) dan keselamatan, katanya.

Selain itu, katanya, Pelan Komunikasi SOP Prasarana dan Rapid Rail perlu ditingkatkan untuk pemahaman semua peringkat kakitangan, mengemaskini buku peraturan, manual OCC dan manual pemandu serta melaksanakan Job Safety Analysis (JSA) terhadap setiap pengambilan kakitangan termasuk kakitangan sedia ada dalam kategori ‘Safety Critical Position’ untuk kecekapan dan pengetahuan.

Wee berkata bagi tujuh penambahbaikan jangka panjang pula membabitkan kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan OCC dan pemandu, penilaian risiko terhadap pemasangan ‘stanchion’ di ‘vestibule’ di dalam tren serta simulasi untuk menguji semua SOP sedia ada dan yang telah dikemaskini.

Selain itu, perlu dilaksanakan kajian dan penilaian RAMS (Reliability, Availability, Maintainability and Safety) ke atas sistem tren dan rel Prasarana dan Rapid Rail dan meningkatkan sistem pengesanan tren elektronik untuk memastikan tren dapat dikesan dari jarak jauh apabila terjadi keadaan ‘time-out’, katanya.

“Kami mahu pengurusan atasan Prasarana melihat laporan ini serta mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan operasi tren,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan  tiga mangsa yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Wee berkata kesemua sudah keluar dari ICU dan berada di wad pemerhatian.

Ketiga-tiga mangsa di bawah jagaan rapi oleh kumpulan pakar HKL dan menunjukkan proses pemulihan yang baik, katanya.

Mengenai pampasan dan tindakan mahkamah yang diambil mangsa yang terjejas, Wee berkata soal itu diserahkan kepada Prasarana dan syarikat insurans dan setiap tindakan oleh mangsa akan dihormati.

“Setiap orang ada hak buat tuntutan selepas satu insiden. Yang ini kita tidak pernah lari dan kita kena berdepan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal pakai pelitup muka, Tajuddin dikompaun RM1,500

SHAH ALAM, 9 JUN: Mantan pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka ketika sidang akhbar pada Mei lalu.

Ketua polis daerah Dang Wangi menjelaskan tawaran denda terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diputuskan Pejabat Peguam Negara, lapor Kosmo.

“Pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan agar beliau dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak Covid-19.

Pada 25 Mei, polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin yang hanya memakai pelindung muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Khidmat tren, bas Prasarana beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perkhidmatan tren dan bas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan kekerapan bas pada waktu puncak pagi dan petang adalah kekal iaitu antara pukul 6.00 hingga 10 pagi dan antara pukul 4.00 petang hingga 8.00 malam manakala kekerapan untuk waktu bukan puncak dikurangkan kepada 50 peratus, namun akan berubah berdasarkan permintaan.

“Operasi bagi perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan diselaraskan dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak pagi dan petang pada hari biasa dan 30 minit pada hari minggu dan cuti umum namun ia akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Prasarana dalam pada itu turut menyarankan pengguna Rapid KL memuat turun aplikasi PULSE untuk memeriksa jadual terkini perjalanan bas serta rel, dan bagi penumpang bas Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting, mereka disaran menggunakan platform media sosial syarikat berkenaan untuk mendapatkan jadual terkini perjalanan.

Sekatan pergerakan penuh atau fasa pertama di seluruh negara akan berkuat kuasa selama 14 hari bermula tengah malam ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang terlibat insiden LRT diminta tampil terima bantuan ihsan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta penumpang yang terlibat dalam insiden kemalangan tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lepas supaya menghubungi pihaknya jika masih belum berbuat demikian, untuk menyelaras bantuan kepada mangsa.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata sehingga pukul 8.00 pagi ini, masih ada 83 penumpang yang tidak berjaya dikesan, dan mereka diminta menghubungi saluran khas 014-7371330 atau e-mel [email protected] bagi tujuan berkenaan.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran penumpang dapat dilengkapi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana daripada 130 penumpang yang berjaya dikesan, 12 merupakan warga asing dari negara Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh serta Timur Tengah, dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah pun dihubungi.

Sementara itu daripada 67 individu yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 dibenarkan keluar, lima masih di hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiga ditempatkan di wad biasa, dan dijangka dibenarkan discaj dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datin Norlia Noah.

Prasarana juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Dalam kenyataan terbaharu, Prasarana memaklumkan pihaknya menawarkan khidmat kaunseling untuk membantu mangsa insiden kemalangan itu yang mengalami trauma.

Menurutnya Prasarana bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia bagi membantu mangsa yang memerlukan khidmat kaunseling.

“Para penumpang yang memerlukan perkhidmatan kaunseling kerana trauma atau tekanan perasaan boleh menghubungi kami,” menurut kenyataan itu.

Penumpang yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan boleh menghubungi 014-7371330 atau e-mel [email protected] bagi mendapatkan janji temu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan bersetuju menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap Kementerian Kewangan berkata surat penamatan perkhidmatan Ahli Parlimen Pasir Salak itu bertarikh hari ini ditandatangani oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam surat yang tular dalam media sosial itu, Tengku Zafrul berkata beliau mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan Tajuddin kepada Prasarana sepanjang memegang jawatan itu.

Prasarana merupakan sebuah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Tajuddin dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 11 Mei 2020 bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Tajuddin sebelum ini mendapat kecaman ramai pihak susulan kenyataannya yang dikatakan tidak bersimpati dengan mangsa kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ketika mengadakan sidang media selepas melawat lokasi kemalangan itu semalam.

Dalam kejadian 8.45 malam Isnin lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prasarana: Lima gerabak tren tergelincir dalam nahas dibawa naik

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kerja pemulihan untuk mengeluarkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC Isnin lalu berjalan lancar, dengan lima daripada enam gerabak sudah dinaikkan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, selepas kerja menyelamat dan mengeluar mangsa pada hari kejadian, pasukan pemulihan serta-merta bertindak dengan membuat penilaian terhadap kerosakan, dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan.

“Bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan. Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan.

“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir, dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” menurut kenyataan itu dan menambah proses keseluruhan dijangka selesai dalam masa tiga hari, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, kerja pemulihan itu melibatkan seramai 50 staf kejuruteraan dan teknikal yang bekerja dengan tiga syif sejak dua malam lepas, dengan mereka terdiri daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek; Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock); dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas, untuk menyiasat punca kejadian itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM arah siasat kes tren LRT bertembung, kenal pasti punca nahas

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rawatan penuh kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam ini diberi keutamaan.

Katanya, beliau telah beri arahan kepada semua pihak supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan menyeluruh memandangkan: “kita juga berada dalam gelombang pandemik Covid-19 yang sedang meningkat naik”.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

Kejadian berkenaan yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhyiddin turut mendoakan agar semua kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Insiden dua tren LRT, ramai penumpang cedera diselamat

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Beberapa penumpang cedera dalam satu insiden melibatkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya, malam ini.

Beberapa video serta gambar mengenai kejadian yang memaparkan keadaan tren dengan cermin pecah dan beberapa penumpang cedera dengan kepala berdarah, dikongsi di beberapa platform media sosial.

Antara penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya yang mengalami kecederaan. Foto BERNAMA

Turut dikongsi netizen perkembangan semasa suasana dipercayai di Stesen LRT KLCC, dengan pasukan polis dan medik dilihat membantu penumpang yang tercedera.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan malam ini mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan trennya bernombor 40 dan 81 terlibat dalam satu insiden dan pasukannya sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” menurut kenyataan itu.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah yang kini berada di Stesen LRT KLCC mengesahkan kejadian.

Perkembangan mengenai insiden berkenaan akan dimaklum dari masa ke semasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima bazar Ramadan Rapid KL di Selangor tutup mulai 8 Mei

SHAH ALAM, 6 MEI: Lima bazar Ramadan Rapid KL di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Selangor ditutup mulai Sabtu ini, kata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Syarikat itu dalam kenyataan berkata bazar tersebut meliputi stesen LRT Kelana Jaya, Glenmarie, Pandan Indah dan Putra Heights yang beroperasi sejak 13 April.

“Penutupan ini selaras pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor,” katanya.

Prasarana menjelaskan operasi bazar di stesen LRT Cempaka ditutup lebih awal pada 1 Mei selepas lokasi berkenaan tersenarai dalam kawasan berisiko tinggi.

Bagaimanapun, syarikat terbabit memaklumkan bazar Ramadan di stesen LRT Damai di Kuala Lumpur kekal beroperasi seperti biasa.

“Prasarana ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan peniaga yang memberikan sokongan atas inisiatif ini walaupun terpaksa mengharungi cabaran wabak Covid-19,” kata Prasarana.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Perkhidmatan rel, bas Prasarana terus operasi, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tetap beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Prasarana dalam kenyataan semalam memaklumkan perkhidmatan itu termasuk rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor; Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai; Rapid Kamunting di Taiping, Perak; serta Rapid Kuantan di Pahang.

Selain itu, perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan beroperasi seperti jadual sedia ada dengan masa menunggu antara 2.8 dan tujuh minit bergantung kepada waktu puncak.

“Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” menurut kenyataan itu.

Prasarana turut menggalakkan pengguna Rapid KL menggunakan aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas, yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Store.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Prasarana tawar pakej My30 beli satu percuma satu mulai esok

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Dalam usaha menggalakkan pelancongan domestik, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuka tawaran istimewa pakej ‘My30 Plus 30 – Beli 1, Percuma 1’ bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula esok sehingga 31 Mac depan.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL boleh menggunakan pakej percuma itu untuk pembaharuan pada bulan berikutnya dan tempoh penebusan adalah antara 15 Januari dan 31 Mac.

Pengguna boleh membuat pembelian My30 itu di semua kaunter khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, monorel dan bas transit pantas (BRT) di samping lapan hab bas terpilih iaitu di Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama.

“Urusan penebusan bagi kempen ini bagaimanapun hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni,” menurut kenyataan itu.

Bagi mempromosi kempen itu, Prasarana akan menggunakan paparan skrin dalam tren LRT, MRT, monorel dan juga bas, di samping platform pengiklanan lain di stesen dan media sosial kendalian Rapid KL.

Pakej khas itu merupakan antara inisiatif diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik, diterajui oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan warga Malaysia menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari dengan hanya berbelanja RM30.

-BERNAMA