Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Perodua 26,852 pada Okt, pencapaian tertinggi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan rekod pencapaian jualan bulanan tertinggi dengan sebanyak 26,852 kereta terjual pada Oktober, selepas mencatatkan sejarah rekod jualan bulanan sebanyak 25,035 unit kereta pada bulan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kejayaan tersebut tercapai menerusi tatacara operasi piawai (SOP) baharu yang diikuti oleh Perodua dan rakan niaga – termasuk yang bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah – bersama SOP asal yang diperkenalkan pada Mei.

“Dengan komitmen para pembekal, pengedar-pengedar sah kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kami kerana kenderaan Perodua mereka dihantar dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perodua menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz and 1,974 Alza pada Oktober, dan tiga model teratas kekal sebagai kereta paling laris di Malaysia setakat ini.

“Pada September, kami mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini kami telah mengatasi pencapaian tersebut.

“Kejayaan ini penting buat kami dalam banyak perkara; kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin kepada pemilik dan pada masa yang sama memainkan peranan dalam memulihara ekosistem automotif,” katanya.

Zainal Abidin berkata pada Oktober sahaja Perodua membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terjejas akibat pandemik.

Beliau berkata ekosistem automotif berkenaan termasuk sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor.

“Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98 peratus secara purata pada Oktober dengan 26,326 kenderaan – juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi dari kilang kami di Sungai Choh,” katanya.

Sementara itu, sebagai menghargai para pelanggannya, Perodua memperkenalkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Syarikat itu juga menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember ini.

Tawaran tersebut hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua di Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Sila layari www.perodua.com.my, atau hubungi pusat-pusat jualan Perodua untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Kerana Myvi, gadis nyaris terbabas dilempar telur

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 6 MEI: Seorang gadis nyaris terbabas apabila MyVi yang dipandunya dilempar telur ayam anggkara provokasi samseng jalan raya.

Nadia Radzi, 26 berkata kejadian itu berlaku ketika dia melalui Kawasan Perindustrian Bukit Jelutong ke tempat kerja, awal pagi semalam.

“Masa itu, saya terpinga-pinga. Apa salah saya sehingga mereka bertindak sedemikian. Adakah kerana saya memandu Myvi?

“Saya yakin patuh undang-undang jalan raya, pemanduan pagi itu juga tidak merbahayakan pengguna lain.

IMG-20150505-WA0000“Jadi, mengapa mereka bermotosikal secara berkumpulan dengan bekalan telur ayam? Mereka seakan mencari pemandu Myvi wanita sebagai mangsa,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, mangsa dihampiri sekumpulan lelaki bermotosikal dari arah kanan dan bertindak membaling beberapa telur ayam di cermin hadapan kenderaannya.

Terkejut dengan tindakan itu, mangsa memperlahankan kenderaannya sebelum sebuah lagi motosikal menghampiri bahagian kiri dan membaling beberapa telur lagi hingga terkena di cermin sisi dan bumbung kenderaannya.

“Saya seorang diri, takut dan bergegas terus ke tempat kerja yang hanya berbaki dua kilometer di hadapan,” katanya kepada Selangor Kini menerusi aplikasi Whatsapp.

Eksekutif Pengurusan Kewangan itu mengakui dirinya trauma memandu Myvi dan memilih menggunakan model lain milik keluargannya untuk berulang ke tempat kerja selepas kejadian itu.

duke1Pada 2 Mei lalu, sepasang suami isteri termasuk bayi berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke.

Dalam kejadian jam 1.05 pagi itu, Pajero yang dinaiki mereka berada di lorong tengah dipercayai bergesel dari sebelah kanan dengan sebuah Myvi sebelum dilanggar sebuah lagi Myvi.

Berita nahas yang didakwa berpunca ekoran perlumbaan haram melibatkan enam buah Myvi itu mendapat kecaman hebat di media sosial.

-NFN-